10 APRIL — Trend berpolitik dalam kalangan politikus di negara kita baik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang nampaknya telah mencapai tahap yang membimbangkan.

Bukan sahaja segala tindak-tanduk serta kelakuan mereka tidak mencerminkan perwatakan mereka sebagai seorang pemimpin yang disegani bahkan serangan politik yang lebih bersifat peribadi.

Daripada satu isu yang kecil dan nampaknya remeh, ia digembar-gemburkan menjadi isu yang panas dan viral di media sosial.

Apa sahaja isu-isu yang dirasakan berupaya memberi kelebihan dan modal politik, maka strategi berkenaan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyerang musuh mereka.

Lebih membimbangkan dan menjijikkan, isu-isu yang pada satu ketika dahulu dianggap sensitif dan tidak berani diutarakan, kini dibangkitkan secara terang-terangan.

Mereka begitu lantang membangkitkan isu-isu sensitif seperti perkauman dan agama, seolah-olah ingin memberikan satu mesej kepada kumpulan sasar bahawa sesuatu sedang dilakukan untuk membela nasib mereka.

Malangnya, ramai daripada mereka sudah lupa akan sensitiviti dan fabrik sosial masyarakat majmuk di Malaysia. Bagi mereka, lebih kuat suara mereka dan lebih agresif gerak-geri mereka, maka tindakan itu dianggap sesuatu yang melambangkan suara majoriti biarpun keadaan sebaliknya yang berlaku.

Agak menyedihkan untuk melihat tahap kematangan politikus di negara kita masih belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan. Saban hari, ada sahaja politikus negara yang mencuri tumpuan media dengan kenyataan ataupun gelagat yang bodoh — sesuatu yang tidak mencerminkan kewibawaan pemimpin.

Akan tetapi, mereka tidak peduli malah semakin berani untuk berkelakuan sedemikian. Mereka seolah-olah sudah tahu bahawa media akan memberi liputan kepada gelagatnya. Mereka juga tahu bahawa tidak ada tindakan akan dikenakan terhadap mereka biarpun kenyataan yang diluahkan tidak kena pada tempat.

Itulah sebabnya mengapa setiap kali seseorang politikus bercakap benda yang kurang enak, mereka keberatan untuk mengaku kelemahan mereka. Sebaliknya, mereka pula akan menjadikan media sebagai kambing hitam mereka. Apa yang mereka tahu ialah untuk menyalahkan orang lain atas kelemahan diri sendiri.

Sebenarnya, tidak rugi jika seseorang pemimpin mengaku kelemahan diri dan jika mereka tidak pasti dengan kenyataan yang ingin dikeluarkan untuk MH370. Apa salahnya untuk merendahkan diri? Ada kalanya, lebih baik untuk seseorang pemimpin untuk tidak berkata apa-apa. Dengan ini, mereka tidak akan dianggap sebagai bodoh atau berlagak pandai.

Hakikatnya, politikus-politikus negara kita cenderung untuk melihat sesuatu isu dari perspektif mikro sahaja. Mereka bukan sahaja tidak dapat menganalisis isu secara analatikal bahkan bersifat knee-jerk yakni hanya memberikan reaksi apabila terjadinya sesuatu krisis.

Dalam tragedi MH370 sebagai contohnya, politikus-politikus kita nampak terkial-kial untuk melayan serangan bertalu-talu media asing. Ada yang tidak bersedia malah kelemahan yang ditonjolkan di hadapan lensa kamera memberi kesempatan kepada media-media asing untuk mengesan kepincangan mereka.

Biarpun insiden pesawat terhempas khasnya yang membabitkan pesawat negara jarang berlaku, tetapi itu tidak bermakna kejadian sedemikian tidak akan berlaku dan pihak berkuasa boleh menarik nafas lega.

Bukankah sepatutnya dalam situasi-situasi normal sekalipun, semua pihak sama ada politikus mahupun pihak berkuasa dalam industri penerbangan perlu sentiasa berada dalam kesiapsiagaan untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan?

Politikus haruslah mengikiskan mentaliti lama mereka dalam menjalankan tanggungjawabnya. Pendekatan lama yang dirasakan kurang sesuai haruslah diadaptasikan ataupun diubah seiring dengan peredaran masa. Sesuatu strategi yang dipakai untuk menyelesaikan masalah kira-kira 20 tahun lalu, tidak semestinya boleh dipakai untuk masalah yang berlaku hari ini.

Apabila ada beberapa politikus yang cuba berlagak pandai dengan mengeluarkan kenyataan tidak sensitif mengenai MH370, perkataan pertama yang keluar dari mulut penulis ialah Alamak dan Oh My God!

Pada pengamatan penulis, politikus-politikus negara kita nampaknya tidak membuat penyelidikan mengenai isu yang ingin diutarakan sebelum bercakap kepada media.  Mereka kelihatan lebih berminat dengan populariti dan publisiti yang diterimanya walaupun tempoh yang diberikan adalah singkat.

Justeru, apakah keadaan ini akan berubah?

Apa yang pasti, selagi ada pemimpin-pemimpin politik yang mempunyai kepentingan peribadi dalam diri mereka, maka besar kemungkinan rakyat Malaysia perlu terus berhadapan dengan kerenah politikus-politikus yang menyusahkan.

Politik Malaysia hanya akan melangkah ke hadapan jika politikus-politikus negara mengubah cara mereka melihat sesuatu isu. Mereka wajar berfikir di luar kotak (think out of the box) dan tidak terlalu mementingkan keutamaan sesebuah kaum. Ketepikan sentimen kepartian dan lihat sesuatu isu dari konteks yang lebih menyeluruh.

Berhentilah memberi alasan. Sudah sampai masanya politikus-politikus negara didedahkan cara untuk menyelesaikan masalah atau dalam konteks yang lebih tepat — pengurusan krisis.

Tragedi MH370 yang berlaku satu bulan lalu, hanyalah satu permulaan kepada lebih besar cabaran menanti. Selepas ini, cabaran yang menanti mungkin lebih besar daripada tragedi MH370. Jika mereka berupaya menyelesaikan sesuatu krisis yang jauh lebih besar daripada MH370, maka tidak ada sebab mengapa selepas ini politikus-politikus negara tidak mampu untuk mengharungi krisis yang lebih besar.

*Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan The Malay Mail Online.