7 MEI — Istilah gentleman merujuk kepada sikap beradab tertib dan berbudi bahasa. 

Seperti yang mana kita sedia maklum, sikap hormat-menghormati dan berbudi bahasa merupakan sesuatu yang dituntut dalam kehidupan seharian. 

Jika di sekolah satu ketika dahulu, kita diajar untuk bersopan-santun bukan sahaja ketika berhadapan dengan guru-guru sekolah bahkan juga dengan abang-abang pengawas dan staf sekolah yang lebih tua daripada kita.

Begitu juga halnya di tempat kerja dan hubungan antara majikan-pekerja. Majikan menerima dan mendengar keluh-kesah pekerja manakala para pekerja menumpahkan taat setia dan komitmen dalam merealisasikan agenda sesebuah organisasi.

Advertisement

Suasana sebegini adalah sesuatu yang lazim. Disebabkan wujudnya kepercayaan dan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain, maka sesuatu yang dilihat sukar untuk dilaksanakan pada mulanya, akhirnya menjadi mudah. Demikian begitu mudahnya untuk kita mengamalkan sikap berbudi bahasa dalam tingkah laku dan tutur kata kita.

Soalnya, apakah kita bersedia untuk menyahut cabaran tersebut? Terdapat juga suara-suara sumbang yang mengatakan sikap gentleman hakikatnya mencerminkan kelemahan seseorang kerana mereka enggan berbalah ataupun berseteru.

Apakah dengan bersikap gentleman, seseorang itu dilihat sebagai seorang yang lembut, lemah dan tidak tegas? Apakah ego dan maruah itu begitu penting sehinggakan adab serta budaya perlu dikesampingkan?

Advertisement

Apa yang berlaku ketika ini tatkala negara sedang dilanda demam Pilihan Raya Umum ke-14 yang bakal berlangsung kurang 48 jam dari sekarang adalah tindakan segelintir pihak memaki-hamun antara satu sama lain mahupun mempamerkan sikap yang kurang matang apabila didatangi dengan sesuatu isu.

Sekalipun dipisahkan atas faktor ideologi politik, tetapi itu tidak bermakna masyarakat dan para politikus perlu melayan isu-isu di hadapan mereka secara keterlaluan dan melihatnya dalam kerangka yang sempit. Sebaliknya, sentiasa berlapang dada dan melihat sesuatu daripada perspektif yang lebih luas.

Seandainya pihak satu lagi tidak sependapat dengan apa yang diutarakan, tidak mengapa. Mereka berhak untuk tidak bersetuju dengan segala pandangan yang dilontarkan. Tetapi apa yang lebih penting di sini ialah kesediaan kita semua untuk menerima dan meraikan perbezaan.

Hakikatnya, perbezaan tidak wajar dijadikan sebagai alasan untuk memisahkan kita semua. Perbezaan juga tidak harus digunakan sebagai faktor untuk tidak bertegur-sapa dengan pihak lain. Mungkin tidak ramai yang sedar bahawa di sebalik perbezaan yang wujud inilah, sebenarnya terletak kekuatan negara kita. Ada negara di serata dunia yang hanya didiami oleh satu bangsa tetapi masih berbalahan dan bermandi darah. Di negara kita, mujurlah tiga kaum boleh duduk sebumbung tanpa sebarang masalah.

Justeru, jangan terlalu ghairah dan khusyuk dalam mempertahankan sesuatu pendirian sehinggakan silaturahim dan ukhwah antara satu sama lain hilang begitu sahaja.

Apa gunanya untuk berbalah semata-mata untuk melepaskan geram terhadap pihak-pihak tertentu? Adakah permasalahan akan selesai sekiranya kita melepaskan geram menerusi cara-cara yang kurang sopan? Apakah kita ingin melihat sengketa dan permusuhan berterusan dalam kalangan masyarakat kita?

Hidup di muka bumi ini hanyalah persinggahan sementara. Daripada kita berburuk sangka, caci-mencaci mahupun melemparkan tuduhan terhadap musuh kita, bukankah lebih baik jika kita mendoakan kesejahteraan untuk semua orang? Sudah tiba masanya untuk kita melihat jauh ke hadapan dan tidak terperangkap dalam pemikiran sempit yang hanya merugikan diri sendiri.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.