22 FEBRUARI — Jika beberapa minggu yang lalu, kita disajikan dengan cadangan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar agar kompaun kepada pesalah jalan raya dinaikkan daripada kadar RM300 yang dikenakan sekarang, minggu ini pula heboh pula di seluruh negara dengan cerita mengenai pekerja-pekerja asing dari Bangladesh.
Semuanya gara-gara dengan pengumuman kerajaan tempoh hari bahawa mereka sudah memeterai perjanjian persefahaman atau MoU untuk membawa masuk 1.5 juta lagi pekerja Bangladesh bagi mengisi kekosongan dalam sektor-sektor kritikal yang memerlukan guna tenaga.
Keputusan untuk membawa masuk lagi pekerja-pekerja Bangladesh ke Malaysia bagaimanapun disambut dengan reaksi yang pelbagai hinggakan ada yang mempersoalkan kewajaran tindakan tersebut.
Namun tidak sampai sehari selepas pengumuman tersebut dibuat, keluar pula arahan agar semua pengambilan untuk pekerja-pekerja asing termasuk dari Bangladesh dibekukan serta-merta. Keputusan itu diambil bagi membolehkan kerajaan meneliti kembali program levi untuk pekerja asing.
Tambah mengelirukan ialah kenyataan-kenyataan media yang dikeluarkan oleh beberapa pemimpin Kabinet yang seolah-olah memberikan gambaran kurang tepat dan menambahkan kekeliruan kepada pengumuman sedia ada.
Lebih mendukacitakan, kelihatan juga perbuatan menuding jari dalam kalangan pihak tertentu yang seolah-olah tidak mahu menggalas tanggungjawab yang telah diserahkan kepada mereka.
Semua maklum pengambilan pekerja-pekerja asing ke Malaysia termasuk dari Bangladesh telah dibekukan ketika ini tetapi terdapat beberapa iktibar yang boleh dan wajar dipelajari daripada isu berkenaan agar ia tidak berulang di kemudian hari.
Yang pertama, apa yang jelas ialah kordinasi serta penyampaian maklumat tidak begitu selaras. Begitu juga dengan mesej utama yang cuba disampaikan mengenai isu tersebut. Dalam hal ini, nampaknya terdapat beberapa pemimpin Kabinet yang memberikan komen mengenai isu pekerja asing. Kenapa tidak hanya seorang sahaja menteri dari kementerian yang bertanggungjawab yang mengeluarkan komen agar ia tidak mengelirukan semua.
Kedua, keputusan untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh ke Malaysia tidak seharusnya diumumkan terlebih dahulu jika terdapat desakan untuk menangguhkan pengambilannya. Sebaliknya apa yang berlaku ketika ini seolah-olah menunjukkan tiada kata sepakat dan penyelarasan yang utuh daripada pihak Malaysia yang memberikan gambaran bercanggah. Sesungguhnya, gambaran bercanggah ini tidak akan menguntungkan negara kita dan akan hanya mengikis kepercayaan dunia terhadap kredibiliti negara.
Ketiga, tidak sepatutnya wujud menuding jari terhadap mana-mana pihak mengenai isu ini. Apa yang sepatutnya dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab ialah untuk mencari jalan penyelesaian yang menguntungkan semua pihak yakni formula yang boleh diterima oleh semua pihak. Paling mustahak, formula yang dikemukakan itu tidak akan mengkesampingkan atau menjejaskan sektor-sektor kritikal yang memerlukan guna tenaga pada kadar segera.
Soal siapakah yang bersalah dalam isu ini bukanlah perkara pokok dalam penulisan ini. Pada hemat penulis, tiada gunanya untuk menuding jari terhadap mana-mana pihak. Bukankah lebih baik jika perkara ini dapat ditangani secara menyeluruh dan holistik? Bererti, pelbagai pihak baik majikan, kerajaan Malaysia dan pekerja itu sendiri masing-masing menerima manfaat daripada suatu keputusan yang berpandangan jauh dan bersifat menang-memang untuk kebaikan semua.
Sebarang kata putus dan tindakan yang dibuat selepas ini haruslah mencerminkan keperluan semasa dan pada masa yang sama tidak mengetepikan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Moga-moga mereka yang bertanggungjawab dalam isu ini diberikan kekuatan untuk menguruskannya dengan penuh hemah dan bijaksana.
*Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Malay Mail Online.
