31 OGOS — Saya sebenarnya pening dengan cerita politik dan MB di Selangor. Dari mula kemelut berlangsung sehingga ke hari ini, saya give up. Seperti kata seorang kawan, “ siapapun MB, kita masih macam ni juga, yang untung tetap mereka dan yang berkepentingan juga mereka. Lainlah kalau mereka mampu menyelesaikan masalah hidup kita”.

Oleh itu lupakanlah sekejap tentang politik, lebih baik kita bercerita tentang muzik. Kepala pun tak akan pening.

Selain bermain muzik, saya juga seorang guru mengajar gitar. Saya bersyukur sebenarnya sebab segala penat lelah merapu, melalak tepi tembok, menyanyi siang dan malam, menghafal lagu-lagu orang putih dan Melayu dengan membeli buku buku lagu Inggeris dan Melayu waktu zaman sekolah dulu, akhirnya mendatangkan hasil dan saya mampu hidup dan menanggung keluarga dengan bermain muzik (walau tak kaya).

Saya ingin memberi nasihat dan pandangan kepada anak anak muda hari ini juga kepada mereka yang mahu menjadikan muzik sebagai satu kerjaya. Tidak kira samada mereka bercita cita mahu menjadi pemuzik jalanan, pemuzik di pub dan hotel mahupun menjadi seorang ‘sessionist’.

Kebanyakan anak murid saya umur mereka masih di peringkat belasan tahun. Maka itu citarasa muzik mereka tentulah muzik dan lagu lagu popular di zaman ini. Malah saya mendapat info tentang lagu lagu hari ini pun melalui merekalah.

Sewaktu saya mula belajar bermain gitar pada awal tahun 80an dulu, lagu lagu yang saya belajar adalah lagu lagu yang mudah seperti lagu “Biarkan Bunga Berkembang” atau “Mimpi Sedih” nyanyian Broery atau lagu lagu yang sezaman dengannya.

Ianya berkesan kerana dari segi melodi dan counting, lagu itu mudah, hanya 3 kord sahaja. Countingnya standard 4/4. Jadi untuk kita yang baru nak belajar main gitar, lagu lagu yang seperti itu sangat berkesan untuk meningkatkan kemahiran kita dalam permainan gitar.

Sepatutnya untuk kita belajar muzik, perlu di awal umur lima tahun lagi kerana di waktu itu kita akan diajar untuk mengenal apa itu muzik, bukan apa itu lagu.

Kanak kanak di usia begitu mereka akan ikut apa saja jenis melodi yang guru mereka ajar. Mereka belum terdedah dengan muzik yang pelbagai jenis dan rentak. Mereka hanya mengenal melodi.

Itulah yang kebanyakan sekolah muzik akan lakukan. Umpamanya kita belajar gitar untuk genre klasikal contohnya. Segala silibus sudah tersedia mengikut susunan dalam buku latihan megnikut gred.

Pelajar tidak punya pilihan selain mengikut apa yang guru mereka ajar mengikut silibus yang ditetapkan.

Masalahnya saya pula mengajar mengikut apa yang anak murid saya minat dan suka. Pernah saya syorkan supaya mereka belajar lagu yang mudah seperti lagu Biarkan Bunga Berkembang nyanyian Broery itu, nyata mereka tidak berminat. Mungkin sebab lagu itu di zaman saya, bukan mereka.

Mereka malah syorkan saya lagu yang mereka minta ajarkan. Biasanya lagu lagu zaman sekaranglah. Jadi pendekatan saya pula, saya tak mahu syok sendiri dalam bab mengajar. Saya mahu mereka enjoy dan bila mereka praktis lagu yang mereka minat, mungkin akan lebih berkesan dan selalunya begitulah.

Apabila mengajar, saya cuba untuk memahami apa yang mereka suka dan minat. Dalam masa yang sama kita akan lebih memahami level mereka dalam permainan.

Lagu lagu zaman sekarang ni ada yang mudah dan ada yang complicated. Sebabnya dari segi melodi tidak banyak yang menarik, muzik sekarang lebih pentingkan arrangement yang berbelit belit manakala melodinya tidaklah menarik sangat.

Untuk mereka yang berminat menjadikan muzik sebagai punca rezeki pula, perbanyakkan lagu lagu evergreen Inggeris mahupun Melayu. Melalui pengalaman saya tidak kiralah samada kita bernyanyi di jalanan mahupun di hotel, lagu evergreen lah yang tetap menjadi pilihan atau lagu top 40 atau lagu pop semasa.

Padamkanlah minat anda jika mahu serius dalam muzik. Kerana jika anda ingin menjadi pemuzik, anda akan melayan kehendak pengunjung yang datang ke pub untuk minum dan enjoy.

Mereka akan minta anda mainkan lagu “Wonderful Tonight” 10 kali untuk satu malam dan jika anda enggan melayan kehendak mereka, bermakna kontrak anda bermain di tempat itu mungkin akan ditamatkan.

Mungkin anda seorang gitaris dan minat akan lagu lagu yang mencabar seperti lagu rock, blues, reggae dan jazz kesukaan anda. Nasihat saya lagu lagu anda minat itu tidak ada tempatnya di pub mahupun di jalanan.

Saya boleh namakan lagu rock yang menjadi pilihan di pub. “Hotel California” dan “Highway Star”? lagu blues pula “Still Got the Blues”? Lagu reggae pula “No Woman No Cry”? Atau lagu jazz “Autumn Leaves” mahupun “Fly Me to the Moon”?

Lagu lagu yang saya sebutkan ini bukanlah untuk pemuzik suka dan minat. Pemuzik mungkin sudah bosan sangat dengan “Hotel California”. Mengapa tidak lagu “Lyin Eyes”, “Tequila Sunrise”, “Desperado” atau “The Long Run”? Bukankah banyak lagi lagu lagu Eagles yang lebih berkualiti dan menarik selain “Hotel California”?

Masalahnya pendengar bukanlah pemuzik. Inilah kenyataannya. Tidak kira samada di pub, hotel mahupun di jalanan, pendengar akan hanya melekat dengan lagu lagu yang mereka minat, yang majoriti menyukainya. Kita sebagai pemuzik kalau nak syok sendiri, payahlah sikit.

Bak kata pujangga, Cinta Perlukan Pengorbanan. Begitu jugalah dengan pemuzik. Korbankanlah apa yang kita minat atau sekurang kurangnya yang kita minat itu kita layanlah seorang diri di rumah. Untuk mereka, kita jamukan ramuan yang menyelerakan mereka, kerana mereka bukanlah kita dan kita bukanlah mereka.

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan Malay Mail Online.