APRIL 7 — Puan Santha dan keluarganya yang tinggal di Kamunting, Perak mempunyai sebuah kuil Dewa Maduraiveeran di halaman rumah. Beliau menceritakan mengapa dan bagaimana seketul batu mistik menjadi objek pujaan keluarganya sejak turun-temurun.

Berikut adalah sambungan kisah sebagaimana diceritakannya kepada saya tidak lama dahulu. Harus dinyatakan bahawa ini adalah pengalaman peribadi beliau dan keluarga, serta tidak semestinya mewakili pegangan agama orang lain.

“Terima kasih kerana membina kuil dan menempatkan saya di rumah kamu. Tetapi bata yang kamu letakkan di dalam kuil itu tidak sesuai untuk saya. Saya masih rindu akan tanah kebun di mana bapa kamu telah menempatkan saya sejak dahulu.

“Bawalah segenggam tanah dari kebun itu dan gunakan sebagai bahan asas untuk membina bangunan yang besar sedikit untuk saya. Saya perlukan ruang yang besar sedikit untuk duduk berehat selepas melaksanakan tugas mengawal rumah kamu,” kata lelaki tua berbaju putih yang muncul dalam mimpi.

Saya terus terjaga dan mendapati tubuh saya dibasahi peluh. Lalu, saya terus menceritakan mimpi yang agak menggerunkan itu kepada suami saya. Dia juga sependapat dengan saya bahawa sekujur tubuh yang kami berdua lihat sebentar tadi di luar rumah adalah sama dengan lelaki tua yang hadir dalam mimpi saya.

Apabila saya menceritakan kepada rakan-rakan bahawa Dewa Maduraiveeran hadir dalam mimpi saya sebagai seorang lelaki tua, rata-rata tidak mahu percaya. Akan tetapi, saya sudah tidak kisah apa pandangan, tanggapan dan pendapat orang lain. Sebaliknya saya rasa bertuah kerana berpeluang “melihat” lelaki tua yang penuh misteri itu.

Membawa pulang tanah dari kebun

Beberapa hari kemudian, kami membuat rancangan untuk pergi ke kebun yang pernah dimiliki oleh bapa saya. Kawasan itu sudah menjadi tanah terbiar dan dipenuhi semak-samun. Kuil yang pernah dibina oleh bapa saya juga sudah tiada. Kami sekeluarga membersihkan kawasan sekitar dengan penuh hati-hati.

Seorang sami telah mengarahkan kami supaya pergi mengambil segenggam tanah dari kebun itu pada keesokan hari. Kalau kawasan sekitar sudah dibersihkan, maka senanglah untuk kami pergi dan mengambil segenggam tanah seperti yang diminta oleh lelaki tua yang hadir dalam mimpi tempoh hari.

Maka, pada keesokan hari, saya bersama-sama suami dan anak-anak berjalan ke kebun kepunyaan bapa saya. Kami berjalan kaki ayam sejauh sekitar satu kilometer selepas meninggalkan kereta di tepi jalan. Kami turut membawa setanggi dan kapur barus sebagaimana dipesan oleh si sami yang berpengalaman luas.

Apabila sampai di kebun berkenaan, kami anak-beranak amat terkejut. Kami telah membersihkan kawasan kebun itu pada hari sebelumnya. Akan tetapi, seluruh denai menuju ke tapak bekas kuil yang dibina oleh bapa saya dipenuhi tahi lembu dan najis manusia!

Segera saya teringat pesanan daripada si sami yang telah mengatakan bahawa saya pasti akan menghadapi pelbagai dugaan ketika mahu mengambil segenggam tanah dari kebun itu. Kami semua menutup hidung dan dengan penuh tabah melaksanakan tugas sebagaimana dihajatkan.

Batu mistik yang terletak di kuil di halaman rumah Santha. — Gambar oleh Uthaya Sankar SB
Batu mistik yang terletak di kuil di halaman rumah Santha. — Gambar oleh Uthaya Sankar SB

Saya mengambil segenggam tanah dari tapak lama kuil Dewa Maduraiveeran di kebun mendiang bapa saya. Suami saya memegang setanggi manakala anak lelaki memegang bekas kemenyan. Anak perempuan pula memegang lampu minyak. Sambil terus tabah menghadapi bau busuk najis manusia dan tahi lembu, kami berjalan keluar dari kawasan kebun tersebut.

