2 DIS – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sentiasa berusaha merapatkan hubungan antara bahasa dan sastera kebangsaan dengan masyarakat kaum India.
Walau bagaimanapun, usaha itu masih belum mencapai hasil yang diharapkan. Apa yang lebih mengecewakan adalah situasi di mana tangan yang dihulurkan oleh DBP untuk mendapatkan kerjasama daripada persatuan penulis Tamil dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) seolah-olah kurang disambut.
Demikian antara kesimpulan saya berdasarkan inti pati perbualan bersama-sama Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Datuk Abang Sallehuddin Haji Abang Shokeran pada 22 November 2013.
Saya mengiringi seorang penulis Tamil, Salma Dhineswary yang mewawancara Sallehuddin untuk menulis artikel fokus bagi majalah Vallinam (Bahasa Tamil) keluaran Januari 2014. Pada kesempatan itu, saya tidak melepaskan peluang menyelitkan beberapa soalan sampingan yang boleh saya jadikan bahan penulisan.
Misalnya, saya bertanya akan kerjasama yang diterima daripada Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia (MTWA) dalam usaha menjalinkan hubungan antara penulis/khalayak Tamil dengan bahasa/sastera kebangsaan.
Tambahan pula, pada 3 November 2013, kumpulan Vallinam yang terdiri daripada sekelompok penulis muda Tamil mengeluarkan kenyataan media bagi menyelar MTWA yang dikatakan melakukan penyelewangan terhadap dana yang diterima daripada kerajaan.
“Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia gagal menggalakkan penulis-penulis Tamil tempatan dalam memasarkan buku-buku mereka, sebaliknya bergiat penuh aktif dalam menjayakan penjualan hasil karya Vairamuthu, penggubal lagu-lagu filem Tamil dari negara India, dalam pasaran Malaysia.
“Sekiranya isu ini tidak diselesaikan, kemungkinan besar akan tersebar khabar negatif bahawa kerajaan gagal menjaga kebajikan penulis Tamil tempatan. Hal ini kerana dana yang sebenarnya disalurkan oleh kerajaan Malaysia bagi penulis Tamil di Malaysia telah dipesongkan ke Tamil Nadu, India,” kata kenyataan itu.
Kumpulan Vallinam turut mendedahkan bahawa dana kerajaan yang disalurkan kepada MTWA dan pertubuhan kebudayaan India di Malaysia telah diberikan kepada penulis-penulis warganegara India.
“Kerajaan Malaysia memberikan dana tersebut dengan tujuan dan niat baik untuk mencapai matlamat-matlamat tertentu yang akan memanfaatkan warga penulis Tamil tempatan dan juga para artis lain yang terlibat dalam bidang-bidang seni.
“Malangnya, hasil pemerhatian Vallinam dan maklumat yang diterima, wang itu diselewengkan MYWA dan diberikan kepada golongan penulis dari negara India. Kami berharap kerajaan menerusi kementerian dan jabatan terbabit akan bertindak cekap, cepat dan tegas dalam membanteras ketidakadilan ini,” kata kenyataan media itu lagi.
Penyertaan kaum India masih amat kurang
Sewaktu saya bertanya kepada Sallehuddin, beliau mengakui bahawa DBP memang berusaha menyalurkan dana kepada persatuan-persatuan penulis bagi menggalakkan aktiviti bahasa dan sastera.
“Saya akui bahawa kerjasama dengan MTWA sejak belakangan ini agak kurang dan belum begitu menggalakkan. Bagaimanapun apabila mereka memohon bantuan dana, kami di DBP membantu.
“Tujuan bantuan DBP antara lain bagi mendapatkan kerjasama MTWA dalam aktiviti sastera kebangsaan supaya kelompok penulis Tamil tidak pula meminggirkan sastera bahasa kebangsaan. Ada beberapa cadangan yang sudah dikemukakan kepada mereka tetapi tiada maklum balas,” kata Sallehuddin semasa perbualan di pejabat beliau di Menara DBP.

Menyedari bahawa Bahasa Malaysia dan sastera Bahasa Malaysia adalah milik bersama, DBP turut berusaha menjalankan aktiviti di SJKT. Usaha murni ini adalah amat penting dan sesuai memandangkan terdapat 523 buah SJKT di seluruh negara.
“Kami sudah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk P. Kamalanathan baru-baru ini dan saya ada menimbulkan isu ini. Beliau menyatakan sokongan dan akan membantu usaha melaksanakan program bahasa dan sastera kebangsaan di SJKT.
“Program DBP masuk ke SJKT masih dalam perancangan dan saya berharap dapat dilaksanakan segera,” kata Sallehuddin yang sedia bekerjasama dengan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang sudah terlibat dalam aktiviti seumpama itu sejak tahun 2004.
