12 SEPT — Siapa kata atlet paralimpik negara tidak setanding dengan atlet-atlet dari negara-negara lain? Siapa kata kontinjen-kontinjen paralimpik negara tidak berpeluang untuk meraih pingat emas pada Sukan Paralimpik yang berlangsung saban empat tahun sekali.
Ini adalah antara kata-kata yang mungkin dilemparkan oleh pihak-pihak tertentu yang tidak yakin akan kebolehan atlet-atlet Paralimpik negara. Bagi si pengkritik sebegini, mereka tidak mahu melihat atlet-atlet kita berjaya di persada antarabangsa.
Sebenarnya, situasi sedemikian bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Dalam apa keadaan sekalipun, tentunya ada manusia-manusia tertentu yang pastinya mempunyai alasan untuk mengkritik mahupun menidakkan sumbangan golongan berkenaan.
Bagaimanapun, pencapaian atlet-atlet Paralimpik negara di Rio kali ini amat memukau. Tiga pingat emas dalam tempoh sehari kesemuanya dalam acara olahraga merupakan sesuatu yang tidak kita jangkakan sama sekali. Ini juga bermakna prestasi kontinjen negara dalam Sukan Paralimpik kali ini adalah yang terbaik dalam sejarah. Sebelum ini, pencapaian terbaik kontinjen negara pada Sukan Paralimpik hanyalah sekadar meraih pingat perak dan gangsa.
Ketika artikel ini sedang ditulis, Malaysia telah pun meraih tiga pingat emas dalam acara olahraga hasil sumbangan Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh, Mohamad Ridzuan Puzi dalam acara 100m dan Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru. Dan berkemungkinan kilauan emas dan lagu Negaraku akan terus berkemundang pada hari-hari mendatang.
Kejayaan ketiga-tiga atlet tersebut membuktikan beberapa perkara. Yang pertama, atlet-atlet yang kurang upaya juga mempunyai bakat terpendam yang perlu digilap dan diberi perhatian serius. Seperti mana tumpuan khusus diberikan kepada atlet-atlet biasa negara, pendekatan sama wajar diberikan kepada atlet-atlet Paralimpik negara.
Kedua, berkat usaha, pengorbanan dan disiplin yang diterapkan dalam diri mereka, akhirnya atlet-atlet Paralimpik negara akhirnya berjaya bergelar sebagai juara dunia. Mereka telah membuktikan kepada dunia bahawa anak-anak Malaysia juga boleh berjaya jika mendapat bimbingan dan latihan yang betul.
Ketiga, kejayaan yang dikecapi ini turut menidakkan tohmahan kononnya atlet-atlet negara hanyalah jaguh kampung dan bukannya “world-beater.” Amat tidak adil dan tidak tepat untuk mengatakan bahawa Malaysia tidak mempunyai atlet-atlet bertaraf dunia. Bukankah kita telah melahirkan pemain nombor satu dunia dalam sukan badminton iaitu Datuk Lee Chong Wei dan pemain nombor satu dunia dalam sukan skuasy, Datuk Nicol Ann David?
Apa yang pasti juga, kejayaan ini telah berjaya menyatukan rakyat Malaysia daripada pelbagai bangsa dan agama yang rata-rata menyatakan kebanggaan mereka di atas pencapaian yang luar biasa ini. Sama ada Melayu, Cina, India mahupun yang lain-lain, hanya satu ayat yang keluar dari mulut mereka: Kami bangga dengan kejayaan anda! Inilah semangat solidariti dan kesatuan yang seharusnya ada dalam diri setiap rakyat tatkala mempunyai ideologi politik yang berbeza.
Sesi temuramah kru Astro Arena dengan Ketua Jurulatih Olahraga Paralimpik Negara, R. Jeganathan dan Mohamad Ridzuan Puzi yang viral di media sosial ketika ini, amat menyentuh perasaan dan sesiapa yang menontonnya pasti akan menitiskan air mata.
Sayang seorang jurulatih yang berbangsa India kepada seorang atlet berbangsa Melayu sesungguhnya membuktikan bahawa kepelbagaian budaya dan agama tidak dapat memisahkan keutuhan perpaduan dalam kalangan rakyat sebaliknya senjata paling berkesan untuk memacu negara ke hadapan.
Tahniah kepada ketiga-tiga atlet Paralimpik yang berjaya meraih pingat emas di Sukan Paralimpik di Rio. Anda adalah wira dan kebanggaan negara!
*Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.
