11 NOV — Dua buah karya Bahasa Tamil yang terus bermain dalam minda saya sejak beberapa bulan lalu adalah sajak karya Poongulali Veeran dalam buku Bommaigalkooda Pesikondirukalam (Berbual-bual dengan Anak Patung).
Semasa majlis pelancaran kumpulan sajak berkenaan pada 8 September 2013, saya tertarik mendengar ulasan Dr M Shanmuga Siva yang menumpukan perhatian pada bagaimana pengarang menggunakan sudut pandangan dan sudut penceritaan kanak-kanak untuk membicarakan soal-soal berhubung Tuhan.
“Memang sesuatu yang menarik apabila Poongulali membawa masuk Tuhan ke dalam sajak-sajaknya yang berbicara tentang bayi dan kanak-kanak. Saya merasakan Tuhan yang ditampilkan oleh Poongulali dalam sajaknya begitu dekat dengan diri saya,” kata Shanmuga Siva dalam ulasannya.
Beliau merujuk kepada sajak “Bayi yang Bercakap dengan Tuhan” yang menceritakan bahawa Tuhan begitu berminat untuk meluangkan masa dan berbual-bual dengan golongan bayi.
Akhirnya Tuhan muncul di sebuah rumah di mana terdapat beberapa bayi. Kesemua bayi berkenaan teruja melihat kedatangan Tuhan lalu masing-masing mula berebut-rebut mengemukakan permintaan mereka.
Semasa mengulas bahagian ini, Shanmuga Siva membandingkannya dengan situasi lazim dalam kalangan masyarakat India di Malaysia di mana politikus akan tiba-tiba berminat untuk muncul dan bertemu dengan orang ramai; tentunya menjelang pemilihan parti dan pilihan raya.
“Sama ada akan menjadi kenyataan atau tidak, kita akan berebut-rebut mengemukakan permintaan kepada pemimpin politik. Kita akan meyakinkan diri bahawa permintaan kita akan dilaksanakan oleh pemimpin itu dan politikus itu pula memberikan gambaran seolah-olah permintaan kita akan dipenuhinya segera,” kata penulis dan doktor bertauliah itu dengan sinis.
Dalam sajak berkenaan, Tuhan digambarkan menjadi keliru dan termangu-mangu kerana tidak memahami “bahasa bayi”. Dalam situasi itu, muncul si ibu.
Karya tidak bertujuan menghina agama
Watak ibu itu meluku kepala Tuhan kerana gagal memahami bahasa yang digunakan oleh para bayi. Ternyata si ibu memahami bahasa dan permintaan bayi-bayi itu kerana beliau mula segera melaksanakan apa-apa yang diminta oleh setiap bayi berkenaan.
Sesungguhnya ini kali pertama saya mendengar kisah Tuhan diluku atau disekeh. Walau bagaimanapun, pembaca jangan pula mentafsirkan kandungan sajak itu sebagai menghina Tuhan atau agama Hindu.
Suatu hakikat yang perlu difahami adalah bahawa cara kaum India beragama Hindu “mendekati” Tuhan adalah berbeza dengan cara kaum/agama lain; khususnya orang Melayu di Malaysia.
Dalam kalangan penganut ajaran Hindu, Tuhan boleh didekati, dimesrai dan diraikan dalam pelbagai bentuk dan rupa. “Bentuk” yang saya maksudkan di sini bukan semata-mata merujuk kepada rupa fizikal atau berhala (idol).
Sekiranya mitos dan purana Hindu dibaca, kita akan tahu bagaimana Tuhan sering muncul dalam kalangan manusia menerusi pelbagai “rupa” dan “peranan”.

Misalnya, dalam epik Mahabharata, Dewa Vishnu (Tuhan) muncul sebagai Krishna untuk membantu adik-beradik Pandava. Dalam epik Ramayana pula, Vishnu lahir sebagai Rama.
Kisah-kisah Krishna sering disampaikan kepada kanak-kanak. Kelahiran Krishna penuh dramatik. Semasa bayi, Krishna menerima kasih sayang daripada golongan ibu di kampung tempat tinggalnya. Apabila remaja, Krishna menjadi rebutan beberapa gadis untuk berkasih.
Secara penuh simbolik, mesej yang disampaikan adalah bahawa dalam ajaran Hindu, Tuhan boleh “didekati” dan “dikasihi” dari pelbagai sudut. Misalnya sebagai bayi, adik-beradik, kekasih, sahabat atau tuan.
Untuk berlaku adil, tentulah rasional amalan ini hanya akan difahami apabila kita memahami ajaran dan amalan Hindu serta budaya India sejak lebih 5,000 tahun dahulu.
