MAC 9 — Anis Sabirin. Satu nama yang jarang sekali menjelma dalam wacana feminis di Malaysia. 

Suatu ketika di penghujung dekad 1960-an, beliau terkenal sebagai suara yang lantang mengkritis penggambaran wanita yang seksis dalam sastera Melayu moden. 

Beliau bagaikan perintis feminis moden yang berpencapaian tinggi, lain daripada tokoh-tokoh feminis-nasionalis terkemuka seperti Shamsiah Fakeh dan Sybil Kathigasu yang dating sebelumnya. 

Malaysia pada zaman 1960-an sebuah negara yang baru mengenali pembangunan moden dan hidupan kosmopolitan yang banyak memanfaatkan golongan wanita di bandar. 

Advertisement

Dapat dilihat di zaman ini ramai wanita yang bekerja dan berkerjaya berikutan bilangan mahasiswi di universiti yang meningkat. 

Lahir pada tahun 1936 di Johor Baru, Anis Sabirin adalah antara wanita generasi moden 1960-an yang menyambut peluang melanjutkan pelajaran hingga ke tahap PhD dalam bidang ekonomi di Amerika Syarikat. 

Beliau pernah menetap di San Francisco dan Los Angeles selama 20 tahun dan giat menulis fiksyen dan puisi dalam bahasa Melayu dan Inggeris. 

Advertisement

Esei-eseinya tentang isu wanita dalam Peranan Wanita Baru dan majalah Dewan Sastera menempatkan Anis Sabirin antara penulis wanita bersifat feminis yang terawal di Malaysia. 

Pada tahun 1963, beliau pernah menyampaikan kritikan yang menyengat di Majlis PENA yang berlangsung di Universiti Malaya. 

Anis Sabirin. — Gambar fail
Anis Sabirin. — Gambar fail

Dalam ucapannya, penulis lelaki popular seperti Yahya Samah, Alias Ali, Keris Mas, dan Kala Dewata sering mengisi novel mereka dengan watak pelacur dan mangsa rogol sebagai ‘perencah’ cerita. 

Menurut Anis Sabirin, watak wanita yang menggiurkan menjadi ‘barang dagangan’ bagi menyara kehidupan seorang sasterawan lelaki. 

Dari sudut pandang sekarang, Malaysia pada dekad 1960-an adalah seperti negara yang asing. 

Mungkin sukar untuk kita bayangkan bahawa pasaran novel picisan di zaman dahulu penuh dengan seks dari muka depan hingga ke belakang. 

Seperti majalah lucah, kulit buku Temasya Cinta oleh A. Samad Ismail dan Patah Dayong oleh Yahya Samah dihiasi imej wanita yang telanjang. 

Mengikut Anis Sabirin, perempuan dalam novel-novel seperti ini ‘sudah menjadi barang yang rosak dan merosakkan’.

Sangat mengejutkan jika kita membaca esei-esei yang dihimpun dalam Peranan Wanita Baru terbitan Utusan Melayu pada tahun 1969. 

Tajuknya - Peranan Wanita Baru - mengacu kepada wanita 1960-an yang sedang melangkah ke zaman paska-kolonial yang penuh perubahan sosial dan budaya. 

Seiringan dengan itu, gerakan feminisme gelombang kedua di Amerika Syarikat baru sahaja berputik di pertengahan 1960-an. 

Anis Sabirin begitu peka kepada kehendak wanita moden yang dibelenggu pemahaman adat dan agama yang kuno. 

Menurutnya, sudah ramai wanita 1960-an yang berpendidikan tinggi dan mempunyai daya saing di tempat kerja tetapi ditekan oleh beban rumahtangga. 

Beliau menggaris dengan terang-terang bahawa kemajuan wanita terletak di luar rumah. 

Nanti bila pergaulan bangsa kita menjadi bertambah bebas, kenyataan ini boleh-lah di-buktikan, bahawa wanita yang bekerja itu hidup-nya menarek daripada sa-orang wanita yang dudok di-rumah, dan sebab itu dia tidak payah berlumba-lumba memikat orang lelaki untok memboktikan daya penarek-nya. 

Peranan Wanita Baru merupakan satu-satunya buku yang menyasarkan bara terhadap patriarki yang tertanam degil di akar umbi budaya Melayu. 

Boleh dikatakan bahawa belum pernah adanya buku yang sepertinya malah ia lenyap dari wacana feminis Malaysia. 

Soalnya mengapa? 

Suara lantang Anis Sabirin dalam Peranan Wanita Baru mungkin tidak mendapat sambutan yang meluas di kalangan wanita dan lelaki Malaysia. 

Penulis wanita yang berani mencabar lelaki akan disisih secara terang dan halus. 

Meskipun sumbangan wanita dalam dunia sastera Malaysia dianugerahkan bermacam pingat dan piala, mereka tidak 

diagungkan seperti lelaki sejawatnya. 

Tidak ada sasterawati Melayu yang dikenali umum seperti Shanon Ahmad dan A Samad Said.

Setelah 46 tahun sejak terbitan Peranan Wanita Baru, bagaimana pula pembaca novel popular sekarang yang dihidangkan dengan keasyikan kahwin kontrak dan ombak rindu? 

Di mana pergi peredaran zaman yang memberi peluang kepada wanita seluas-luasnya pada tahun 1960-an itu? 

Pendirian tegas Anis Sabirin tentang isu wanita jauh berbeza daripada wanita Malaysia yang menulis dalam bahasa kebangsaan di waktu kini. 

Namun penulisannya masih segar dan relevan. 

Sebagai seorang wanita yang giat menulis tentang isu wanita, saya mengambil iktibar darinya dan mengkagumi esei-eseinya yang bersifat feminis dan ‘global’ yang muncul sebelum kemudahan internet dan arus globalisasi. 

Hujah feminis yang dikemukakan dalam Peranan Wanita Baru adalah bukti bahawa masa depan wanita di Malaysia tidak menentu. 

Kekangan dahulu sama seperti kekangan sekarang. 

Suasana zaman atau zeitgeist yang kini diungkapkan oleh wacana ‘demokrasi’ dan ‘hak asasi’ tidak menjamin kemajuan dan pencerahan. 

Namun, perjuangan feminis di Malaysia yang kini semakin memuncak akan meninggalkan kesan yang lebih bermakna dan sejarah yang lebih diperingati oleh generasi yang akan datang.

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan Malay Mail Online