7 NOVEMBER ― Presiden Amerika Syarikat ke-35, John F. Kennedy ketika memberikan ucapan sulungnya sebagai Presiden baharu pada 20 Januari 1961 pernah melaungkan kata-kata keramat berikut: “Ask not what your country can do for you, ask what you can do for your country.”

Jika kata-kata tersebut tidak diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu sekalipun, pastinya ramai daripada kita yang sudah mengerti maksud tersirat di sebalik ucapan Presiden Kennedy itu.

Nadanya cukup nasionalistik. Motifnya juga cukup mudah difahami. Misinya hanya satu iaitu untuk menggerakkan rakyat Amerika Syarikat ketika itu untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan perang dengan Soviet Union yang ketika itu cuba meluaskan lingkungan pengaruhnya.

Apa yang diucapkan oleh Kennedy itu cukup bermakna dan kena pada masanya. Cuba lihat senario di Malaysia mutakhir ini. Berapa ramai rakyat kita yang pernah merenung sejenak kata-kata Kennedy itu dan bertanya kepada diri sejauhmanakah mereka memberikan sumbangan kepada negara. Tidak dinafikan memang ada kalangan rakyat yang patriotik tetapi bagaimana yang lain?

Apakah mereka lebih gemar menuding jari terhadap orang lain, enggan memberi sumbangan, mengadu dan sentiasa mengelak daripada mengambil tanggungjawab terhadap sesuatu isu. Lebih buruk lagi, mereka mungkin gemar mencari kesilapan orang lain hinggakan diri mereka seolah-olah sempurna sifatnya.

Saban kali, kedengaran begitu banyak aduan serta kritikan rakyat terhadap bermacam perkara. Perkara atau masalah yang dimaksudkan itu merangkumi kepincangan prestasi dalam agensi kerajaan, ketidakupayaan sesebuah agensi untuk menangani masalah mahupun masalah rasuah yang dikatakan makin berleluasa.

Hakikatnya, apabila sesuatu masalah rakyat tidak dapat diselesaikan dengan baik, mereka mula mengamuk, marah dan memaki-hamun terhadap pihak berkuasa. Ada pula yang bertindak mengingkari arahan pihak berkuasa sebagai tanda protes  dan sikap sedemikian sesungguhnya adalah tidak wajar.

Umum mengakui, masih ada banyak penambahbaikan yang boleh dilakukan khasnya dalam sistem penyampaian kerajaan. Sebagai seorang rakyat marhaen, penulis juga merasakan ada beberapa perkara di negara ini yang memerlukan anjakan paradigma dan penambahbaikan.

Daripada sistem pengangkutan negara yang masih parah kepada kematangan rakyat ketika menggunakan media sosial sehinggalah keengganan pihak tertentu menerima kepelbagaian pendapat, semuanya menuntut perhatian yang tuntas.

Akan tetapi, penulis mengakui tuntutan ke arah penambahbaikan haruslah dijalankan secara teratur dan tertib. Pastinya, proses penambahbaikan ini tidak akan berlaku semalaman sebaliknya akan memakan masa. Pihak kerajaan sedar akan hakikat ini dan mereka sedang cuba bersungguh-sungguh biarpun ada pihak yang sangsi dengan usaha tersebut.

Ternyata, hasil penambahbaikan ini mungkin hanya dapat dilihat dalam tempoh enam bulan, setahun ataupun mungkin lama. Maka kerana itu, adalah penting untuk kedua-dua pihak baik dari pihak kerajaan mahupun rakyat untuk memahami kekurangan yang timbul.

Dalam erti kata lain, perlu adanya keseimbangan antara harapan (expectation) rakyat dengan kemampuan kerajaan. Bermakna, rakyat juga haruslah memainkan peranan mereka dan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan untuk memakmurkan negara tercinta ini.

Segala cubaan untuk berkonfrontasi dengan cara yang kurang sesuai perlulah dielakkan kerana pendekatan sebegini tidak akan memberikan hasil yang dimahukan. Semestinya, wujudkan sinergi yang mantap antara kerajaan dan rakyat bagi menjamin segala dasar yang ingin direncanakan dapat dilaksanakan dengan lancar.

Sesebuah negara tidak akan dapat berfungsi dengan baik jika hanya wujud hubungan sehala. Di satu pihak, kerajaan perlulah responsif dengan keluhan rakyat dan cuba menyelesaikan masalah yang dihadapi manakala di pihak rakyat pula, mereka perlulah proaktif dan sentiasa bersedia untuk membantu. Hanya dengan wujudnya sinergi dan kerjasama antara kedua-dua pihak, barulah negara akan bergerak maju.

Tiada sebuah kerajaan di dunia ini yang sempurna hinggakan mereka tidak perlukan teguran dan kritikan membina daripada rakyat. Kerajaan Malaysia juga tidak terkecuali. Apapun, teguran dan kritikan yang diberikan oleh rakyat adalah penting bagi memastikan pihak pemerintah sentiasa menambahbaik mutu perkhidmatan kepada rakyat.

Rakyat sudah memberikan mandat kepada kerajaan untuk memerintah dan oleh sebab itu, mandat tersebut perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Sebarang teguran atau kritikan yang diberikan bukanlah bertujuan untuk memburukkan imej kerajaan tetapi lebih untuk memastikan pihak pemerintah tidak berada pada zon selesa.

Menerusi teguran dan kritikanlah, ia akan mematang dan mendewasakan semua pihak. Dalam keghairahan mengkritik dan menegur, ada baiknya juga untuk semua bermuhasabah diri dan bertanyakan kepada diri apakah kritikan demi kritikan yang dilontarkan itu dibuat kerana ingin melepaskan geram, tidak suka akan pemerintah ataupun sebenar-benarnya sayangkan kepada negara tercinta ini?

Dewasa ini, terlalu banyak orang yang hanya pandai mengkritik tetapi tidak sekalipun tampil memberi sumbangan atau menyumbang idea kepada kemajuan serta kemakmuran Malaysia. Ini adalah negara kita bersama. Di sini juga tanah tumpah darahnya kita.

Justeru, ia menjadi tanggungjawab semua rakyat untuk membangunkan negara dan bumi bertuah ini. Setiap rakyat mempunyai peranan tersendiri untuk memakmurkan negara kita. Setiap rakyat wajar mengikis sikap acuh tak acuh bahawa usaha membangunkan negara hanya disandarkan kepada bahu pihak kerajaan semata-mata.

*Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.