MEI 12 — Benarkah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam mempunyai agenda melahirkan generasi muda Melayu-Islam yang etnosentrik dan tepu perkauman?

Demikianlah persoalan yang muncul dalam minda saya – serta ramai anggota masyarakat yang prihatin – berikutan tersebarnya maklumat mengenai penganjuran “Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara” pada 6 Mei 2014.

Berita berkaitan kandungan seminar serta perkara-perkara yang diperkatakan di seminar itu benar-benar menimbulkan kebimbangan serta menyentuh sensitiviti masyarakat pelbagai kaum, agama, etnik, mazhab dan anutan di negara ini.

Sekiranya diperhatikan, tujuan dan niat asal penganjuran seminar ini tidaklah terlalu membimbangkan. Akhbar Utusan Malaysia (21 April 2014) memetik Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa sebagai berkata, ia bertujuan memberikan penjelasan, meningkatkan kefahaman masyarakat Islam dan mencari penyelesaian secara efektif berhubung isu kalimah Allah.

Advertisement

UiTM juga cuba menegaskan bahawa seminar itu dianjurkan untuk meningkatkan kefahaman umat Islam mengenai isu-isu berkaitan kalimah Allah yang hangat diperkatakan.

Akan tetapi, apa yang sebenarnya berlaku semasa seminar adalah amat berbeza. Secara amat nyata, seminar itu yang dianjurkan dengan sokongan Utusan Malaysia, Kumpulan Media Karangkraf dan TV Al-Hijrah berciri anti-Kristian serta menanam bibit-bibit kebencian terhadap penganut Kristian.

Sebagai pegamal multifaith (percaya pada ajaran semua agama), saya terkejut membaca berita di The Malay Mail Online (6 Mei 2014) di mana salah seorang penceramah pada seminar itu dilaporkan berkata bahawa para penganut Kristian menderhaka dan mengkhianati perintah Tuhan selagi mereka tidak meninggalkan agama asal dan memeluk agama Islam.

Advertisement

Pada seminar yang turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, wakil sebuah NGO Islam, Abdul Karim Omar menuduh tindakan gereja menggunakan kalimah Allah sebagai strategi Kristianisasi terhadap orang Islam.

Abdul Karim turut “mendedahkan” kononnya ada paderi Kristian menyamar sebagai jurulatih bola sepak untuk memurtadkan orang Islam. Malah, katanya, dia “berjaya mengesan mereka” serta mengenali seorang jurulatih seumpama itu di Subang Jaya.

Graduan muda dari Amerika Syarikat yang bekerja untuk gereja juga kononnya dijadikan wahana untuk menyesatkan umat Islam di negara ini dengan berpura-pura berminat belajar tentang Islam.

Tidak ambil kira sensitiviti masyarakat

Jika benarlah seperti didakwa oleh Abdul Karim, tidakkah dia (dan NGO Islam yang diwakilinya) tahu bahawa gerakan Kristianisasi itu (jika benar) bertentangan dengan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan?

Tidak ada pula dia mengaku sudah mengumpulkan segala bukti kukuh dan membuat laporan kepada pihak berkuasa – polis, Jais dan Jakim, misalnya – berhubung kerja-kerja menyesatkan umat Islam.

Sebagai seorang pengamal dan perunding media, saya mendapati bahawa seminar di UiTM terbabas jauh daripada tujuan asal. Ahli Majlis Konsultansi Perpaduan Negara, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa juga sependapat dalam hal ini.

Dalam kenyataan media yang disiarkan di blog (7 Mei 2014), beliau merumuskan bahawa seminar berkenaan “tidak banyak membantu memulihkan luka hubungan antara agama di negara ini, malah ia mungkin dilihat menambahkan lagi garam pada luka yang belum sembuh”.

Beliau juga mempersoalkan motif di sebalik penganjuran seminar itu yang secara terang-terangan mengutuk agama lain (Kristian). Persoalan ini juga yang muncul dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, walaupun rata-rata tidak menentang kebebasan akademik.

“Jikalau tujuannya adalah untuk menghayati kehidupan agama yang rencam, maka pelbagai pihak daripada agama lain hendaklah dijemput sama supaya perspektif agama lain dinilai dari kaca mata penganutnya,” kata Mujahid dalam kenyataan itu.