Tuhan disangka anak patung
Apa yang paling penting di sini adalah bahawa perbuatan Poongulali membiarkan Tuhan diluku oleh seorang ibu tidak menjadi kesalahan dalam konteks ajaran Hindu.
Poongulali lahir di Selama, Perak dan melibatkan diri dalam bidang penulisan Bahasa Tamil sejak berumur 18 tahun. Beliau pernah bertugas sebagai editor di portal berita Semparuthi dan majalah Ilanthalir.
Graduan Universiti Malaya ini juga bertindak sebagai pengarah projek di sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain menjadi penyampai berita Bahasa Tamil di MinnalFM (RTM).
Sajak kedua yang menarik perhatian saya dalam kumpulan sajak Poongulali adalah “Dodoi untuk Tuhan” yang mengisahkan seorang kanak-kanak yang bermain dengan anak patung.
Pada waktu itu, Tuhan muncul di hadapan kanak-kanak berkenaan dan meminta supaya dibenarkan turut serta. Kanak-kanak itu pula menyangka Tuhan yang muncul adalah anak patung yang baru dibelikan (oleh ibu bapa).

Maka, kanak-kanak tersebut mula memandikan Tuhan (yang disangka anak patung). Kemudian, kanak-kanak itu menanggalkan pakaian daripada salah satu anak patung lain dan memakaikannya pada tubuh Tuhan.
Tidak cukup dengan itu, rambut Tuhan disikat dan diletakkan “pottu” (titik hitam) pada dahi. Kemudian, kanak-kanak perempuan itu memasukkan puting botol susu ke dalam mulut Tuhan dan mula menyanyikan lagu bagi mendodoi Tuhan. Lalu, Tuhan mula melelapkan mata.
Seperti yang saya nyatakan, gambaran seumpama ini tidak menjadi kesalahan atau sesuatu yang memeranjatkan dalam konteks budaya India-Hindu sejak ribuan tahun dahulu. Malangnya, puak kurang berpengetahuan seperti Zulkifli Noordin tidak akan memahaminya.
Kelaziman dalam filem Tamil, Hindi
Shanmuga Siva semasa mengulas sajak-sajak Poongulali mengingatkan bahawa Tuhan juga sering digambarkan sebagai “hamba” dan “orang gaji” dalam begitu banyak karya India/Hindu.
Sebagai seorang individu yang mengkaji dan mendalami pelbagai agama dan mazhab, saya faham bahawa apa yang menjadi lumrah dalam kalangan pengikut dan sasterawan India/Hindu mungkin menjadi kejutan budaya bagi orang lain.
Walau bagaimanapun, apabila meneliti dan mengkaji sastera Tamil, tentulah kita perlu melihatnya dalam konteks ia dihasilkan; apatah lagi apabila melibatkan kepercayaan, amalan dan ajaran Hindu. Jangan menggunakan pandangan etnosentrik, pentaksub dan ultra kiasu.
Masyarakat pelbagai kaum yang sudah biasa menonton filem Tamil dan Hindi mungkin tidak akan terkejut dengan senario seperti digambarkan dalam sajak-sajak Poongulali. Tambahan pula, rata-rata filem Tamil/Hindi kini disertakan sari kata Bahasa Malaysia dan/atau Inggeris.
Filem yang menjadi kegilaan dan igauan Ridhuan Tee Abdullah sejak Februari 2013 adalah Vishwaroopam lakonan Kamal Haasan. Dalam filem berkenaan terdapat sebuah lagu khusus memuja Kannan (Krishnan/Vishnu) sebagai kekasih.
Banyak juga filem Tamil dan Hindi yang membawakan kisah Tuhan (sering disalah sebut sebagai dewa-dewi) muncul dalam rupa manusia dan sering menjadi bahan gurauan serta dipersendakan watak-watak lain.
Contoh klasik adalah filem Thiruvilayadal (1965) lakonan hebat Sivaji Ganesan. Kisah Tuhan muncul dalam kalangan manusia masih menjadi pilihan filem Tamil dan Hindi hingga kini. Misalnya, Arai En 305-il Kadavul (2008) dan OMG — Oh My God! (2012).
Apa yang penting adalah bahawa khalayak Bukan Hindu perlu faham bahawa segala penampilan Tuhan dalam sajak dan filem bukan bertujuan menghina, mempersenda atau menghina-Nya. Sebaliknya adalah salah satu cara yang dibenarkan dan diizin dalam ajaran Hindu untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.
