18 MEI — Tidak beberapa lama dahulu, Malaysia dilihat sebagai sebuah negara yang memiliki kestabilan politik yang utuh. Tatkala negara-negara Islam lain di seluruh dunia dilanda konflik berdarah dan perang saudara, bumi Malaysia masih aman.
Jika ada pun, hanya kedengaran konflik-konflik kecil yang tidak serius dan meletus pada permukaan sahaja. Disebabkan kebijaksanaan dan kewibawaan kepemimpinan terdahulu dalam menguruskan sesuatu isu, Malaysia cukup bertuah dan dianggap sebagai negara Islam contoh.
Sebut sahaja nama Malaysia, imej pertama yang terlintas dalam fikiran umum ialah kestabilan politiknya, perpaduan antara masyarakat berbilang kaum dan kemampuannya menguruskan perpaduan dalam kepelbagaian.
Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, aspek kestabilan politik yang kita banggakan selama ini kian pudar. Sebaliknya, apa yang dapat kita lihat ketika ini ialah budaya berpolitik yang kurang matang, berdendam dan bersifat peribadi. Semuanya seolah-olah sudah lupa akan budaya berpolitik yang tertib atau gentleman yang seharusnya ada pada diri semua politikus. Barangkali mereka juga sudah lupa akan sebab dan objektif utama mereka mula memasuki arena politik satu ketika dahulu.
Malangnya, apa yang lebih diutamakan ialah kelangsungan politik, kepentingan peribadi dan juga ego mereka, lantaran membelakangkan janji-janji yang pernah dijajakan kepada rakyat bahawa kepentingan rakyat menjadi keutamaan. Kebodohan, kejahilan dan sifat keanak-anakan yang selama ini tidak kelihatan, akhirnya timbul.
Perang mulut secara terbuka antara Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mutakhir ini menjadi bukti terbaik kepada apa yang disebutkan tadi. Ketegasan Tun Mahathir agar Najib meletak jawatan kerana ketidakmampuan beliau untuk menjawab isu-isu yang dibangkitkannya menghangatkan lagi suhu politik negara yang nampaknya tidak pernah sunyi daripada kontroversi.
Persoalan siapakah betul dan patutkah Najib meletak jawatan bukan ditentukan oleh seorang pemimpin tetapi oleh mandat yang diberikan oleh rakyat pada peti undi nanti. Apa yang cukup dibimbangkan ialah semakin lama perang mulut secara terbuka antara Tun Mahathir dan Najib berlarutan, ia bukan sahaja memberi kesan negatif kepada ekonomi tetapi juga kepada kestabilan politik negara dalam jangka panjang.
Bukankah senario sama yang dihadapi oleh Najib sekarang pernah dihadapi oleh mantan Perdana Menteri yang kelima, Tun Abdullah Badawi? Persoalannya, apakah desakan demi desakan yang dilakukan ketika ini membantu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi?
Apakah cubaan untuk mendesak Najib meletak jawatan akan menyelesaikan masalah-masalah yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir? Sejarah telah membuktikan bahawa perubahan kepimpinan jika tidak diiringi dengan perubahan substantif ke atas masalah yang dihadapi, ia tidak membawa banyak beza.
Pergolakan politik yang tidak berkesudahan ini sesungguhnya hanya mengheret Malaysia terus ke belakang dalam pelbagai bidang. Jika benarlah para pemimpin politik di negara ini benar-benar sayangkan negara, maka mereka harus berfikiran jauh dan mengetepikan sentimen peribadi dalam tindakannya.
Jika benarlah mereka mengutamakan dan sayangkan rakyat, berikan tumpuan kepada aspek membangunkan negara. Yang pasti, rakyat sudah jemu dengan politiking yang tidak berkesudahan dari kalangan pemimpin politik kita.
Wahai pemimpin-pemimpin politik kita, “Time to buck up!”
* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan Malay Mail Online.
