Kesopanan dan kesusilaan amalan terpuji

17 SEPTEMBER — Kesopanan dan kesusilaan merupakan sebahagian daripada amalan hidup yang dituntut dalam kehidupan seharian. Malah, ia juga merupakan salah satu daripada lima prinsip utama yang terkandung dalam Rukun Negara.

Kita diajar untuk sentiasa menghormati dan mempamerkan sikap sopan-santun apabila bertemu ataupun bertegur-sapa dengan orang yang lebih tua daripada kita.

Antara amalan yang pernah menjadi ikutan dahulu termasuklah membongkokkan badan apabila berjalan melepasi orang-orang yang lebih tua, tidak meninggikan suara ketika bercakap dan sentiasa memberi salam apabila berjumpa dengan orang lain.

Tujuannya cukup murni dan mudah. Yang pertama, tindakan tersebut bagi mengelakkan sebuah masyarakat yang biadap dan langsung tidak memahami selok-belok sifat hormat-menghormati yang sudah menjadi sebati dalam masyarakat. Kedua, ia juga bagi mengelakkan sebuah masyarakat yang lawless yang bertindak mengikut nafsu dan secara sewenang-wenangnya. 

Malangnya, amalan sedemikian kian hari semakin dilupakan. Di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur umpamanya, amalan kesopanan dan kesusilaan hampir tidak wujud lagi. Apa yang dapat dilihat adalah sikap berlumba-lumba untuk mencari sumber pendapatan sehingga mereka lupa akan perkara-perkara asas yang lain seperti budi bahasanya dalam pergaulan harian.

Di atas jalan raya pula, rakyat Malaysia mempamerkan sikap yang cukup luar biasa apabila bertindak memandu secara laju dan tidak menghiraukan lampu isyarat. Selain itu, mereka juga gemar untuk membunyikan hon dan memaki-hamun apabila kenderaan di hadapan mereka bergerak dengan perlahan. Dalam kalangan generasi muda, ada yang melihat bahawa tindakan untuk tidak menghormati orang yang lebih tua adalah sesuatu yang cool.

Apabila berbicara mengenai aspek ini, penulis ingin menarik perhatian para pembaca akhbar Sinar Harian kepada beberapa insiden berikut. Pertama, sikap dan gelagat yang ditunjukkan oleh sekumpulan mahasiswa daripada sebuah universiti tempatan dalam pertemuan mereka dengan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berhubung dengan pelantikannya sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA), baru-baru ini.

Dalam pertemuan tersebut, wakil kumpulan mahasiswa itu dikatakan tidak berpuas hati dengan sebab yang diberikan oleh Menteri Pendidikan untuk terus memegang jawatan sebagai Presiden UIA. Lantaran itu, wakil kumpulan mahasiswa memberi kata putus dan masa selama 7 hari kepada Menteri Pendidikan untuk meletak jawatan. Kegagalan untuk berbuat demikian akan mengakibatkan pihaknya untuk menggerakkan lebih ramai mahasiswa untuk menentang beliau. 

Seperti yang dilaporkan dalam media, kumpulan mahasiswa terbabit turut menjerit slogan “undur Maszlee” beberapa kali ketika menteri berjalan ke arah keretanya. Bagaimanapun, bantahan yang diluahkan oleh kumpulan mahasiswa itu disantuni oleh Dr Maszlee dengan tenang.

Apa yang ingin dibantah oleh kumpulan mahasiswa itu adalah hak mereka. Bahkan dalam sebuah negara demokrasi, kebebasan bersuara adalah dibenarkan selagi ia tidak menyalahi undang-undang yang ditetapkan. Mereka memprotes kerana mereka berpandangan bahawa isu yang dibangkitkan tidak senada dengan idealisme mereka.

Dalam situasi yang lain pula, kelihatan sekumpulan pelajar yang mundar-mandir di luar bilik darjah ketika sesi pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung biarpun diberikan nasihat untuk kembali ke dalam bilik darjah.

Dalam kedua-dua insiden yang disebutkan di atas, kedua-dua pihak pastinya mempunyai justiifikasi dan alasan mengapa mereka berkelakuan sedemikian rupa. Akan tetapi, prinsip keterbukaan untuk mengkritik yang dibenarkan di bawah kerajaan yang baharu ini tidak bererti bahawa mereka boleh melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat yang dimahukan sehingga mengkesampingkan norma-norma yang dibenarkan.

Untuk menyampaikan sesuatu pandangan dan menyelesaikan masalah, ia haruslah dijalankan dalam suasana yang harmonis, bukannya bersifat konfrontasi. Jika wujud perbezaan pendapat sekalipun, carilah titik persamaan dan manfaatkan titik persamaan itu demi kepentingan bersama. Tidak perlulah bertindak sehingga memberi kata putus kepada seorang Menteri Kabinet atau melaungkan slogan undur kepada menteri.

Bagi seseeorang pelajar sekolah pula, janganlah sesekali melawan cakap guru kelas anda. Guru ibarat pelita yang menerangi hidup kita. Kerana pengorbanan merekalah, seseorang pelajar itu boleh mengecapi kejayaan dalam hidup. 

Pokok-pangkalnya, dalam keghairahan untuk memperjuangkan sesuatu isu, pastikan ia dijalankan secara tertib, berbudi bahasa dan mengikut lunas-lunas yang dibenarkan.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.