DBP juga berusaha mengadakan kerjasama dengan majlis guru besar SJKT dan SJKC bagi memastikan anak-anak di sekolah vernakular tidak terpinggir daripada usaha-usaha memartabatkan Bahasa Malaysia.
Saya amat bersetuju dengan Sallehuddin apabila beliau mengakui bahawa kerjasama dan minat yang ditunjukkan SJKC adalah jauh lebih baik dan terkehadapan berbanding SJKT dalam soal merancang dan mengendalikan aktiviti berasaskan bahasa dan sastera kebangsaan.
Kavyan terlibat secara langsung dalam usaha menjalankan aktiviti di sekolah kebangsaan dan sekolah vernakular sejak 2004. Jadi, saya melihat sendiri perbezaan ketara yang wujud; khususnya antara SJKT dan SJKC. Tidak dapat dinafikan, cengkaman politik MIC memainkan peranan dalam situasi ini.
Sallehuddin turut meluahkan kerisauan kerana dalam pelbagai yang khusus diadakan bagi khalayak Bukan Melayu di seluruh negara, penyertaan kaum India masih amat kurang berbanding kaum-kaum lain.
Kebimbangan yang sama juga sering diluahkan oleh Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Awang Sariyan; khususnya berkaitan pengisian dan penyertaan dalam pelbagai aktiviti sempena Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK).
Belum terlewat membetulkan keadaan
Apa yang saya perhatikan sendiri hasil penglibatan secara langsung sejak 1991, DBP menerusi pelbagai jabatan dan bahagian sentiasa berusaha menarik dan menggalakkan penglibatan masyarakat pelbagai kaum — termasuk kaum India — dalam aktiviti yang dijalankan.
Selain daripada kerjasama dengan Kavyan dari semasa ke semasa, tentulah amat wajar untuk DBP mengharapkan sokongan daripada MTWA dan majlis guru besar sekolah Tamil.

Namun begitu, kekangan yang mungkin wujud di pihak MTWA adalah masalah bahasa serta objektif mereka yang mahu memartabatkan bahasa ibunda menerusi penulisan dan aktiviti.
Di pihak DBP pula, sumbangan dana diberikan kepada MTWA dengan harapan bahawa akan ada usaha membina jambatan antara khalayak/pembaca Bahasa Tamil dan bahasa/sastera Bahasa Malaysia.
Saya memahami kekecewaan yang pasti dihadapi oleh DBP — atau mana-mana pihak — apabila mereka menyalurkan pelbagai sumbangan dan dana, tetapi pihak penerima pula sekadar berdiam diri selepas wang diterima. Sepatutnya, orang berbudi, kita berbahasa.
Di pihak MTWA pula, selain daripada kekangan bahasa yang nyata wujud bukan sahaja dalam kalangan penulis veteran tetapi juga dalam kalangan penulis muda, mungkin juga timbul sentimen lebih mementingkan bahasa dan sastera Tamil berbanding Bahasa Malaysia.
Stesen radio Tamil, MinnalFM mempunyai rancangan khas berkaitan sastera. Malangnya, pengisiannya sering kali berkaitan penulis dan sastera Tamil di/dari Tamil Nadu, India. Saya belum pernah mendengar maklumat berkaitan sastera/penulis Bahasa Malaysia diselitkan.
Seolah-olah pendengar MinnalFM hanya perlu mengetahui perkembangan sastera Tamil (khususnya dari India). Kini ada slot khas mengenai penggunaan Bahasa Malaysia yang betul. Maka saya tidak nampak apa-apa alasan mengapa perkembangan sastera Bahasa Malaysia tidak boleh diselitkan dalam rancangan sastera Bahasa Tamil di stesen radio milik kerajaan itu.
Mungkin juga langkah yang wajar dilakukan DBP dalam masa terdekat adalah mengumpulkan wakil MTWA, Vallinam, Kavyan, majlis guru besar SJKT, pengarang akhbar-akhbar Tamil, MinnalFM dan wakil jabatan pelajaran bagi membincangkan isu ini secara terperinci. Masih belum terlewat untuk membetulkan keadaan.
Memandangkan dana bagi menyemarakkan bahasa dan sastera kebangsaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum memang sudah sedia ada (serta sudah pun disalurkan kepada MTWA tanpa menampakkan sebarang hasil yang diharapkan), cadangan ini adalah amat wajar dan bertepatan.
Jika tidak, saya bimbang memikirkan kemungkinan DBP, MTWA, akhbar Tamil, MinnalFM dan SJKT terus hidup dalam dunia yang berbeza. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Maka, tepuklah dada, tanyalah selera.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.
