7 SEPTEMBER — Kita sering mendengar pihak-pihak tertentu yang mahukan kebebasan untuk melakukan sesuatu perkara.

Kita juga sering mendengar keluhan agar kebebasan untuk melakukan sesuatu perkara termasuk kebebasan berhimpun, berucap mahupun memeluk sesuatu agama tidak disekat.

Bagi mereka, kebebasan rakyat tidak harus disekat mahupun dihalang kerana ia bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan negara. Atas nama kebebasan inilah, mereka percaya kebebasan manusia tidak boleh disekat sama sekali dan bebas melakukan apa sahaja atas nama kebebasan semata-mata.

Hakikatnya, definisi kebebasan cukup luas dan subjektif. Kebebasan bagi pihak A mungkin berbeza dengan pihak B kerana masing-masing mempunyai aspirasi dan pandangan tersendiri. Pihak A mungkin berpendirian bahawa kebebasan yang dimiliki oleh rakyat perlu dikawal lebih-lebih lagi jika negara yang didiaminya adalah berbilang kaum dan agama. Pihak B pula mempunyai pendirian yang lebih terbuka dengan menyokong konsep kebebasan total atau menyeluruh.

Tidak dinafikan konsep kebebasan adalah cukup penting dalam kehidupan manusia. Akan tetapi, konsep kebebasan yang ingin diangkat dan diperjuangkan perlulah seiring dengan sensitiviti, acuan serta realiti semasa sesebuah negara. Di Malaysia, ia juga tidak terkecuali. Tidak semestinya, konsep kebebasan mutlak yang diamalkan di negara-negara maju adalah sesuai untuk diamalkan di negara-negara lain. Ini kerana, setiap negara mempunyai suasana dan sistem politik yang berbeza.

Apapun penulis percaya, setiap rakyat perlu diberikan ruang yang mencukupi untuk melakukan perkara yang disukainya. Pastinya, tiada siapa yang mahu ruang kebebasan yang telah diberikan itu, dirampas semula. Tiadanya kebebasan bukan sahaja akan membuatkan rakyat semakin rimas bahkan menjadikan mereka semakin memberontak.

Dalam realiti semasa di Malaysia, konsep kebebasan secara total tidak begitu sesuai. Dengan komposisi masyarakat di Malaysia adalah cukup majmuk dan masing-masing mempunyai budaya serta kepercayaan masing-masing, adalah sukar dan bahaya jika setiap daripada mereka diberikan kebebasan total untuk melakukan apa sahaja secara sewenang-wenangnya.

Kebebasan secara terkawal tidaklah bermakna kebebasan rakyat telah terhakis. Akan tetapi, rakyat sendiri perlu menyedari dan faham bahawa konsep kebebasan total sebenarnya tidak wujud di muka bumi ini. Amerika Syarikat umpamanya yang sering bermegah-megah dengan konsep demokrasi yang telus dan terbuka, turut mempunyai kepincangannya tersendiri. Cumanya, kepincangan tersebut jarang diperkatakan kerana mereka adalah kuasa besar dunia yang berpengaruh.

Misalnya, dalam insiden-insiden yang membabitkan perkauman seperti mana yang berlaku di Ferguson, Missouri baru-baru ini, memperlihatkan kecenderungan pihak berkuasa untuk mengambil langkah pencegahan awal sebelum keadaan menjadi lebih meruncing. Apa yang diperkatakan oleh Perdana Menteri baru-baru ini bahawa perlu adanya batasan dan akauntabiliti untuk rakyat meluahkan pandangan serta pendapat mereka, ada kebenarannya dan boleh direnungkan bersama.

Menurut penulis ni, insiden seperti yang berlaku di Ferguson, Missouri baru-baru ini mungkin ada kebenarannya bahawa perlu adanya batasan dan akauntabiliti untuk rakyat meluahkan pandangan serta pendapat mereka. — Reuters pic
Menurut penulis ni, insiden seperti yang berlaku di Ferguson, Missouri baru-baru ini mungkin ada kebenarannya bahawa perlu adanya batasan dan akauntabiliti untuk rakyat meluahkan pandangan serta pendapat mereka. — Reuters pic

Dalam keghairahan kita meluahkan perasaan dan pendapat terhadap sesuatu isu, mungkin ada baiknya kita merenung sejenak dan bertanya kepada diri sendiri sejauhmanakah perlunya sesuatu pandangan itu diluahkan secara penuh emosi.

Adakalanya jika sesuatu isu berbangkit yang melibatkan kepentingan rakyat dibincangkan secara rasional dan penuh pragmatik. Apa yang berlaku ketika ini di negara kita membuatkan ramai yang tertanya-tanya dengan hala tuju negara kita.

Sejak kebelakangan ini, semakin ramai pihak yang suka mempertikaikan kesetiaan rakyat dari kaum lain dan tuntutan untuk mendapatkan hak itu dan ini. Ada pula yang cuba memprovokasi kaum lain dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menghina. Inilah senario semasa apabila isu kaum agama dan kaum dibangkitkan. Mereka makin ekstrem, hilang pertimbangan dan taksub.

Dalam perkembangan berkaitan, penyalahgunaan media sosial seperti Facebook oleh segelintir pengguna juga merupakan contoh terbaik bagaimana kebebasan mutlak memberikan ruang kepada segelintir pengguna yang tidak bertanggungjawab ini untuk merosakkan segala usaha murni yang dibina selama ini.

Disebabkan kejahilan segelintir pengguna media sosial ini, menyebabkan pengguna media sosial lain terpaksa menerima tempiasnya walhal media sosial sedia ada hanyalah bertindak sebagai platform dan tidak harus dijadikan sebagai kambing hitam kepada perbuatan tidak bertanggungjawab pengguna.

Tindakan menutup media sosial atau mendaftarkan pengguna Facebook dengan pihak berkuasa seperti yang dicadangkan oleh seorang bekas Menteri tidak akan menyelesaikan perkara pokok sebaliknya hanya akan mengundang lebih banyak persoalan yang tidak berkesudahan.

Justeru, dalam kita membahaskan mengenai isu kebebasan ini, mungkin ada baiknya jika rakyat Malaysia menerima hakikat bahawa kebebasan mutlak tidak mungkin dibenarkan di negara majmuk seperti Malaysia. Sedarlah bahawa kesan dan bahana yang perlu diterima mungkin terlalu tinggi untuk digalas.

Umum mengetahui elemen agama dan kaum merupakan dua elemen paling destruktif yang akan menghancurkan Malaysia. Sekiranya kedua-dua elemen ini tidak dibendung dengan rapi, maka resipi ke arah kehancuran adalah sesuatu yang tidak boleh diketepikan selepas ini.

Apakah kita sanggup menggadaikan kepentingan jangka panjang semata-mata untuk memenuhi kepentingan jangka pendek atas prinsip memperjuangkan kebebasan mutlak yang tidak diketahui impaknya?

Kebebasan terkawal atau kebebasan mutlak — manakah pilihan anda?

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan Malay Mail Online.