KUALA LUMPUR, 29 Jan — Penyanyi Linda Rafar mahu memfail saman terhadap lebih 100 individu yang didakwa membulinya di media sosial dalam isu dakwaan memfitnah jururawat.

Beliau akan menyerahkan notis saman dalam tempoh sebulan bermula hari ini bagi menuntut mereka memohon maaf dalam tempoh maksimum dua minggu, lapor mStar Online.

“Saya bersama peguam sudah mengenal pasti lebih 100 individu yang mengeluarkan komen mengaibkan sehingga memberi kesan kepada keluarga kami,” kata bekas ahli kumpulan Elite.

“Kami cuma menuntut mereka membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pihak anak guam saya di platform mana dia mengeluarkan kata-kata tohmahan dan fitnah tersebut”.

Pada sidang media hari ini, peguamnya Nurul Hafidzah Hasan berkata pihaknya juga “tidak akan teragak-agak” meneruskan tindakan undang-undang jika mereka terus “berdegil”.

Disember lalu, Linda melalui Instagramnya memuat naik rasa tidak puas hatinya terhadap layanan seorang jururawat hospital, tempat ibunya dirawat sebelum meninggal dunia.