12 OGOS — Mungkin hanya Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said (Pak Samad) dan Allahyarham Datuk Usman Awang adalah Sasterawan Negara yang paling dikenali dalam kalangan masyarakat Cina; di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina mahu pun dalam kalangan umum.

Pada 10 Ogos 2013, akhbar China Press menyiarkan tulisan khas mengenai Pak Samad. Generasi muda pelbagai kaum di Malaysia juga amat mengenali dan menghormati keberanian Pak Samad bersuara demi rakyat. Malah, beliau digelar “Sasterawan Rakyat”.

Akhbar-akhbar Cina tempatan dan luar negara tertarik untuk melihat Pak Samad sebagai seniman dan sasterawan yang berfikiran terbuka dan menghayati sastera dari pelbagai negara; khususnya dari tamadun utama dunia.

“Minat saya terhadap kesusasteraan China sebenarnya mula dari sekolah. Guru saya, Hee Swee Khee, tidak pernah memaksa saya membaca mana-mana buku tetapi membimbing sahaja. Beliau membelikan saya buku. Hidup saya susah dan ibu pula selalu sakit-sakit,” Pak Samad menceritakan apabila saya dan Muniswaran Errisson bertemu beliau di Bangsar Utama, semalam.

Advertisement

Menurut beliau, Swee Khee satu-satunya guru yang masuk terus ke dalam hidupnya. Atas sebab itulah Pak Samad akan ingat beliau sampai bila-bila. Guru berkenaan juga yang membantunya mendapatkan biasiswa selama dua tahun untuk belajar. Biasiswa itu khas bagi sejumlah anak Melayu terpilih di Singapura.

“Swee Khee jugalah yang membelikan saya buku-buku Bahasa Indonesia. Jadi memang tidak ada niatnya untuk memanipulasi saya dari segi agama, budaya atau sebagainya,” Pak Samad bercerita sambil mengimbas kenangan tentang guru keturunan Baba itu.

Hingga kini, apabila Pak Samad duduk seorang diri dan berfikir secara mendalam, beliau mula lihat bahawa kesan asuhan Swee Khee yang sangat banyak dipengaruhi ajaran Konfucius juga mempengaruhi sasterawan ini.

Advertisement

“Di Singapura pada waktu saya kecil, ada sebuah kedai yang menjual apa sahaja buku kesusasteraan China. Sejak tahun 1950-an, saya sudah biasa dengan puisi-puisi dari China yang mengangkat tema kecintaan alam, pengembaraan dan seumpamanya yang menarik perhatian saya,” Pak Samad bercerita kepada kami berdua.

Ada empat novel klasik China yang amat terkenal dan Pak Samad berpeluang membaca kesemuanya dalam edisi terjemahan. Beliau mengaku amat suka akan cara bercerita yang mudah, berurutan dan isi cerita pula tentang kecenderungan orang Cina/China untuk belajar dan menimba ilmu. Aspek kepentingan pelajaran dan ilmu diterapkan menerusi karya.

Puisi-puisi yang bercerita tentang suasana awal Tamadun China juga amat menarik perhatian tokoh ini. Ia bercerita tentang perwira yang pergi berjuang meninggalkan kekasih dan keluarga demi bangsa; tentang rindu terhadap kekasih dan ibu bapa. Karya-karya terjemahan memberikan peluang kepada Pak Samad untuk mengenali budaya, sastera dan pemikiran tamadun China.

“Karya-karya seperti ‘Romance of the Three Kingdoms’, ‘Journey to the West’ dan ‘Dream of the Red Chamber’ antara karya klasik China yang saya tekuni. Malah apabila diwawancara wartawan akhbar-akhbar Cina dari dalam dan luar negara baru-baru ini, saya menekankan bahawa setiap individu keturunan Cina sepatutnya wajib membaca karya-karya berkenaan.

“Karya-karya dari India dalam pelbagai bidang juga menjadi pilihan saya. Buku-buku oleh dan tentang Mahatma Gandhi, Nehru, Indra Gandhi dan sebagainya, saya baca semuanya. Saya memang amat terpikat pada personaliti dan perjuangan Mahatma Gandhi,” kata Pak Samad yang akan turut mengambil bahagian dalam acara Baca Cerpen Kavyan di Galeri Shah Alam pada 1 September nanti.

Idea, puisi tersebar menerusi Facebook

Pengarang novel “Salina” ini juga mengakui bahawa buku-buku dari China yang berbaur komunisme dan keagamaan turut dibacanya. Bagi beliau, apa yang penting adalah mesej positif yang disampaikan; bukan soal dari ajaran agama mana datangnya mesej positif bernama kemanusiaan itu.

