8 FEBRUARI — Sepanjang dua minggu yang lalu, suhu politik di negeri Kedah Darul Aman ataupun lebih dikenali dengan negeri Jelapang Padi cukup panas ekoran krisis politik yang melanda kepimpinan Mentri Besar Kedah itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Semuanya gara-gara kerana ketidakpuasan hati sekumpulan pemimpin Umno yang dikatakan sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Datuk Seri Mukhriz.

Rentetan daripada itu, spekulasi demi spekulasi bertiup kencang di dada-dada akhbar dan pelbagai teori atau konspirasi dibangkitkan bagi menghangatkan lagi kemelut politik Kedah.

Apapun, manusia yang merancang tetapi Tuhan yang menentukannya, akhirnya kemelut politik Kedah berakhir dengan peletakan jawatan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan digantikan oleh Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai Mentri Besar Kedah yang Baru.

Apa yang berlaku di Kedah baru-baru ini hanyalah sebahagian daripada peristiwa kecil yang mewarnai dunia politik di Malaysia ketika ini. Malahan, jatuh bangunnya seseorang pemimpin merupakan sebahagian daripada asam-garam dalam dunia politik. Mereka yang berkecimpung dalam dunia politik sepatutnya sedar tindakan tikam-menikam ataupun perbuatan sabotaj dan fitnah adalah sesuatu yang biasa.

Situasi politik semasa negara hakikatnya tidak begitu memberangsangkan. Sebaliknya, terpancar pada wajah kebanyakan rakyat Malaysia yang semakin rimas dengan gelagat serta tindak-tanduk segelintir pemimpin politik yang cenderung menggunakan alasan bahawa segala tindakan yang dilakukan adalah demi rakyat. Benarkah begitu? Tepuk dada, tanyalah hati.

Di sebalik kemelut politik negara yang nampaknya tidak berkesudahan antara seorang pemimpin dengan pemimpin yang lain, adalah penting dan kritikal agar rakyat tidak berputus ada dan sentiasa mendoakan yang terbaik untuk negara.

Di kesempatan ini sempena Tahun Baru Cina yang disambut hari ini, barangkali majoriti rakyat Malaysia termasuk penulis sendiri mendoakan semoga negara tercinta terus diberikan kekuatan untuk mengharungi cabaran-cabaran mendatang. Doa juga ditujukan khas kepada para pemimpin negara agar mereka sentiasa diberi petunjuk dan Hidayah untuk mentadbir negara ini dengan penuh integriti dan saksama.

Kita juga mendoakan agar pemimpin-pemimpin negara yang diberi mandat untuk memerintah agar melaksanakan tanggungjawab dan komitmen dengan penuh dedikasi dan bukannya untuk kepentingan peribadi. Bukalah minda dan hati pemimpin-pemimpin politik agar mereka dapat membuat keputusan yang tepat demi masa depan negara secara khusus dan rakyat, amnya.

Buka juga minda mereka supaya melihat sesuatu isu dan selesaikannya secara menyeluruh dan tidak didorong oleh kepentingan politik atau kaum semata-mata yang akhirnya hanya berkesudahan dengan impak yang destruktif.

Lebih penting lagi, selamatkan negara ini daripada segala matapetaka, bencana, penyakit ataupun kemelut politik yang boleh menghancurkan negara ini. Kita tidak mahu Malaysia terjerat ke dalam kancah konflik seperti apa yang berlaku di negara-negara Islam lain ketika ini. Kesudahannya cukup dahsyat.

Ya Tuhan, berikanlah kekuatan kepada rakyatmu untuk berhadapan dengan situasi ekonomi yang kurang memberangsangkan. Tatkala rakyat menghadapi kesukaran untuk menyara kehidupan dengan sumber pendapatan sedia ada, kekuatan yang diberikan ini diharap dapat menyuntik semangat kepada rakyat untuk terus berusaha dan memberikan yang terbaik biarpun dalam serba kekurangan.

Biarpun keadaan semasa tidak begitu memberangsangkan, rakyat tidak seharusnya berhenti mendoakan yang terbaik untuk negara. Sesungguhnya, doa merupakan senjata yang paling mustajab tatkala ketika segala harapan yang disandarkan seolah-olah sudah tiada.

Teruskan mendoakan yang terbaik untuk negara dan pemimpin-pemimpin kita! 

* Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Malay Mail Online.