11 JANUARI —Makan untuk hidup atau hidup untuk makan?
Bergantung bagaimana anda ingin menafsirkan persoalan tersebut, namun hakikatnya kedua-dua persoalan berkenaan menyentuh mengenai kelangsungan hidup manusia.
Kelangsungan hidup atau survival manusia kini menjadi topik hangat di merata tempat khasnya di negara kita. Ini kerana, kos sara hidup yang kian meningkat ekoran kenaikan bermacam harga barangan dan perkhidmatan.
Tol, Monorail, ERL, perkhidmatan keretapi dan bermacam-macam lagi membuatkan rakyat di negara ini makin rimas dan tertekan. Tidak hairanlah mengapa isu kelangsungan hidup dibangkitkan ketika ini kerana gaji atau upah yang diterima sememangnya tidak mencukupi.
Gaji pula tidak naik dan lebih menyedihkan, rakyat perlu mengikat perut semata-mata untuk menyimpan sedikit wang untuk mengharungi hari-hari mendatang yang dipenuhi dengan ketidaktentuan.
Tidak dinafikan, tempoh yang kita alami sekarang merupakan tempoh yang cukup mencabar dan menguji ketahanan serta asas ekonomi negara. Berapa lama para penduduk boleh bertahan dalam keadaan sedemikian, hanya Tuhan Maha Pencipta yang maha mengetahui.
Kalangan penduduk pula terpaksa menggigit jari dan terpaksa berfikir panjang bagaimana untuk mengharungi bulan atau tahun-tahun mendatang dalam keadaan yang tidak menentu.
Apabila seorang Menteri Kabinet baru-baru ini mencadangkan agar rakyat melakukan dua pekerjaan untuk menampung kehidupan, cadangan berkenaan nampaknya tidak kena pada masa dan tidak menghiraukan sensitiviti mereka yang berhadapan dengan keperitan hidup.
Apa yang dicadangkan oleh menteri berkenaan tidak salah namun realitinya berapa ramai daripada kita yang mempunyai kemampuan untuk melakukan dua pekerjaan seperti yang disebutkan oleh pemimpin itu?
Bagaimanakah mereka yang mempunyai masalah kesihatan tetapi pada masa masa perlu menyara kehidupan anak-anaknya yang masih memerlukan nafkah untuk terus hidup?
Tidak semudah untuk melakukan dua pekerjaan seperti yang dicadangkan oleh menteri Kabinet berkenaan. Soalnya apakah ada kekosongan dan kerja yang sesuai di luar sana dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan mutakhir ini?

Jika menteri tersebut sekadar menyebut secara umum bahawa rakyat boleh melakukan dua pekerjaan untuk menyara kos sara hidup, beliau mungkin tidak menyangka bahawa bukan semua rakyat yang bernasib baik sepertinya yang berperanan sebagai Ahli Parlimen, Menteri Kabinet dan menjawat jawatan penting yang disertainya.
Sebaliknya, mesej yang ditujukan itu adalah kepada rakyat marhaen, golongan yang perlu berhadapan dengan segala macam desakan hidup dan terpaksa berhempas-pulas mencari sesuap nasi untuk menyara hidup tanpa keistimewaan seperti yang dinikmati oleh pemimpin politik. Bagi mereka, kesusahan merupakan sebahagian daripada rutinnya.
Apakah maksud Menteri tersebut ialah untuk kita melakukan apa sahaja pekerjaan bagi menampung kos sara hidup? Jika inilah maksud sebenar Menteri, maka beliau turut jahil bahawa seseorang itu perlulah bijak mencari pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran yang dimilikinya.
Maka kerana itu, ada baiknya jika cadangan-cadangan sedemikian biarpun murni tidak dilontarkan langsung. Bukanlah bererti apa yang disebutkan oleh pemimpin tersebut salah, namun ia dilontarkan pada masa dan ketika di mana emosi serta sentimen rakyat kurang baik.
Akan tetapi, dalam keadaan kos sara hidup yang kian meningkat, mungkin ada logik juga jika kita melakukan dua pekerjaan tetapi dengan syarat gaji dan manfaat yang akan diterima perlulah setimpal dan memberikan keselesaan kepada pekerja.
Apa pilihan yang ada pada rakyat?
* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.
