31 JULAI — Hujung minggu lalu, penulis berkesempatan untuk mencuba perkhidmatan MRT dari Stesen Bukit Bintang ke Muzium Negara untuk melihat dengan mata sendiri perkhidmatan terbaru negara.
Ternyata, penantian selama beberapa tahun sebelum ini amatlah berbaloi. Daripada reka bentuk stesennya kepada keluasan platform sehinggalah koc-koc yang digunakan, semuanya dilihat bertaraf dunia dan setanding dengan perkhidmatan di negara-negara maju. Kesemua elemen yang disebutkan memberikan keselesaan kepada pengguna.
Malahan, jumlah penumpang yang menggunakan MRT semenjak pembukaannya untuk laluan Kajang-Sungai Buloh pada 17 Julai lalu makin hari makin meningkat.
Warga Kuala Lumpur barangkali merupakan warga yang paling bertuah kerana kini boleh menikmati perkhidmatan bukan sahaja MRT bahkan juga LRT, Monorel, KTMB dan ERL.
Tatkala sambutan yang diberikan oleh penumpang untuk perkhidmatan MRT ini adalah positif, terdapat juga sedikit masalah yang mencacatkan kelancaran perkhidmatan berkenaan. Masalah yang dimaksudkan itu ialah masalah vandalisme dalam kalangan penumpang.
Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan masalah vandalisme di media sosial apabila kelakuan dan gelagat segelintir penumpang merosakkan harta-benda di siesen MRT didedahkan. Ada yang memanjat di sana-sini dan ada juga yang merosakkan harta-benda dalam tandas.
Pendedahan tersebut amatlah memalukan. Perbuatan tidak bertanggungjawab itu jelas memperlihatkan sikap dan gelagat buruk rakyat Malaysia yang nampaknya tidak kisah dengan kemudahan-kemudahan awam yang disediakan walhal ia disediakan untuk keselesaan semua pihak.
Bagi golongan sebegini, mereka tidak nampak dan sedar mengenai aspek ini. Bagi mereka, pandangan serta kepentingannya adalah lebih penting daripada segala-galanya. Bagi mereka, harta benda awam tidak penting tetapi harta-benda milik sendiri adalah penting.
Beginilah sikap manusia. Sikap pentingkan diri sendiri dan keghairahan untuk memuaskan hatinya seolah-olah telah mengaburi kemampuan mereka dalam menganalisis sesuatu isu. Yang betul dianggapnya salah dan begitulah sebaliknya.
Andai kata, jika perkhidmatan yang digunakan itu merupakan hasil usaha dan jerih-payah sendiri, pastinya sikap dan cara menggunakan perkhidmatan adalah berbeza.
Mereka sudah pasti akan lebih berhati-hati dan menghargai perkhidmatan yang disediakan. Sikap sedemikian adalah lumrah kerana kebiasaannya jika sesuatu itu diusahakan melalui titik-peluhnya sendiri, mereka akan lebih menghargai kerana mahu melihat usahanya memberi manfaat kepada orang lain. Disebabkan kesusahan yang diharungi itu, mengajar seseorang itu untuk lebih bersyukur.
Sikap tersebut amatlah positif dan wajar menjadi ikutan. Yang peliknya, mengapa sikap yang dimaksudkan itu tidak diterjemahkan ke dalam suatu bentuk tindakan konkrit khasnya ketika seseorang itu sedang menggunakan sistem pengangkutan awam.
Kepada segelintir individu yang cenderung merosakkan harta-benda awam di khalayak, sentiasa beringatlah bahawa kemudahan yang disediakan itu bukanlah milik anda sahaja. Sebaliknya, ia juga milik orang lain yang turut berhak menggunakannya. Bayangkan apa yang akan terjadi bila setiap daripada kita berkelakuan sedemikian? Nescaya, lebih banyak kos dan masa yang perlu dibelanjakan kelak
Sekalipun berada di khalayak, ia tidak bermakna seseorang itu boleh melakukan apa sahaja dengan sewenang-wenangnya. Setiap tempat ada peraturannya tersendiri dan dalam hal ini, di stesen MRT. Dalam usaha negara untuk mencapai status negara maju, pastinya perbuatan vandalisme seperti yang didedahkan tadi sedikit sebanyak mengundang persepsi negatif umum terhadap negara kita. Sudah sampai masanya perbuatan vandalisme ditangani hingga ke lubang cacing dan tidak ada lagi kompromi buat mereka yang melakukan kesalahan sebegini.
* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.
