5 JUN — Kebelakangan ini, masyarakat di negara ini begitu cepat melatah dan marah apabila berlakunya sesuatu perkara.

Tidak kira sama ada perkara tersebut melibatkan dirinya sendiri ataupun melibatkan daripada kaumnya, mereka cepat membuat penghakiman dan seolah-olah sudah tahu jalan ceritanya.

Ironinya, mereka tampil dengan kesudahan sedemikian meskipun mereka mendapat berita berkenaan daripada sahabat handainya dan bukan secara langsung dengan mata sendiri. Lebih mendukacitakan, berita-berita sedemikian dikongsi bersama dengan orang lain biarpun kesahihannya masih tidak dapat dipastikan.

Mereka seolah-olah tidak kisah dengan kebenaran dan kesahihan sesuatu berita sungguhpun pelbagai nasihat dan gesaan telah diberikan oleh pihak berkuasa. 

Dalam konteks masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia, masyarakat di negara ini tidak seharusnya bersikap syak-wasangka mahupun menaruh kebencian terhadap orang lain hanya semata-mata kerana desas-desus atau gosip yang disebarkan.

Sebaliknya, masyarakat Malaysia sepatutnya memanfaatkan keunikan budaya, agama dan adat resam masyarakat majmuk yang ada untuk merapatkan ukhuwah dan silaturahim antara satu sama lain. Melalui pendekatan sedemikian, seseorang itu bukan sahaja berkesempatan untuk memahami dengan lebih mendalam sensitiviti sesebuah agama dan kaum bahkan juga satu cara untuk merapatkan jurang yang wujud.

Kepelbagaian yang wujud ini juga tidak seharusnya dijadikan sebagai halangan untuk mengenali kaum-kaum lain. Jangan sesekali menggunakan alasan yang tidak munasabah untuk tidak berinteraksi dengan orang lain. Mahu tidak mahu, dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia, interaksi dan pergaulan antara kaum akan berlaku jua.

Mungkin tidak ramai yang sedar bahawa kepelbagaian ini merupakan kekuatan utama kepada kestabilan dan keharmonian Malaysia sejak sekian lama. Malahan, Malaysia juga satu ketika dahulu pernah dicemburui masyarakat antarabangsa kerana faktor ini.

Tidak semestinya setiap isu wajar dibahaskan mengikut konteks perkauman ataupun agama semata-mata. Sebaliknya, nilai sesuatu isu itu daripada konteks yang lebih menyeluruh dan seimbang. 

Sikap syak-wasangka tidak akan membawa negara kita ke hadapan. Hakikatnya, sikap sedemikian hanya akan mengheret negara kita ke terbelakang semula. 

Apa yang kita ingin lihat ialah sebuah negara yang mana masyarakat berbilang kaumnya sentiasa toleran, sensitif terhadap perasaan kaum-kaum lain dan pada akhirnya, menjadi sebuah negara yang bersatu-padu dan disegani dunia.

Jangan biarkan ideologi politik mahupun perbezaan agama memisahkan kita. Tidak kira Melayu, Cina, India mahupun yang lain-lain, kita semua adalah sebuah keluarga besar di negara ini.

* Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Malay Mail Online.