23 MEI — Izinkan saya memulakan tulisan ini dengan potongan kecil ayat al-Quran, “Dan kepada Madyan saudara mereka, Syuib. Dia berkata, Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tiada Tuhan bagi kamu selain Dia. Dan janganlah kamu kurangi takaran dan timbangan, sesungguhnya aku melihat kamu dalam keadaan yang baik dan sesungguhnya aku khuatir terhadap kamu akan azab hari yang meliputi,” (Surah Hud, ayat 84).

Ketika tulisan ini sedang ditukangi, pengguna laman sosial sedang dalam keadaan trauma dikejutkan dengan insiden wakil Pemuda Umno mengoyak kertas memorandum (yang ditulis mereka sendiri) dan mencampakkannya kepada wakil DAP yang menunggu di pejabat mereka.

Beberapa jam sebelum itu, sekumpulan manusia telah memecah masuk Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. Semuanya berlaku hanya kerana perkataan ‘Celaka’ yang diungkapkan oleh pemimpin DAP kepada seorang pemimpin Umno.  

Siapakah Fu Wa dan Feng Yi?

Advertisement

Mohamad Muzammil Mohamad Noor dari Universiti Sains Malaysia dalam kertas kerjanya untuk Seminar Kesultanan Negeri Kedah anjuran Kerajaan Negeri Kedah dan Muzium Negeri Kedah Darul Aman pada 10-11 September 2013 menulis sebuah makalah berjudul ‘Hubungan Kesultanan Kedah Dengan Siam’ berbunyi;

“Siam menganggap negeri Kedah sebuah ‘negeri jiran kecil’ yang perlu dinaungi olehnya. Sebagai dinaungi, negeri naungan dihendaki menghantar tanda dinaungi seperti ufti berupa bunga emas dan perak, pertukaran hadiah-hadiah serta surat-menyurat. Mengikut adat, perkara ini perlu dilakukan tiga tahun sekali. Negeri-negeri naungan juga dikehendaki memberi pelbagai perkhidmatan kepada Siam seperti perkhidmatan tentera, tenaga buruh dan bekalan makanan. Sebaliknya, Kedah menganggap Kerajaan Siam tidak lebih sebagai sahabat sahaja yang perlu dihormati dengan cara memberi hadiah sebagai tanda persahabatan,”

Astro Awani dalam laporannya bertarikh 21 Mei 2014 pula menyatakan untuk tempoh 10 tahun, Malaysia perlu membayar kepada China sekitar RM3 juta kepada China setiap tahun untuk membela haiwan berkenaan berdasarkan Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi yang ditandatangani antara Malaysia dan Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China pada 15 Jun 2012.

Advertisement

RM25 juta dibelanjakan untuk membina kompleks panda gergasi di Zoo Negara, RM15 juta ditanggung 1Malaysia Development Berhad (1MDB,) bakinya oleh kerajaan dengan kos penjagaan panda oleh Zoo Negara dianggarkan RM1.5 juta setahun. Malah jika kedua panda membiak, Malaysia perlu membayar China sebanyak RM2 juta dan hanya boleh menyimpan bayi panda itu untuk tempoh 2 tahun.

Dijangka, kos penjagaan sepanjang 10 tahun boleh meningkat sehingga 70 juta walaupun kesediaan kerajaan China meminjamkan beruang panda itu disifat sebagai simbol keakraban hubungan kedua negara yang meraikan ulang tahun ke-40 jalinan diplomatik sejak 1974.

Manakala Mohamad Muzammil Mohamad Noor menyambung di dalam makalahnya;

“Semasa zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin II bermula tahun 1803, bunga emas dan bunga perak perlu dihantar ke Bangkok tiga tahun sekali. Penghantaran bunga emas dan bunga perak ini sebagai tanda Kedah dinaungi oleh Siam. Andai kata, Kedah mengengkari Siam supaya tidak menghantar ufti tersebut besar kemungkinan tercetus peperangan seperti berlaku kepada Perak. Perak gagal mengutuskan bentuk ufti tersebut kerana tidak merasakan ianya duduk di bawah Siam. Oleh itu, Siam mengkehendakkan Kedah menyerang Perak pada tahun 1813 melalui bantuan tenteranya. Kedah juga turut menyediakan bantuan tentera seramai kira-kira dua ribu lima ratus orang bagi menyerang Burma di Tongkah. Kesetiaan yang tinggi sultan tersebut terhadap maharaja Siam telah dihargai dan menerima pangkat atau gelaran Chao Phraya,”

Dalam konteks dunia moden, siapakah Fu Wa dan Feng Yi? Mengapakah Malaysia perlu menjaga dua ekor Kung-fu Panda ini di habitat dengan suhu mencecah 34 darjah Celcius sedangkan habitat sebenarnya tidak lebih dari 24 darjah Celcius? Mengapakah Malaysia perlu membayar kepada kerajaan China 3 juta setiap tahun? Mengapakah Malaysia perlu membayar RM 2 juta lagi pula jika Kung-Fu Panda ini membiak? Mengapakah Malaysia perlu membina kompleks khas menelan belanja sehingga 25 juta semata-mata untuk membela haiwan ini hanya untuk 10 tahun?

