29 JANUARI — Dalam kehidupan seharian kita, banyak tanggungjawab yang perlu dipikul.
Tanggungjawab kepada keluarga, tanggungjawab kepada ibu bapa, tanggungjawab kepada majikan di tempat kerja, tanggungjawab kepada bangsa dan negara serta bermacam-macam lagi.
Kesemua tanggungjawab yang disebutkan itu bukanlah tanggungjawab sembarangan tetapi tanggungjawab berat yang menuntut komitmen dan kesungguhan seseorang.
Ada yang berjaya digalas dan tidak kurang juga, tersadai di pertengahan jalan tanpa sebarang kesudahan. Sudah pasti apabila tanggungjawab tersebut gagal digalas dengan baik, pelbagai tanda-tanya mula bermain di fikiran orang ramai. Begitu dengan keadaan sebaliknya.
Bercakap mengenai aspek tanggungjawab ini, ada satu persoalan yang penulis ingin lontarkan kepada pembaca ruangan ini. Adakah anda seorang yang bertanggungjawab? Konteks tanggungjawab yang dimaksudkan merujuk kepada sikap ketika menggunakan Internet.
Adakah anda sentiasa menyemak terlebih dahulu informasi-informasi yang diterima? Adakah anda seorang pengguna yang tidak mudah mempercayai sebarang berita yang disebarkan? Ataupun anda seorang yang terlalu mengikut perasaan dan bertindak secara sewenang-wenangnya apabila menerima sesuatu maklumat meskipun ia belum ditentusahkan.
Jika anda menjawab tidak kepada pertanyaan pertama dan kedua serta ya kepada pertanyaan ketiga, maka kita berhadapan dengan satu situasi yang merimaskan.
Isu berita palsu yang terus mendominasi perbincangan dalam kalangan pemimpin politik dan pihak media sejak kebelakangan ini membayangkan bahawa isu berkenaan adalah satu isu nasional yang perlu ditangani secara menyeluruh.
Pengumuman pihak kerajaan bahawa mereka sedang meneliti cadangan untuk mengkaji semula akta-akta sedia ada seiring dengan realiti semasa mencerminkan keseriusan pihak pemerintah dalam membasmi berita palsu yang kian memudaratkan.
Usaha menangani berita palsu tidak boleh hanya datang dari pihak berkuasa sahaja. Kita sebagai pengguna sendiri pun wajar memainkan peranan dalam hal ini. Langkah terbaik yang boleh diambil adalah untuk meningkatkan tahap kesedaran diri terhadap bahana berita palsu. Jika maklumat atau mesej yang diterima nampak meragukan, maka semak terlebih dahulu dengan sumber-sumber rasmi yang sah bagi mendapatkan kepastian. Hanya selepas mendapat pengesahan, barulah anda membuat keputusan sama ada untuk meneruskan perkongsian itu atau sebaliknya.
Selain itu, pengguna tidak perlu menjadi wira di media sosial. Hanya kerana sahabat anda berkongsi maklumat tersebut, anda juga terikut-ikut dan berkongsi sama maklumat yang belum ditentusahkan. Bayangkan apa yang akan terjadi jika maklumat yang anda kongsi itu adalah palsu? Dan jika maklumat yang disebar itu telah tular, bagaimanakah anda cuba mengatasinya? Dalam situasi ini, “common sense” seharusnya menjadi pertimbangan utama.
Pengguna juga perlu sedar bahawa bukan semua maklumat yang diterima itu dan yang ada dalam Internet adalah benar belaka. Terdapat pihak tertentu di luar sana yang akan cuba untuk menyebarkan khabar angin mahupun maklumat-maklumat palsu dengan tujuan untuk memporak-perandakan keadaan. Soalnya, adakah kita rela untuk diperalatkan oleh pihak sedemikian?
Sesungguhnya, tidak ada jalan pintas dalam mengatasi masalah berita palsu ini. Pihak berkuasa boleh bertindak ke atas si pesalah namun masalah tersebut akan kekal menjadi masalah selagi tiada kemahuan dari diri kita sendiri untuk berubah. Ia harus bermula dari diri kita!
* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.
