22 FEBRUARI—“Sarawak adalah milik setiap dan semua yang menggelar mereka sebagai rakyat Sarawak. Kami membina Sarawak berdasarkan kepada semangat hormat-menghormati antara satu sama lain. Sarawak adalah untuk semua dan Sarawak adalah cukup besar untuk semua orang.”
Demikian kata-kata bersemangat yang diucapkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dalam ucaptamanya sempena sambutan Tahun Baru Cina yang berlangsung baru-baru ini.
Apa yang diperkatakan oleh Tan Sri Adenan itu memang tepat pada masanya tatkala suhu politik di negara kita masih berkocak dan terus dihantui dengan sentimen perkauman yang tidak berkesudahan.
Selama ini, kita jarang mendengar kenyataan-kenyataan positif dan sarat dengan mesej sebegini daripada pemimpin politik tetapi Tan Sri Adenan telah memecahkan tradisi itu. Beliau telah membuktikan bahawa beliau menjunjung tinggi semangat 1Malaysia dan bersedia untuk mempertahankan Sarawak daripada segala anasir perkauman yang kurang sihat. Untuk itu, penulis ingin ucapkan tahniah kepada beliau.
Apa yang cukup signifikan mengenai mesej itu ialah ia datangnya daripada orang yang paling berkuasa di Sarawak iaitu Adenan Satem sendiri. Sudah tentu apabila mesej datangnya dari pihak berkuasa, ia akan dipandang serius dan mendapat perhatian umum.
Kepada pemimpin-pemimpin politik yang lain di negara ini, mungkin ada baiknya jika mereka mengambil iktibar di sebalik keberanian yang ditunjukkan oleh Tan Sri Adenan. Apa salahnya jika pemimpin-pemimpin politik menelan ego mereka dan menunjukkan teladan yang baik?
Bukankah sebagai seorang figura awam, mereka harus berwaspada dengan segala tutur-kata dan tingkah laku mereka? Mengapa pemimpin-pemimpin politik kita gemar mengeluarkan kenyataan demi kenyataan yang berbaur perkauman? Bukankah sebagai pemimpin, anda sebenarnya berkhidmat untuk semua rakyat tanpa mengira kaum? Di manakah perginya sikap integriti mereka dan lafaz Aku Janji untuk menggalas tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik dan jujur?
Bagi kebanyakan daripada kita, mesej yang sarat dengan maksud tersirat itu
wajar membuka mata kebanyakan pemimpin politik dan kalangan rakyat Malaysia yang masih terikut-ikut dengan semangat perkauman yang menebal bahawa pendekatan politik sedemikian sudah tidak relevan dalam konteks politik semasa.
Kecenderungan pemimpin-pemimpin politik tertentu yang cuba mempersoalkan kesetiaan sesebuah kaum mahupun mengungkitkan status pendatang mereka jelas menunjukkan masih ada pihak tertentu yang tidak memahami hakikat realiti politik semasa.
Untuk sesebuah negara bergerak ke hadapan, politik perkauman bukanlah jalan penyelesaiannya. Budaya menyemai kebencian menerusi politik perkauman bukan sahaja akan mengheret sesebuah negara 10 atau 20 tahun ke belakang bahkan juga menjadikan keadaan di sekitar semakin bertoksik sekaligus menjadikan setiap rakyat tidak mempercayai antara satu sama lain.
Biarpun situasi di negara kita tidaklah seterus yang digembar-gemburkan, akan tetapi kita sebagai rakyat Malaysia mempunyai tanggungjawab moral yang perlu dilaksanakan bagi memastikan hasrat pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu untuk melihat sebuah Malaysia yang harmoni dan sejahtera, tidak disia-siakan begitu sahaja.
Amat penting buat pemimpin-pemimpin negara agar tidak hanya bertindak dan memberi maklum balas hanya selepas berlakunya sesuatu masalah. Bagi penulis, sikap berkenaan jelas menggambarkan ketidaksungguhan dan keprihatinan pemimpin-pemimpin negara untuk menangani isu perkauman secara serius.
Isu perkauman sebagai contohnya harus ditangani dari awal dan hingga ke lubang cacing. Jika ada pihak tertentu yang cuba untuk menangguh di air keruh, pihak berkuasa tidak seharusnya teragak-agak untuk mengambil tindakan. Tindakan yang akan diambil itu haruslah adil dan tidak mengira siapa mereka hatta mereka yang berpengaruh sekalipun.
Seharusnya, tidak ada kompromi dari pihak berkuasa dalam hal-hal yang membabitkan keselamatan negara dan dalam konteks ini, isu perkauman adalah satu-satunya isu yang paling mudah untuk dieksploitasi oleh mereka yang berkepentingan.
Pihak berkuasa perlu menunjukkan keseriusan mereka untuk menangani isu perkauman dengan memberikan layanan yang sama kepada setiap kes yang diterima. Tidak dinafikan setiap kes menuntut pendekatan berbeza-beza, namun apa yang lebih penting ialah kesungguhan pihak berkuasa untuk menanganinya.
Oleh itu, jika ada pihak tertentu yang menganggap bahawa strategi mereka untuk memporak-perandakan negara ini dengan menggunakan politik perkauman akan berjaya, mereka sudah tersilap. Ini kerana, majoriti rakyat Malaysia sudah matang dan sedar akan niat pihak berkenaan.
Bagi majoriti rakyat Malaysia, mereka yakin dan percaya langkah untuk mara ke hadapan buat negara ini ialah dengan mengamalkan budaya politik yang sederhana atau wasatiyyah. Suara-suara kesederhanaan ini juga ketara dengan terbentuknya beberapa gabungan NGO yang kini semakin aktif bersuara selain mesej-mesej yang cuba disampaikan di media massa.
Masa depan negara terletak di tangan rakyatnya. Jika pemimpin-pemimpin politik yang dipilih oleh rakyat tidak menjalankan amanahnya dengan baik, maka rakyat sendiri harus mengambil inisiatif untuk memperbetulkan keadaan tanpa perlu bergantung kepada arahan pemimpin-pemimpin politik.
Anda bagaimana?
* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan Malay Mail Online.