Karya klasik China dibaca sejak usia muda.
Karya klasik China dibaca sejak usia muda.

Pak Samad juga banyak menonton filem-filem Tamil dan Hindi dari India sejak dahulu hingga kini. Filem-filem Melayu pula amat kurang ditonton kerana beliau tidak minat cerita gangster dan hantu. Katanya, dalam filem-filem Tamil dan Hindi juga ada elemen gangster tetapi menampilkan watak yang berani melawan kuasawan demi mempertahankan golongan miskin dan tertindas.

Musuh yang lazim dalam filem-filem dari India adalah ahli politik. Pertarungan adalah antara politikus dan orang kebanyakan. Pak Samad menyukai aspek ini. Beliau juga suka akan variasi pakaian tradisional yang indah-indah khususnya semasa babak lagu dan tarian. Bahasa tidak menjadi masalah untuk beliau memahami jalan cerita; sama ada filem dari India atau China.

Bercakap mengenai filem Melayu tempatan pula, Pak Samad berkata, ia menerima dana daripada kerajaan dan sukar untuk mendapatkan filem-filem bermutu seperti diharapkan. Namun filem-filem pendek yang dibuat tanpa bantuan dana diakui lebih berani meneroka sisi-sisi yang lain daripada yang lain.

Selain daripada membaca karya-karya besar dari China, India dan Indonesia, Pak Samad juga membaca Sejarah Melayu dan karya-karya klasik tempatan yang berlegar sekitar istana. Beliau mendapati cerita dalam karya klasik Melayu agak lambat tetapi penceritaan mengenai pakaian, misalnya, amat terperinci, selain ternyata bercerita tentang asal-usul Raja-raja Melayu.

Melihat pada sastera di Malaysia (Tanah Melayu) dan Indonesia pula, kedua-duanya lahir daripada dua era yang berbeza. Di Tanah Melayu, kita menerima kemerdekaan. Di Indonesia, mereka perjuangkan kemerdekaan. Maka, menurut Pak Samad, tentulah kesusasteraan Indonesia adalah sastera revolusi dan perjuangan.

Pak Samad lahir daripada pembacaan karya yang pelbagai. Antara puisi terawal yang beliau tulis adalah “Kita Ini Tetamu Senja”  yang bertema Islamik. Jadi apabila ada semacam tohmahan pihak tertentu bahawa beliau tidak Islamik, Pak Samad merasakan kritikan itu sebagai agak lucu. Beliau mengingatkan bahawa puisi terpanjang beliau iaitu “Al-Amin” juga puisi Islam.

“Mungkin zaman muda saya ada peristiwa-peristiwa yang kurang enak tetapi semakin kita dewasa, kita mewaraskan diri kita dan menjernihkan diri kita. Umur saya kini 81 tahun dan lebih banyak berfikir tentang ukhrawi (akhirat) berbanding duniawi. Sambil itu saya tidak lupa akan tanggungjawab sebagai penulis,” kata Penasihat Agung Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) ini dengan penuh rendah diri.

Buat masa ini, Pak Samad amat aktif menulis puisi-puisi pendek menerusi Facebook. Puisi itu adalah lambang keperibadian Pak Samad sendiri kerana tema-tema dan pandangan yang dipaparkan dalam puisi-puisi itu adalah pemikiran dan perkembangan beliau.

“Bagi saya, seni tidak harus berlegar sekitar dunia seni sahaja. Seni harus mampu masuk ke dalam dunia siasah (politik) dan memaparkan kritikan politik itu secara amat berseni. Saya meneliti isu-isu semasa dan reaksi saya disajikan dalam bentuk puisi,” katanya.

Sudah ada lebih seribu paparan seperti itu yang rancak juga dikongsi oleh orang muda di Facebook. Pemikiran yang beliau paparkan menerusi puisi-puisi itu sampai kepada lebih ramai orang. Pelbagai lapisan masyarakat, kuasawan dan orang siasah di dalam dan luar negara membaca, berkongsi dan memberikan komen.

“Apa yang saya tulis di Facebook itu adalah satu bentuk sastera juga dan saya berkira-kira mahu membukukannya nanti. Tapi sekarang saya sedang usahakan buku Ibu Segala Tipu yang memuatkan puisi-puisi baru yang sudah tersiar serta saya sampaikan dalam beberapa acara,” Pak Samad menceritakan.

Ternyata lelaki bertubuh kecil serta berambut dan berjanggut putih ini akan terus menjadi ikon kebanggaan Malaysia.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis.

Puisi-puisi Pak Samad tersebar luas menerusi Facebook.
Puisi-puisi Pak Samad tersebar luas menerusi Facebook.