28 OKTOBER ― Bajet rakyat.

Bajet prihatin.

Bajet yang komprehensif.

Demikian label atau terma yang sering kita dengar di media massa selepas pembentangan Bajet oleh Perdana Menteri negara kita.

Semuanya ini keluar daripada mulut pemimpin-pemimpin politik, tokoh akademik dan tidak kurang juga pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan. Pastinya, apa yang diperkatakan oleh mereka ini mempunyai maksud atau pengertian tersendiri sama ada secara tersurat mahupun yang tersirat.

Sama ada komen-komen yang diberikan itu benar-benar mencerminkan apa yang disebutkan, bergantung kepada tahap pemahaman seseorang atau niat mereka.

Apa yang kita faham mengenai bajet rakyat atau bajet yang prihatin? Dalam bahasa yang lebih mudah, sebuah bajet yang prihatin adalah sebuah bajet yang memberikan penekanan menyeluruh bukan sahaja kepada keperluan fizikal, material rakyat bahkan juga memenuhi tuntutan ekonomi dan sosial secara komprehensif yang mana tidak ada strata masyarakat yang terpinggir.

Petang Jumaat yang lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan Bajet 2016, iaitu bajet ketujuh di bawah pemerintahan beliau sejak 2009. Sebanyak RM267.2 bilion diperuntukkan untuk bajet kali ini.

Daripada reaksi awal yang diberikan terhadap Bajet 2016, rata-ratanya menyifatkan Bajet 2016 sebagai bajet yang pragmatik dan realistik. Tidak kurang juga, pihak-pihak tertentu yang melihat bajet kali ini bajet untuk golongan pertengahan dan bawahan.

Kebanyakan daripada kita pernah mendengar pembentangan Bajet oleh pemimpin nombor satu negara kita sekurang-kurangnya sekali dalam jangka hayat mereka. Pada permukaan, Bajet 2016 dilihat bagus, komprehensif dan praktikal mengambil kira keadaan ekonomi semasa yang mencabar.

Bagaimanapun, soal sejauhmanakah Bajet 2016 akan dapat diterjemahkan dan memberikan impak kepada kehidupan rakyat marhaen, yang menjadi persoalan utama.

Banyak ketikanya, adalah lebih mudah untuk seseorang memberikan komen daripada melakukan sesuatu. Saya bukanlah mengadu atau mengutuk Bajet 2016 tetapi lebih memikirkan kesan yang bakal timbul dan sejauhmanakah impak Bajet kepada rakyat di peringkat bawahan.

Tidak semestinya aspek kuantiti yang menjadi penentu tetapi lebih kepada kualiti bajet yang dibentangkan. Cuba tanya kepada diri anda sendiri, bagaimanakah Bajet kali ini memanfaatkan rakyat?

Pertama, sesuatu bajet hanya boleh dianggap sebagai memanfaatkan rakyat jika ia memberikan fokus kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama mahupun keturunan.

Kedua, sesuatu bajet itu jika peruntukan yang disediakan itu digunakan untuk tujuan-tujuan yang bermanfaat.

Ketiga, segala peruntukan yang disediakan untuk projek-projek pembangunan perlulah siap mengikut tempoh yang ditetapkan.

Keempat dan yang terakhir, sebuah bajet yang prihatin juga mengambil kira taraf hidup rakyat. Realiti di luar sana, masih ada ramai rakyat kita yang terpaksa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ada antara rakyat yang terpaksa mencari dua pekerjaan bagi menampung kehidupan mereka, lebih-lebih lagi mereka yang sudah mendirikan rumah tangga.

Daripada kos untuk membeli susu untuk anak-anak kepada pembayaran bil hinggalah kepada belanja seharian ― semuanya ini memerlukan belanja yang tinggi. Kehidupan tidaklah seindah yang digambarkan terutamanya buat penduduk-penduduk yang menetap di kawasan bandar seperti di Kuala Lumpur, Johor Bahru atau Pulau Pinang.

Harga barangan keperluan masih naik. Harga petrol juga naik dan begitu juga dengan kos pengangkutan awam. Kesudahannya, rakyat terpaksa berhadapan dengan tekanan hidup yang kian mendesak. Lantaran itu, apakah nasib rakyat marhaen selepas ini?

Rakyat marhaen tidak begitu berminat atau memahami sentimen mengenai bajet seperti yang digembar-gemburkan dalam media. Sebaliknya, mereka lebih cenderung untuk mengetahui bagaimanakah bajet boleh memberikan impak positif kepada kehidupan mereka. Dalam erti kata lain, semuanya berkisar kepada isu-isu asas seperti kenaikan harga barangan, kos sara hidup dan sebagainya.

Terpulanglah kepada pihak berkuasa selepas ini bagaimana untuk memastikan segala peruntukan yang disediakan benar-benar sampai ke golongan sasar dan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

Sesungguhnya, keluh-kesah rakyat terhadap jerih-payah hidup adalah satu manifestasi suara hati mereka yang memerlukan bantuan dan sokongan. Mereka sudah tidak larat dan tidak mungkin menampung kos sara hidup yang semakin tinggi.

Sementara menunggu bantuan untuk sampai, kehidupan harian perlu diteruskan biarpun pahit untuk diharungi. Apapun, life goes on dan rakyat perlu bijak menyesuaikan diri dengan keadaan semasa yang mencabar. Hanya mereka yang kuat sahaja yang akan dapat mengharungi situasi sukar ini dengan jayanya. Ibarat kata pepatah Inggeris: When the tough gets going, the goings get tough. Itulah yang kita harap-harapkan!

 * Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online