24 JUN — Cara kita berpakaian melambangkan perwatakan seseorang manusia.

Pastinya, apabila seseorang itu berpakaian singkat dan menjolok mata, mereka akan dianggap sebagai seseorang yang tidak menghormati norma masyarakat dan biadap.

Bagi mereka yang berpakaian sempurna pula, sudah tentu persepsi dan pandangan yang diberikan adalah sesuatu yang positif dan menyedapkan mata.

Baru-baru ini, isu pemakaian individu mencetuskan kontoversi di negara ini. Semuanya gara-gara kerana penyebaran sebuah video yang memaparkan seorang wanita dikehendaki memakai sarong ketika mengunjungi kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menurut laporan, sarong berkenaan diberikan oleh seorang pengawal keselamatan kerana didapati pakaian yang dipakainya menjolok mata dan tidak mematuhi peraturan pemakaian yang ditetapkan.

Semenjak insiden tersebut, beberapa kes yang sama turut dilaporkan dalam media dan yang terkini, dua wanita tempatan dilarang daripada memasuki ke dalam Bangunan Sekretariat Selangor selepas didakwa tidak berpakaian sopan.

Rentetan daripada insiden itu, Menteri Besar Selangor menafikan wujudnya peraturan sedemikian. Kesudahan yang sama turut berlaku dalam insiden di JPJ apabila JPJ akhirnya memohon maaf atas insiden yang mengaibkan itu.

Tidak dinafikan, pemakaian yang sopan adalah penting tidak kira di mana sahaja kita berada - di tempat kerja, rumah, tempat beribadat hatta apabila kita bertemu dengan sesiapa sahaja.

Namun begitu, dalam beberapa insiden yang dilaporkan, yang mengarahkan pemakaian sarong itu nampaknya dilakukan oleh pengawal keselamatan dan bukannya pengurusan tertinggi organisasi-organisasi terbabit.

Jadi, siapa sebenarnya yang berkuasa untuk menetapkan peraturan sedemikian? Mengapakah pengawal keselamatan diberikan ‘kuasa’ untuk mengarahkan arahan sedemikian? Bukankah tugas mereka lebih terarah kepada aspek keselamatan? Sejak bila tugas pengawal keselamatan berubah kepada aspek menjaga pemakaian orang ramai yang berkunjung ke kaunter?

Melihat kepada beberapa insiden yang dimaksudkan, apakah yang dimaksudkan “tidak berpakaian sopan” seperti yang dinyatakan? Apakah tahap moraliti dan tidak kesopanan yang dimahukan oleh mereka yang berkenaan?

Penulis sebenarnya menyokong pemakaian yang sopan di khalayak. Akan tetapi, peraturan-peraturan seperti yang kita dengar tadi haruslah praktikal dan logik serta seiring dengan peredaran masa. Paling mustahak, peraturan-peraturan yang ditetapkan haruslah tidak menyusahkan mana-mana pihak.

Penulis yakin, setiap masyarakat di negara ini tahu apakah yang dikatakan sebagai pemakaian yang sopan dan tidak sopan. Tidak perlulah untuk orang lain untuk memberitahu kita bahawa pemakaian kita tidak sopan. Lagipun, ketika di bangku sekolah dahulu, kita telah diajar oleh guru-guru sekolah untuk senantiasa berpakaian sopan dalam apa jua keadaan. Pastinya, ingatan tersebut masih segar dalam ingatan kita semua.

Hakikatnya, ada banyak isu besar yang lebih penting, yang memerlukan perhatian pihak berkuasa mutakhir ini. Isu-isu besar seperti bencana alam yang melanda, masalah ketirisan penggunaan dana awam, hubungan antara kaum dan juga kestabilan politik menuntut perhatian yang lebih kerana isu-isu sebegini berupaya untuk menjejaskan kredibiliti negara di mata dunia.

Pihak berkuasa haruslah memastikan bahawa kontroversi-kontoversi sebegini yang menjadi viral di media sosial, ditangani secara baik bagi memastikan masyarakat tidak mendapat gambaran salah mengenai isu berkenaan. Kita tidak mahu negara kita diketawakan dengan isu-isu yang dilihat bukan prioriti.

Ayuh, fokuslah kepada isu-isu penting yang memerlukan perhatian segera!

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan Malay Mail Online.