SEPT 3 — Telah seorang ahli Pas kini diisytiharkan bercerai talak tiga oleh hakim Mahkamah Syariah gara-gara baiah pimpinan parti yang sedang mengalami penuyian fikrah dan ahli.
Tapisan Allah, bak kata sesetengah pihak sedang berjalan, dan talak tiga inilah antara “harga” yang perlu dibayar jika baiah tersebut sah.
Walau bagaimanapun, yang lebih merisaukan ialah bukan Dr Hatta sahaja yang berjanji sumpah setia sebegitu rupa; pimpinan atas juga telah berbaiah sebegitu rupa.
Jika dahulu, ramai yang sangka baiah ini acah-acah dan gossip semata.
Manalah logik pimpinan sebuah parti politik yang Islam pada namanya dan lebih tua daripada Malaysia sendiri usianya pnya obsesi yang pelik dengan hal ehwal rumah tangga orang.
Rupa-rupanya, obsesi itu memang ada dan hari ini mereka menuntut obsesi itu.
Namun begitu, ada perkara yang perlu kita rakyat yang mengundi ini takutkan lebih daripada fakta bahawa pimpinan Pas ini berbaiah sebegitu rupa.
Yang lebih menakutkan ialah jika dalam parti sudah pandai menceroboh rumah tangga dan hak individu ahli parti yang sememangnya setia, bagaimana kita boleh percaya penceroboh ini memerintah rakyat ini?
Jika kita dahulu mengecam Tun Dr Mahathir atas kediktatorannya menafikan hak individu dan kebebasan media, sekurang-kurangnya dia tidak paksa Anwar ceraikan Wan Azizah.
Tidak pula Najib pernah memaksa Zaid Ibrahim menceraikan isterinya dahulu.
Jika ahli teras sendiri pun boleh dipaksa berbaiah begini, entah apa lagi yang boleh dilakukan tatkala memerintah negara.
Tidak lain tidak bukan, baiah talak tiga ini hanyalah menambah persoalan pengundi akan kompetensi Pas memerintah negara yang memelihara hak individu ini.
* Ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.