16 JULAI — Dalam kehidupan seharian kita, hubungan erat dengan ahli keluarga, teman hidup, rakan sekerja mahupun rakan sekelas di sekolah banyak bergantung kepada elemen kepercayaan.

Elemen kepercayaan inilah yang akan menentukan pasang surutnya sesuatu hubungan. Dengan adanya kepercayaan terhadap pihak satu lagi, ia memberikan kelegaan dan keyakinan bahawa hubungan yang dijalinkan itu berada pada landasan yang tepat.

Kesediaan menaruh kepercayaan kepada sesuatu pihak sememangnya bukan satu perkara mudah. Malah, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa tindakan untuk mempercayai seseorang memerlukan kesabaran, ketelitian dan keberanian untuk mengambil risiko.

Namun, untuk sesuatu hubungan itu sentiasa lancar dan baik, ia memerlukan peranan daripada kedua-dua pihak, yakni si pemberi dan si penerima. Pendek kata, hubungan antara manusia tidak boleh berjalan secara sehala.

Pastinya, hubungan berbentuk sehala ini bukan sahaja tidak produktif bahkan juga hanya menguntungkan satu pihak sahaja. Dalam konteks hubungan antara manusia, hubungan berbentuk sehala boleh dianggap sebagai kegagalan seseorang dalam komunikasi dengan orang lain.

Apabila membicarakan mengenai isu kepercayaan, pastinya satu perkara yang tidak dapat lari daripada perhatian masyarakat adalah berhubung kepercayaan rakyat terhadap pemimpin-pemimpin politik di negara kita. Beberapa tinjauan pendapat yang pernah dijalankan oleh Merdeka Center beberapa tahun lalu mendedahkan, tahap kepercayaan rakyat terhadap pemimpin politik berada pada paras yang cukup rendah.

Bagi rakyat, ketidakpercayaan ini banyak dipengaruhi oleh sikap talam dua muka segelintir pemimpin politik yang cakap tidak serupa bikin, yang lebih cenderung untuk bermain politik semata-mata untuk memenuhi kepentingan peribadi mereka.

Lebih mendukacitakan, mereka juga nampaknya lebih tertarik dengan isu-isu remeh yang menyimpang daripada masalah-masalah utama yang dihadapi oleh negara kita. Kecenderungan tersebut sekaligus mengundang persepsi umum bahawa segelintir pemimpin politik kita tidak kompeten untuk menguruskan negara.

Perkembangan ini juga mencetuskan persoalan, apakah sudah tidak ada lagi pemimpin-pemimpin politik berkaliber yang boleh ditonjolkan untuk membantu memajukan negara tercinta ini?

Akan tetapi, siapa yang boleh salahkan rakyat jika mereka tidak mahu percayakan pemimpin-pemimpin politik? Jika ada pihak yang ingin menuding jari terhadap rakyat, maka pihak berkenaan harus membuka mata dan bertanya kepada diri sendiri — apakah kewajaran untuk rakyat mempercayai kata-kata mereka jika kepercayaannya sudah dikhianati?

Penulis percaya, majoriti rakyat Malaysia bukanlah kumpulan masyarakat yang emosional. Sebaliknya, mereka merupakan kumpulan masyarakat yang pragmatik dan rasional. Justeru, mereka tidak akan teragak-agak untuk memberikan kepercayaan kembali kepada pemimpin-pemimpin politik pada pilihan raya umum akan datang jika suara hati mereka didengari.

Bertitik-tolak daripada kenyataan itu, pemimpin-pemimpin politik negara adalah digesa untuk mengurangkan amalan politiking yang keterlaluan. Kurangkanlah sentimen berpolitik yang terlalu partisan sehingga boleh memecah-belahkan negara. Usahlah menjaja isu-isu berbaur perkauman yang sensitif yang mampu mencetuskan kemarahan semua pihak.

Ada baik juga jika pemimpin-pemimpin politik negara kembali ke pangkal jalan khasnya dari segi berpolitik mereka. Bermakna, mereka harus mengikis tabiat menangani sesuatu isu dari sudut perkauman dan melihatnya dari sudut yang lebih menyeluruh kerana setiap isu yang berlaku membabitkan rakyat Malaysia. Pokoknya, mereka harus tampil dengan jalan penyelesaian konkrit yang memanfaatkan semua kaum.

Peringatan dan nasihat yang diberikan ini bertujuan untuk memaklumkan kepada pemimpin-pemimpin politik agar tidak terus mengaibkan kredibiliti dan integriti di mata rakyat dengan perbuatan yang kurang bijak dan di luar jangkaan. Oleh yang demikian, jika mana-mana pemimpin politik yang ingin mengulas mengenai sesuatu isu, buatlah penyelidikan terlebih dahulu dan pertimbang kesan serta impaknya kepada mereka yang terlibat, bukannya bercakap semata-mata untuk mendapatkan publisiti murahan. Ini kerana, sudah terlalu banyak insiden yang mana pemimpin politik kita dimalukan gara-gara kerana kebodohan mereka. Hentikanlah kebodohan ini sebelum imej negara terus menjadi bahan ketawa masyarakat antarabangsa.

Apabila segala kepincangan tersebut dapat ditangani, sekurang-kurangnya imej negara dan institusi politik negara dapat dipulihkan kembali. Ingatlah, kepercayaan rakyat terhadap pemimpin politik tidak datang semalaman tetapi dibina atas faktor keyakinan mereka terhadap kepimpinan terdahulu yang berwawasan jauh dan progresif.

Justeru, jangan biarkan kepercayaan tersebut hilang buat selama-lamanya kerana elemen kepercayaan itulah yang berjaya memastikan negara ini terus stabil dan aman biarpun negara dilanda dengan pelbagai masalah.

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan the Malay Mail Online.