Wacana hudud

Sementara itu, saya meneliti dengan rapat wacana mengenai hudud yang kembali panas sejak beberapa bulan yang lalu. Pantas saya teringat tulisan yang dicatat 34 tahun dahulu (terbit 1979) oleh Syed Hussein Alatas di dalam bukunya berjudul ‘Kita Dengan Islam, Tumbuh Tiada Berbuah’.

Dalam Kata Pendahuluan beliau menulis; “Siapakah manusia Islam yang lama itu? Manusia Islam yang lama itu adalah mereka yang tidak sanggup menerima kemajuan pemikiran zaman sekarang, tidak sanggup membuka pintu ijtihad, tidak sanggup berhujah dengan tenang dan tepat, tidak sanggup melepaskan dirinya dari kongkongan pemikiran kuno. Apakah kesanggupan mereka? Berteriak sekuat-kuatnya, hingga ketiaknya basah, bahwa kita sekalian mesti kembali kepada al-Quran dan Hadis, bahawa kita mesti menegakkan syariat Islam, bahawa kita mesti memperkuat iman, dan bahawa kita mesti tunduk kepada pendapat-pendapat yang lampau,”

Dalam Bab Kelima, “Rintangan Kemajuan Berfikir Dalam Masyarakat Islam” pula beliau menulis; “Salah satu sebab yang penting ialah kurangnya ahli-ahi fikir dalam masyarakat yang dapat memberi memberi panduan berfikir bagi khalayak ramai. Akibat dari kelemahan ini ialah terusnya pendapat-pendapat yang salah mempengaruhi sebahagian besar umat Islam,”

Paling jelas di dalam makalah ini ialah kritikan keras beliau terhadap golongan yang menekankan akhirat dengan melupakan dunia. Menggunakan surah al-Balad ayat 4 iaitu; Sesungguhnya kami ciptakan manusia dalam usaha dan perjuangan,”, Syed Hussein Alatas menukilkan; “Perjuangan manusia itu mengikut jalan yang mendaki. Apakah jalan yang mendaki ini (al-aqabah)? Menolong orang yang miskin, bertindak adil, bersifat sabar, menegakkan segala kebaikan dan menjauhi segala keburukan,”

Menurut beliau lagi, pendapat dan sikap yang mengurangkan nilai keduniaan tidak dapat didasarkan atas ajaran al-Quran. Mengapa sikap ini timbul di kalangan orang Islam menurut beliau; “Mereka tidak mempunyai keahlian dalam ilmu-ilmu zaman sekarang. Mereka tidak berkecimpung dalam urusan-urusan masyarakat, tidak bergiat dalam perdagangan atau pentadbiran atau lapangan profesional,”

Di hujung makalah beliau menulis; “Bahawa kita hidup di dunia dahulu sebelum ke akhirat, itu adalah takdir Tuhan. Dapatkah kita mengatakan bahawa dilahirkannya Nabi Muhammad SAW di dunia ini kurang penting dari kembalinya ke rahmatullah?,” Kemudian; “ Selama fikiran masyarakat ditujukan pada akhirat, maka mereka akan melupakan keadaan zalim dan ketidak adilan dunia ini,”.

Paling penting, catatan ini disambung; “Kekuasaan politik golongan ini akan berlangsung, tidak terambing oleh gelombang kesedaran menuntut keadilan masyarakat. Cita-cita Islam, menegakkan masyarakat yang adil dan makmur akan dilupai. Teriakan ‘dakwatul mazlum’ (suara tertindas) akan lemah bunyinya. Inilah peranan aliran yang merendahkan dunia dalam sejarah Islam. Ianya telah diperalat oleh golongan yang tidak adil, yang pada umumnya telah memerintah dalam masyarakat Islam sejak zaman Bani Umaiyah. Oleh kerana pengaruh yang di atas ini, maka yang dipilih dari ayat-ayat al-Quran dan Hadis Nabi SAW untuk disebarkan dikalangan rakyat adalah yang menguatkan aliran yang mereka sokong itu. Ayat al-Quran yang mengutuk rasuah, yang memuliakan sains, yang menentang kezaliman, yang bertujuan menegakkan suatu masyarakat yang diidam-idamkan oleh semua yang berperikemanusiaan, yang dilukiskan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai suatu masyarakat, di mana seorang berkeliling mensedekahkan emas, tetapi tiada yang ingin menerimanya, ini semua, telah dibiarkan terpendam dalam muka surat al-Quran dan Hadis,”.

