7 MAC — Suhu politik negara semakin hangat selepas tindakan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir mengetuai lebih 50 pemimpin daripada pelbagai latar belakang, ideologi politik, mahupun pertubuhan menandatangi Deklarasi Rakyat yang mahu agar Perdana Menteri sedia ada sekarang untuk berundur.
Menariknya, kalangan pemimpin mereka yang hadir ke sidang media pada petang Jumaat lalu pernah berseteru dan berbalah antara satu sama lain satu ketika dahulu.
Benarlah kata pepatah Inggeris yang berbunyi “in politics, there is no permanent enemies or permanent friends.” Siapa sangka Tun Dr Mahathir akan duduk semeja dengan pemimpin pembangkang seperti Lim Kit Siang ataupun Azmin Ali?
Rentetan daripada pemeteraian Deklarasi tersebut yang turut ditandatangani oleh pemimpin-pemimpin NGO, reaksi balas kini kian kedengaran dari sana sini yang menyelar tindakan mantan Perdana Menteri itu sebagai sesuatu yang sudah melampaui batas dan bersekongkol dengan pembangkang.
Apa yang pasti, reaksi balas daripada pihak yang dituduh dan menuduh akan terus kedengaran sehinggalah satu pihak tersebut mengisytiharkan dirinya sebagai pemenang.
Bagaimanapun, politik caca-marba yang berlaku di negara kita ketika ini bukan jalan terbaik untuk melangkah ke hadapan. Umum mengetahui bahawa segala tindak-tanduk yang digerakkan oleh mana-mana pemimpin politik mempunyai agenda tertentu.
Realitinya, rakyat lebih berminat untuk mengetahui apakah yang boleh ditawarkan oleh wakil rakyat yang dipilih untuk membantu mereka. Tidak kurang penting juga, rakyat mahukan seorang wakil rakyat yang benar-benar jujur dan berkhidmat untuk rakyat.
Apa yang berlaku ketika ini sememangnya amat mengecewakan kebanyakan rakyat Malaysia. Kelihatan majoriti pemimpin politik lebih cenderung untuk berpolitiking sehinggakan peranan mereka kepada rakyat sudah dikesampingkan. Bagi pemimpin-pemimpin politik sebegini, apa yang mereka mahukan ialah memuaskan ego dan nafsu mereka. Namun, apakah ego dan nafsu itu lebih penting daripada survival negara?
Berpaksikan kepada alasan-alasan tadi, maka tidak hairanlah mengapa masih ada dalam kalangan rakyat waima pemimpin-pemimpin politik sekalipun yang memberikan reaksi berbeza-beza terhadap pemeteraian deklarasi berkenaan.
Reaksi bercampur-campur itu sebenarnya mencerminkan tahap kepercayaan rakyat Malaysia terhadap politik negara merosot. Boleh dikatakan mereka menghadapi political fatigue. Political fatigue ini amat berkait rapat dengan kebimbangan rakyat bahawa kedua-dua belah pihak parti nampaknya tidak dapat mendapat memperjuangkan nasib dan kebajikan rakyat seperti yang dijanjikan.
Apabila tahap kepercayaan sudah hilang, rakyat terpaksa memfokuskan sokongan mereka kepada pihak lain yang boleh dipercayai misalnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Trust deficit yang dihadapi oleh kalangan pemimpin politik daripada kedua-dua pihak sesungguhnya bukanlah perkara baharu sebaliknya ia sudah berlarutan sejak sekian lama. Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab utama pemimpin-pemimpin politik negara ini untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap mereka.
Seandainya tahap kepercayaan rakyat terhadap mereka masih di takuk lama, maka tidak perlulah terkejut jika terdapat pengundi yang enggan mengundi nanti. Jika ada pengundi yang tidak mahu mengundi, apakah akan terjadi kepada sistem politik negara?
Maka kerana itu, penulis serta ratusan ribu rakyat Malaysia di sini menggesa kepada semua pemimpin politik negara untuk mengetepikan sengketa lama dan bekerjasama untuk memajukan Malaysia ke tahap yang lebih cemerlang. Jika anda (pemimpin politik) sayangkan negara, lakukan sesuatu yang bermakna untuk memajukan negara tercinta ini. Jangan biarkan rakyat hilang keyakinan terhadap sistem politik negara.
Hentikan politiking!
Hentikan adu-domba!
Hentikan fitnah!
Tiada agenda yang lebih penting daripada agenda untuk membangunkan negara kita ini kerana negara ini adalah milik kita bersama.
* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan Malay Mail Online.
