12 JUN — Rakyat di negara ini amat bertuah kerana berpeluang untuk meraikan pelbagai hari kebesaran tanpa sebarang gangguan tidak seperti di negara-negara lain.
Di sini, masyarakat berbilang kaum diberikan kebebasan untuk menganjurkan majlis ataupun upacara bagi memperingati hari-hari kebesaran selagi ia tidak bercanggah dengan undang-undang negara.
Daripada sambutan Thaipusam kepada perarakan Hari Wesak sehinggalah kepada sambutan Hari Gawai dan Keamatan, semuanya ini merupakan wadah yang berupaya untuk merapatkan jalinan silaturahim dan ukhuwah antara masyarakat.
Dalam konteks masyarakat majmuk seperti di Malaysia, usaha untuk merapatkan ukhuwah antara masyarakat merupakan perbuatan yang terpuji malah digalakkan di sisi agama. Selain dapat merapatkan hubungan, tindakan sedemikian juga secara tidak langsung boleh membantu segelintir pihak untuk memahami dengan lebih mendalam terhadap sensitiviti masyarakat lain.
Oleh yang demikian, jika sesuatu inisiatif yang dilaksanakan adalah berniat baik dan murni, kita tidak seharusnya menghalang apatah lagi memarahi orang lain semata-mata kerana perbezaan ideologi politik ataupun berlainan parti politik yang dinaunginya.
Sikap sedemikian sesungguhnya adalah tidak sihat dan berbahaya kepada perpaduan dan keharmonian negara. Seseorang itu tidak seharusnya terlalu taksub dengan ideologi politik sehingga mengakibatkan pemikiran mereka dikaburi dengan pandangan yang sempit.
Dalam era globalisasi yang makin pesat yang mana masyarakat kini lebih cerdik dan berupaya memperoleh maklumat dalam sekelip mata, rakyat tidak boleh lagi terbawa-bawa dengan sikap lama mereka yang tidak membawa sebarang faedah.
Sebagai contohnya, sekiranya ada pihak tertentu yang berniat murni untuk menganjurkan majlis meraikan anak-anak yatim biarpun pihak itu mungkin bukan dari agama yang sama, apa salahnya? Begitu juga dengan pemberian sumbangan kepada golongan yang kurang bernasib baik.
Selagi hasrat yang dizahirkan itu adalah murni, ikhlas dan bertujuan membantu golongan memerlukan serta dibenarkan oleh pihak berkuasa, maka inisiatif sebegini harus digalakkan.
Janganlah disebabkan seseorang itu berbeza fahaman politik dan menyokong pihak yang tidak sehaluan dengannya, maka usaha itu dihalang. Amatlah malang jika terdapat pihak tertentu yang cuba melakukan tindakan sedemikian kerana tindakan itu hanya akan memberi gambaran yang kurang positif mangerai tahap toleransi negara ini.
Semua agama mengajar penganutnya melakukan kebaikan. Maka kerana itu, berbuat balk sepanjang masa kerana pahala yang diterima adalah berlipat ganda. Pada masa yang sama juga, marilah sama-sama kita perbanyakkan usaha untuk merapatkan hubungan antara kaum di negara tercinta ini kerana aspek tersebut merupakan tonggak utama kepada kestabilan negara sejak sekian lama.
Tatkala usia Malaysia bakal mencecah 60 tahun pada 31 Ogos depan, sudah sampai masanya untuk rakyat di negara ini tanpa mengira agama, kaum mahupun latar belakang mereka, bergerak sebagai sebuah masyarakat yang dinamis lagi terbuka dalam berhadapan dengan cabaran-cabaran semasa.
Cabaran-cabaran yang datang nanti bakal menguji sejauhmanakah kesatuan dan keutuhan Malaysia. Kini, semuanya terletak di tangan rakyat kita sendiri. Semakin bersatu sesebuah masyarakat, pastinya semakin kuatlah sesebuah negara itu. Apabila sesebuah negara itu kuat, pastinya negara berkenaan akan disegani dunia.
* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.
