20 OKT — Assalamualaikum wbt... Semoga saudari Alicia dalam keadaan sihat dan kita semua mendapat hidayah Allah swt.
Baru-baru ini disiarkan di media mengenai pandangan saudari berkenaan isu tudung dan Melayu. Memandangkan saya sendiri tidak pasti sejauh mana saudari Alicia pernah diterangkan mengenai pemakaian tudung atau saudari sendiri berusaha untuk mencari jawapan tepat, saya terpanggil untuk mengutus surat ini. Saya juga ada membaca beberapa artikel berkenaan “tudung” yang pemakaiannya telah disalah tafsir.
Saudaraku seIslam,
Pertamanya, kita tidak dapat menolak hakikat perbezaan lelaki dan perempuan dalam aspek fizikal, peranan serta tangungjawab mahupun sosial. Betapa lelaki yang dikuniakan lebih rasionalnya dan perempuan yang lebih kuat emosinya itu mempunyai kekuatan tersendiri dalam menggalas tanggungjawab dan menjalankan peranan. Dalam bidang perubatan, perbezaan lelaki dan perempuan juga sangat jelas misalnya dari segi anatomi sistem reproduktif hinggalah perbezaan kitaran hormon yang mempengaruhi mood, sikap mahupun tindakan. Maka, bukanlah menutup rambut dengan bertudung atau lebih tepat lagi berhijab itu satu kesalahan yang membezakan lelaki dan perempuan Muslim.
Kedua, menyentuh keperluan serta tujuan berhijab itu sendiri bagi seorang Muslimah. Oh... Sebelum itu, untuk makluman saudari saya adalah seorang perempuan yang mengenakan hijab bila diluar rumah dan bila berdepan lelaki yang bukan mahram. Namun saya sesekali tidak skeptikal dengan saudara seIslam saya yang belum bertudung kerana saya percaya hidayah Allah itu luas. Saya mempunyai ramai rakan yang pada awalnya tidak mengenakan hijab namun akhirnya mereka berhijrah demi untuk mencari keredhaan Allah dan bahagia yang hakiki, Alhamdulillah. Saya sendiri juga dulu “bertudung asal ikut syarat”, Alhamdulillah semakin saya mengenali Islam, saya berusaha untuk melabuhkan hijab saya dan menjaga aurat dengan lebih sempurna. Moga Allah ampunkan dosa-dosa saya yang lalu, Dialah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Berbalik kepada persoalan mengapa bertudung?
Analogi mudah, jika kita membeli barangan elektrik seperti kipas angin misalnya, sebelum menggunakan peralatan tersebut, apakah rujukan kita? Tentunya manual yang disediakan di dalam kotak kipas angin tersebut. Bermakna, jika mahu merujuk, tentunya kilang yang membuat kipas angin itu yang tahu dari A sampai Z perihal kipas angin tersebut. Maka kita sebagai Muslim yang mengakui Allah sebagai Tuhan, perlulah merujuk kepada al-Qur’an sebagai panduan hidup.
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”- surah An-Nur ayat 31.
Jelas berdasarkan ayat di atas perintah menutup aurat dengan berhijab bagi seorang perempuan yang beragama Islam adalah daripada Allah swt. Jadi tidak timbul lagi persepsi tudung yang dikaitkan dengan kapitalis, neoliberal, pengaruh Arab mahupun Melayu itu sendiri. Pokoknya, sebagaimana kita sebagai Muslim menerima kewajipan solat 5 waktu, tiada bezanya dengan kewajipan menutup aurat.
Aurat bagi perempuan pula adalah seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan. Adapun tudung itu pula hanyalah salah satu jenis pakaian yang memenuhi tuntutan menutup aurat. Jika kain langsir, kotak atau daun-daun itu mampu menutup aurat dengan sempurna, maka boleh juga digunakan (maaf jika contoh ini agak hiperbola).
Akhir sekali, saya doakan saudari Alicia mendapat hidayah Allah swt. Semoga kiriman ringkas ini berolah manfaat buat saudari serta rakan-rakan lain sama ada yang Muslim mahupun Non-Muslim berkenaan hijab.
* Dr Nur Atikah (merupakan seorang doktor perubatan yang kini bertugas di salah sebuah hospital di utara tanah air).
** Pandangan di atas mewakili pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.