Kung Fu Panda vs Hudud

Kini jika diteliti, apakah bezanya ufti pada tahun 1803 dengan Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi pada tahun 2014? Apakah pemimpin kita tidak punya kuasa untuk mengatakan TIDAK kepada perjanjian pelik lagi ajaib untuk memelihara dua ekor Kungfu Panda ini? Jika begitu, mungkin sesuai jika kita simpulkan;

“China menganggap Malaysia sebuah ‘negeri jiran kecil’ yang perlu dinaungi olehnya. Sebagai dinaungi, negeri naungan dihendaki menjaga dua ekor panda gergasi. Mengikut adat, perkara ini perlu dilakukan selama sepuluh tahun. Negeri-negeri naungan juga dikehendaki menanggung seluruh kos penjagaan beserta yuran tahunan dan beberapa kos terselindung yang lain. Sebaliknya, Malaysia menganggap Republik China tidak lebih sebagai sahabat sahaja yang perlu dihormati dengan cara menjaga dua ekor panda sebagai simbol keakraban hubungan kedua negara yang meraikan ulang tahun ke-40 jalinan diplomatik sejak 1974,”

Semua ini berlaku ketika kaum agamawan bergaduh sesama mereka, rakyat didodoi dan dilobi dengan perkataan ‘Hudud’, tarif elektrik yang mencengkam, kaum gelandangan tidak berkurang, nasib anak yatim tidak terbela dan pejuang agama ‘cum’ bangsa bermutasi menjadi samseng Jalan Kebun.

Eko Prasetyo di dalam bukunya ‘Kisah-kisah Pembebasan Dalam al-Quran’ meletakkan Nabi Syuib dalam satu topik khas iaitu ‘Penentang Kapitalisme’. Selain Surah Hud, surah-surah lain menurut beliau jelas menunjukkan pertentangan terhadap sistem ekonomi berdasarkan eksploitasi dan penindasan ialah Surah al-Ankabut ayat 29, Surah al-A’raf ayat 85 hingga 100, Surah al-Baqarah ayat 26 serta Surah al-Jatsiyah ayat 24-25. Beliau mengungkapkan;

“Sejarah memberi hukuman ke atas tiap kekuasaan yang secara sengaja menganiaya diri mereka sendiri...kini bersama dengan pengikutnya diperlihatkan bagaimana dilumatnya kehidupan kaum Madyan yang pongah, acuh sekaligus enggan mendengar. Tuhan bukan sekadar memberi hukuman tapi pelajaran abadi atas sebuah sistem ekonomi yang curang, manipulatif dan monopolistik. Tugas Nabi Syuib sama dengan para aktivis lainnya: berdiri menentang dan tak gentar. Kelak sikap Nabi Syuib akan terus terwariskan dari generasi demi generasi, sikap yang tak akan bungkam jika menyaksikan ketidakadilan,”

Musuh yang sebenar ialah kapitalisme, sang cukong, yang menghisap darah orang miskin dan menjadikan mereka penindas. Musuh kita bukan agamawan, mahupun parti berasaskan bangsa. Selagi kerangka berfikir seperti ini tidak dapat dicerna, di analisis serta difahami orang kebanyakan, selagi itulah kita semua akan bercakaran dan beraksi seperti gorila gila di tengah bandar. Sehingga itu, di tanah ini, tak ada orang yang akan berjuang menentang dua ekor Kungfu Panda yang akan menetap di sebuah ‘fully furnished apartment’ berhawa dingin dengan sewa sekitar Ringgit Malaysia 20,833.00 sebulan di Jalan Ulu Kelang sepertimana mereka berjuang untuk menegakkan Hudud.

Dan semua ini berlaku ketika kita punya tak lebih dari 6 tahun menuju Wawasan 2020; ketika perkataan ‘celaka Umno’ tidak dibenarkan, tetapi bangsa Melayu yang paling ramai hisap dadah, kekal miskin, majoriti gelandangan dan masih jauh ketinggalan dalam ekonomi — dibenarkan.

“Mengapa kita harus terima begini?
Seseorang berhak diberi ijazah doktor,
Dianggap sebagai terpelajar
Tanpa diuji pengetahuannya akan keadilan
Dan bila ada tirani bermaharajalela
Ia diam tak bicara
Kerjanya Cuma menyuntik saja
Bagaimana? Apakah kita akan terus diam saja
Mahasiswa-mahasiswa ilmu hukum
Dianggap sebagai bendera-bendera upacara
Sementara hukum dikhianati berulangkali
Mahasiswa-mahasiswa ilmu ekonomi
Dianggap bunga plastik
Sementara ada kebangkrutan dan banyak korupsi,”
(Sajak Anak Muda, Rendra, 1980)   

*This is the personal opinion of the columnist.