5 SEPTEMBER — Ancaman virus Zika yang selama ini tertumpu di Brazil, kini sudah menular ke Asia Tenggara khasnya Thailand, Singapura dan yang terbaru, Malaysia. Ini bukan kali pertama ancaman epidemik sedemikian melanda rantau tersebut memandangkan ancaman epidemik yang tidak kurang hebatnya iaitu Sindrom Akut Pernafasan Teruk atau SARS melanda rantau ini pada 2003.
Ketika itu, ramai penduduk setempat di rantau Asia Tenggara rimas dan panik apabil terdapat mereka yang dijangkiti meninggal dunia. Lantaran itu, pelbagai langkah berjaga-jaga telah diambil untuk memastikan virus berkenaan tidak merebak.
Dalam ancaman virus Zika yang berlaku ketika ini di Malaysia, biarpun kes jangkitan hanya membabitkan dua individu, salah seorang daripadanya sudah meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Sabah, langkah pencegahan yang diambil oleh pihak berkuasa perlulah dilipatgandakan. Tahap kesiapsiagaan semua agensi yang bertanggungjawab juga perlu diperkukuh bagi memastikan tidak berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini.
Apabila kita berbicara mengenai isu-isu sebegini khasnya melibatkan nyawa dan keselamatan rakyat, adalah penting respons dan pelan bertindak dilaksanakan pada waktu dan tempoh yang ditetapkan. Dalam membasmi ancaman epidemik, masa adalah emas.
Sebarang kelewatan untuk melaksanakan tindakan pencegahan boleh mengundang pelbagai implikasi yang serius. Antaranya, kematian, merebaknya epidemik yang dimaksudkan dan barangkali juga kerosakan berkekalan pada si mangsa.
Pihak berkuasa khasnya Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi yang relevan pula perlu mengikis sindrom penafian. Seandainya, virus ini terus merebak, usah bimbang tetapi laporkan keadaan yang sebenarnya. Libatkan juga rakyat untuk turut serta membantu kerana tanggungjawab terhadap kebersihan negara ini adalah tanggungjawab bersama.
Menyedari bahawa ancaman Zika ini ada kena-mengena dengan nyamuk, ini bermakna aspek kebersihan juga wajar mendapat perhatian. Rakyat juga wajar memainkan peranan dengan tidak membuang sampah di merata tempat. Pastikan tahap kebersihan di sekeliling mereka berada pada tahap terbaik manakala sistem perparitan juga diberikan perhatian.
Dalam perkembangan yang sama, rakyat juga perlulah berwaspada dan tidak menyebarkan sebarang khabar angin mengenai penyebaran virus Zika di negara ini dalam media sosial.
Realitinya, tidak ada sebab mengapa pengguna media sosial perlu menyebarkan maklumat-maklumat tidak sahih mengenai Zika di media sosial. Tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja bakal mengundang situasi cemas kepada orang awam malahan boleh menjejaskan usaha-usaha pihak berkuasa dalam membendung penyebaran virus terbabit.
Di saat dan ketika pihak berkuasa sedang bertungkus-lumus membendung penyebaran virus yang berbahaya ini, sewajarnya juga pengguna media sosial memainkan peranan mereka sebagai seorang rakyat Malaysia yang bertanggungjawab.
Tatkala pihak berkuasa bertungkus-lumus untuk membendung penularan virus Zika, jangan pula pengguna media sosial pula mencipta masalah dan memburukkan keadaan lagi.
Tidak dapat dipastikan bilakah virus Zika ini akan terus merebak namun demikian, rakyat Malaysia adalah disarankan berada dalam keadaan siapsiaga sepanjang masa.
* Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Malay Mail Online.
