MEI 26 — Selalu didengari bahawa anak adalah anugerah Tuhan. Anak-anak adalah amanah yang diberikan untuk dijaga dan dibesarkan.

Untuk pasangan muda pada zaman purba tanpa akses kepada alat kontraseptif atau alat pencegah kehamilan, ini mungkin penyedap hati tatkala jumlah anak melebihi kemampuan ketua keluarga untuk menampung perbelanjaan harian.

Di zaman moden ini, masih ramai pasangan yang mempunyai ramai anak walaupun tidak mampu dari segi kewangan untuk membesarkan mereka kerana berpendapat ‘anugerah’ dan ‘amanah’ Tuhan tidak patut ditolak. Ini walaupun terdapat pilihan alat pencegah kehamilan di pasaran tak kira kondom, diafram, IUD, pil perancang dsbg.

Pendapat saya adalah pendapat tidak popular.

Sekiranya pasangan muda tidak mampu untuk menampung perbelanjaan anak-anak dari buaian sehingga ke tahap universiti tanpa bantuan kerajaan, saya berpendapat bahawa pasangan muda tersebut hendaklah merancang keluarga dengan teliti dan tidak mempunyai lebih dari 2 orang anak.

Terus terang saya katakan bahawa setiap pasangan yang merancang untuk berkahwin dan mempunyai anak-anak harus mempunyai pelan atau rancangan kewangan jangka panjang untuk masa hadapan.

Rakyat Malaysia tidak patut mempunyai anak melebihi kemampuan dan bergantung sepenuhnya kepada kerajaan untuk memberikan bantuan kewangan untuk lampin, susu, pendidikan dan sebagainya.

Merancang kewangan keluarga

Kos majlis perkahwinan sedia ada sudah cukup membebankan sehingga ramai pasangan sanggup berhutang. Tambah lagi kos bayaran pinjaman kereta, rumah, insurans kesihatan (kini perlu insurans untuk bencana alam) dan sebagainya adalah kiraan permulaan; ramai pasangan muda tidak mengambil kira kos untuk membesarkan anak yang semakin meningkat.

Menurut Christopher Boon Teh Seng seorang Profesor di Universiti Putra Malaysia, beliau telah menganggarkan bahawa beliau memerlukan RM 1.1 juta untuk membesarkan anak tunggal beliau sekiranya dihantar ke luar negara.

Beliau juga telah membuat anggaran mengenai kos pendidikan keseluruhan untuk seorang anak yang dilahirkan pada tahun 2007 seperti berikut:

Pendapat saya adalah pendapat tidak popular.

Saya merasakan bahawa pasangan yang hendak berkahwin harus jujur dan jelas dalam merancang kewangan hidup berkeluarga. Kedua-dua pihak harus sama-sama merancang kewangan keluarga dari awal untuk memastikan kualiti hidup yang tinggi bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga anak-anak.

Pelan atau merancang kewangan secara bijak boleh mengelakkan dari budaya berhutang di mana 1,812 rakyat Malaysia diumumkan bankrap setiap bulan pada tahun 20131 akibat pelbagai faktor termasuk berbelanja melebihi pendapatan.

Kini negara Malaysia juga sedang menghadapi cabaran dengan harga minyak mentah jatuh, tekanan daripada bayaran cukai GST, inflasi ekonomi setiap tahun yang rata-ratanya mengurangkan kuasa belian pendapatan keluarga.

Secara logik juga boleh dikatakan bahawa kualiti jagaan dan pendidikan yang boleh diberikan oleh pasangan sekiranya jumlah anak adalah kecil adalah lebih tinggi berbanding dengan pasangan yang mempunyai jumlah anak yang ramai dengan jumlah pendapatan yang sama. Keperluan tidak boleh melepasi sumber.

Merancang keluarga secara bijak dengan rancangan kewangan yang kukuh juga boleh memastikan supaya anak-anak tidak terikat dengan kitaran kemiskinan yang membelenggu sesetengah golongan bawah 40% rakyat Malaysia.

Tanggungjawab kerajaan?

Tidak dinafikan bahawa Kerajaan juga harus bertanggungjawab memberikan pendidikan kepada anak muda di sekolah dan di universiti mengenai tanggungjawab untuk merancang kewangan diri sendiri dan keluarga.

Saya juga berpendapat bahawa dengan hormat kepada Y.B. Hajah Rohani Karim, adalah tidak sesuai untuk meminta rakyat Malaysia mempunyai lebih ramai anak tanpa memberikan mereka kemahiran untuk menguruskan kewangan sendiri dahulu.

Sekiranya beranak ramai tetapi bergantung kepada Kerajaan ini akan membebankan sistem pendidikan dan kebajikan yang sedia ada.

Sepatutnya polisi awam Kerajaan Persekutuan adalah untuk memastikan semua rakyat Malaysia mampu bersama-sama berganding bahu berusaha untuk berdiri sendiri di atas kaki sendiri dari segi ekonomi tanpa mengharapkan bantuan Kerajaan untuk menjaga keluarga mereka.

Ini adalah mengenai sifat tanggungjawab terhadap pilihan dan keputusan yang dibuat sendiri bersama pasangan masing-masing.

* Azira Aziz is a cat who moves with UndiMsia! and does policy and legal research for her gourmet canned meals.

** This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of Malay Mail Online.