JANUARI 17 ― Rakyat Malaysia dikejutkan dengan satu pertuduhan oleh seorang peguam melalui laman twitternya yang mengatakan bahawa Jakim mempromosikan ekstrimisme setiap hari Jumaat.
Sejak seminggu yang lalu, perbincangan di kalangan masyarakat rancak berlaku dalam membahaskan pertuduhan tersebut. Rata-rata mengupas pertuduhan itu dalam konteks khutbah yang disampaikan di masjid-masjid setiap hari Jumaat. Terdapat sekurang-kurangnya tiga pandangan besar dalam isu ini yang berlegar dalam masyarakat di Malaysia iaitu:
1. Menerima dan menyokong isi tweet tersebut dan mengecam Jakim yang didakwa mempromosikan ekstrimisme tetapi bukan setiap Jumaat
2. Menerima bahawa kualiti khutbah sememangnya bermasalah kerana terdapat khutbah yang berunsur politikal, menanam kebencian kepada kelompok fahaman tertentu ataupun isi kandungan khutbah yang tidak sesuai dengan isu semasa masyarakat
3. Menolak dan mengatakan khutbah yang disediakan tidak mempromosikan ekstrimisme setiap Jumaat, malah tiada galakan kepada orang Islam untuk melakukan keganasan dan memerangi kelompok fahaman tertentu dengan jalan kekerasan, namun mengakui ada kekurangan dalam khutbah yang mana tidak harus dicampuri oleh bukan Muslim

Walaupun ada perbezaan dalam tiga pandangan ini, ada persamaan yang boleh dirumuskan daripada pandangan tersebut iaitu dakwaan yang mengatakan Jakim mempromosi ekstrimisme setiap Jumaat adalah satu pembohongan tetapi menerima khutbah Jumaat Jakim ada masalah.
Pun begitu, permasalahan dalam isi khutbah ini harus diperbaiki dan diselesaikan oleh jabatan agama dengan masyarakat Muslim. Manakala pembohongan yang berkaitan dengan khutbah Jumaat ini harus dijawab melalui dialog, perbahasan mahupun soal jawab antara pihak yang menuduh dengan jabatan agama, bukan dengan melakukan penahanan dan penggunaan Akta Hasutan dalam menyelesaikan isu tersebut.
Sepertimana firman Allah di dalam Al-Quran yang mengajar kita dalam Surah An-Nahl ayat 125 yang bermaksud:
“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik.”
Semoga amalan pendidikan melalui wacana dan dialog terus menjadi budaya teras masyarakat di Malaysia dalam menyantuni isu-isu berkaitan agama dan kaum, sekaligus menolak secara total amalan ekstrimisme yang cuba merobohkan kubu keharmonian dan keamanan di negara kita.
* Penulis adalah pengasas The Gombak Society.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.