Apabila pulang ke rumah bersama-sama segenggam tanah itu, maka tugas membina bangunan kuil yang besar sedikit dimulakan dengan segera. Selepas mengalami pelbagai mimpi serta kejadian yang aneh dan pelik, kami memutuskan untuk tidak menangguhkan kerja pembinaan itu.

Saya juga memutuskan untuk tidak meletakkan bata di dalam bangunan baru kuil itu. Saya masih ingat apa yang bapa pernah ceritakan semasa saya kecil. Menurut bapa, dia juga pada mulanya meletakkan seketul bata merah-keperangan.

Kemudian, Dewa Maduraiveeran sendiri hadir dalam mimpi mendiang bapa dan meminta supaya diganti dengan seketul batu granit. Malangnya, selepas bapa meninggal dunia dan kuil di kebun terbiar, batu granit itu telah hilang entah ke mana.

Pada sebelah malam, saya sekali lagi didatangi lelaki tua yang sama dalam mimpi. Dia meminta kami sekeluarga pergi ke sungai berdekatan kuari di kaki Bukit Larut, Taiping. Katanya, terdapat seketul batu granit di sungai berkenaan. Batu itulah yang perlu kami bawa pulang dan tempatkan di bangunan baru kuil yang sudah siap dibina untuk Dewa Maduraiveeran.

Menyambung tradisi keturunan

Keesokan hari, kami anak-beranak pergi ke sungai berkenaan. Dari jauh lagi, saya ternampak seketul batu granit. Secara automatik saya dapat merasakan bahawa itulah batu yang dinyatakan dalam mimpi saya. Maka, kami semua turun ke sungai berair jernih untuk mendapatkan batu itu.

Sungguh menghairankan! Tiba-tiba sahaja batu itu tidak dapat dikesan. Batu itu macam hilang begitu sahaja. Maka kami naik semula ke tebing. Sekali lagi kami terkejut dan hairan kerana kini batu itu nampak dengan begitu jelas. Kisah penuh mistik ini pernah juga dilaporkan di majalah Sarina (Julai 2004).

Saya dan anak-anak terus menunggu di tebing sungai. Suami saya pula turun ke sungai. Apabila suami saya sampai di sisi batu granit itu, saya terasa hairan kerana dia tidak terus mengambil batu itu. Sebaliknya dia seperti mencari-cari sesuatu.

Rupa-rupanya dia tidak dapat melihat batu itu walaupun ia berada betul-betul di hadapan matanya! Dengan perasaan tenang, saya memberikan arahan kepada suami saya mengenai kedudukan batu itu. Setelah teraba-raba sebentar, akhirnya dia berjaya memegang batu granit yang dimaksudkan.

Kami anak-beranak berkumpul di tebing sungai dan meneliti batu granit yang dibawa oleh suami saya. Setelah melihat batu itu dengan penuh teliti, jantung saya mula berdebar kencang. Saya hampir tidak percaya! Batu granit yang baru sahaja dibawa oleh suami saya adalah sama dengan batu granit yang pernah disembah oleh mendiang bapa saya di kebunnya.

Batu granit itu dibawa pulang dan dibersihkan mengikut upacara keagamaan lalu diletakkan di dalam bangunan baru kuil di halaman rumah. Perasaan saya berbaur antara gembira, hairan, tidak percaya dan bermacam-macam lagi perasaan berikutan pelbagai kejadian aneh yang berlaku.

Apabila saya menceritakan kepada rakan-rakan bahawa batu granit yang terdapat di kuil di halaman rumah saya adalah sama dengan batu granit yang pernah diletakkandi kebun oleh mendiang bapa saya, mereka tidak percaya. Menurut mereka, saya mungkin terkeliru kerana bentuk batu itu ada sedikit persamaan.

Walau apapun pandangan mereka, saya tetap percaya bahawa saya dan keluarga saya kini sedang meneruskan tradisi menyembah Dewa Maduraiveeran seperti yang dilakukan oleh moyang, datuk dan bapa saya sebelum ini.

Segala pengalaman yang saya ceritakan ini mungkin kedengaran seperti sukar dipercayai. Namun, saya percaya bahawa hidup ini memang penuh misteri dan dipenuhi unsur mistik. Banyak lagi kejadian alam yang belum mampu diterangkan secara saintifik.

Pengalaman yang saya ceritakan ini adalah pengalaman peribadi saya dan saya tidak kisah jika ada pihak yang tidak mahu mempercayainya. Malah, saya percaya, mungkin begitulah kehendak alam.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.