Saya mengikuti perkembangan “Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara” menerusi media cetak, media alternatif dan laman rangkaian sosial, khasnya Facebook.

Sebagai pengamal multifaith serta individu yang ada saudara-mara dan sahabat penganut Kristian, saya membidas kandungan seminar itu yang dijadikan platform mempersenda ajaran Kristian dan penganut Kristian secara keseluruhan.

Satu lagi berita yang menyedihkan adalah apabila MAIS didapati mengedarkan buku berjudul Pendedahan Agenda Kristian kepada peserta seminar tanpa mengira sensitiviti masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Buku setebal 120 halaman itu yang membicarakan kandungan al-Quran mengenai Kristian dan risalah Kristian ternyata secara terang-terangan berciri anti-Kristian serta berniat menanam kebencian terhadap ajaran Kristian, Nabi Isa dan penganut Kristian.Buku ini diedarkan secara percuma kepada peserta seminar.
Buku ini diedarkan secara percuma kepada peserta seminar.

Najib akan terus bersabar?

Sedangkan saya yang tidak menghadiri seminar berkenaan berasa amat terhina dengan tindakan penganjur mempersenda penganut Kristian, bayangkan pula bagaimana perasaan dan dilema yang terpaksa ditanggung oleh peserta Bukan Islam (pelajar Bumiputera UiTM) yang sama-sama menghadiri seminar tersebut!

Sebagai pengamal media dan penulis, saya dapati seminar itu secara jelas berciri anti-perpaduan, berniat jahat, tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat serta mengancam ketenteraman masyarakat pelbagai kaum, agama, etnik, kepercayaan dan mazhab.

Saya sering menyertai Konvoi Rumah Ibadat anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) ke semua rumah ibadat (masjid, kuil, gereja, wat, tokong dan gurdwara) bagi memupuk perpaduan dan persefahaman antara agama.

Malah, usaha yang dilakukan menerusi konvoi ini sejak tahun 2010 turut mendapat liputan khas oleh BBC World News pada Oktober 2013. Dalam pada Kavyan berusaha berkempen ke arah “raikan kepelbagaian, tolak perkauman”, muncul pula pihak tidak bertanggungjawab yang menyuntik anasir anti perpaduan agama.

Saya, sebagaimana rata-rata masyarakat Malaysia yang masih waras dan mencintai keamanan, kecewa apabila UiTM dengan kerjasama Utusan Malaysia dan Kumpulan Media Karangkraf menganjurkan seminar seperti ini yang menggugat perpaduan.

Sepatutnya dialog antara agama (inter-faith dialogue) dianjurkan; bukan seminar seperti ini yang ternyata berniat jahat dan bermotif menghancurkan keharmonian Bangsa Malaysia.

Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, saya bersama-sama Perzeus James – seorang penganut Kristian Katolik dan juga Setiausaha Kavyan – membuat laporan rasmi di Balai Polis Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam berhubung perkara tersebut pada 8 Mei 2014.

Dalam laporan itu, kami meminta pihak berkuasa, khasnya polis, menyiasat penganjur dan penceramah seminar berkenaan serta mengambil tindakan tegas bagi membendung anasir-anasir yang cuba memecah-belahkan Bangsa Malaysia.

Bapa “1Malaysia” iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan berkata “Patience not a weakness” (The Star, 11 Mei 2014). Beliau berkata demikian sebagai menjawab pelbagai kritikan yang ditujukan kepadanya oleh orang ramai.

Semoga Najib tidak menampakkan “kelemahan” dalam melaksanakan tanggungjawab untuk segera tampil mengarahkan tindakan tegas diambil terhadap pihak tertentu yang secara terang-terangan sedang menghancurkan cita-cita “1Malaysia” dan “Bangsa Malaysia” serta cuba melahirkan generasi muda yang etnosentrik dan tepu perkauman.

Atau mungkinkah Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh Najib tidak mampu berbuat apa-apa untuk membendung anasir-anasir jahat seperti ini yang mungkin lebih berkuasa daripada kuasawan dalam BN?

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.