4 NOVEMBER — Tiada “sejahtera”nya dalam saranan yang baru dibuat oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Abdul Rahman Dahlan, kepada warga yang duduk di sekitar Kuala Lumpur untuk mengelakkan diri dari menggunakan jalan yang bertol lagi mahal apabila menuju ke arah destinasi di mana mereka mencari nafkah hidup.

Abdul Rahman, yang selama ini tidak asing kepada lafazan yang kadangkala dangkal dan membingungkan, mencadangkan warga kota bangun lebih awal lagi supaya dapat menggunakan jalan alternatif sebagai satu cara untuk menangani kerenah pemegang konsesi yang sentiasa menaikkan kadar tol jalan.

Apa yang jelas dari lafazan Rahman ini ialah ia mempunyai kesan memperlekehkan akal kebanyakan warga kota yang waras lagi bijaksana. Ini kerana saranan ini seolah-olah tidak mengambil kira hakikat yang sedia ada, iaitu ramai warga yang sudahpun bangun awal dan meninggalkan rumah pada awal subuh untuk mengharungi jalanraya yang selalu sesak dengan pelbagai bentuk kenderaan.

Saranan Rahman memungkinkan warga kota bangun seawal 4.00 atau 5.00 pagi untuk menyahut panggilan beliau itu. Apakah ini kualiti hidup yang dijanjikan oleh pemerintah pusat bagi rakyat jelata hingga menyebabkan, misalnya, waktu kontak dengan ahli keluarga begitu singkat sekali pada setiap hari?

Advertisement

Seperti ramai sedia maklum, usaha orang ramai untuk mengelakkan jalan bertol adalah disebabkan kenaikan kadar tol yang baru diumumkan. Tapi cadangan Rahman ini sebenarnya tidak menyentuh persoalan yang lebih pokok: kenapa tol jalan harus dibenarkan naik kadarnya lebih-lebih lagi apabila ramai yang sudahpun dibebankan dengan kos hidup yang meningkat?

Dengan kata lain, pemegang konsesi tollah yang sepatutnya dipertikaikan tindakan mereka baru-baru ini – dan bukan menyarankan warga kota mengubahsuai gaya hidup mereka semata-mata untuk menjamin “kesejahteraan” pemegang konsesi itu. Pemerintah pusat juga perlu dipersoalkan kerana membuat perjanjian yang menjaminkan peningkatan kadar tol dari masa ke masa tanpa mengira keluhan rakyat jelata.

Lagipun, seperti ramai yang sedia maklum, jalan yang bertol itu tidak semestinya selesa digunakan kerana lazimnya orang ramai membayar tol jalan yang sesak dengan kenderaan dan melambatkan perjalanan mereka. Pendek kata, pembayaran tol itu selalunya tidak berbaloi.

Advertisement

Realiti yang dihadapi oleh kebanyakan warga kota menunjukkan cara alternatif untuk pergi ke tempat kerja amatlah sempit. Jalan alternatif tidak mencukupi atau sentiasa sesak.

Pengangkutan awam, khususnya LRT, tren komuter dan monorel, rata-rata akan dinaikkan kadar tambangnya pada bulan Disember akan datang yang boleh menyebabkan ada dalam kalangan warga kota yang tidak lagi mampu menggunakan pengangkutan awam berkenaan. Itupun jikalau pengangkutan awam seperti ini lalu berdekatan dengan rumah warga kota berkenaan.

Dan bagi kebanyakan warga kota, khususnya mereka yang dalam kategori kelas menengah, kereta adalah satu keperluan dan tidak semestinya simbol kemewahan hidup memandangkan sistem pengangkutan awam yang kurang memuaskan sejak beberapa dekad yang lalu. Jumlah kereta yang bertambah sehingga hari ini sudah tentunya mencetuskan kesesakan lalu lintas di kota.

Usaha untuk menambahbaik sistem pengangkutan awam di sekitar Kuala Lumpur menghadapi cabaran lebih-lebih lagi daripada kelahiran industri kereta Proton dan selanjutnya pertumbuhan jalan yang diswastakan dan bertol (yang meraih dan menagih keuntungan dari laluan kenderaan yang semakin bertambah).

Sepatutnya kesesakan lalu lintas yang semakin rumit menjadi faktor utama yang “mendesak” pihak pemerintah untuk memikirkan satu pelan pengangkutan awam yang lebih komprehensif dan sistematik demi keselesaan warga kota.

Sebagai satu daya tarikan, diskaun boleh disogokkan kepada penumpang pengangkutan awam untuk memastikan ramai lagi warga kota menggunakan perkhidmatan LRT, bas dsb. Kawasan parkir yang cukup disediakan di stesyen LRT bagi keperluan penumpang yang mempunyai kereta. Dan dalam masa yang sama, tol jalan diturunkan kadarnya, kalau tidakpun dimansuhkan, mengikut peredaran dan keperluan masa bagi laluan kenderaan seperti teksi dan bas, selain daripada kereta.

Melalui cara ini, bukan sahaja warga kota dapat menikmati perjalanan mereka yang lebih cepat dan selesa, malah ini mengurangkan pencemaran udara dan bunyi serta menjimatkan tanah fizikal dari digunakan untuk melebarkan jalan atau membuat jalan baru. Lagipun, tanah yang dapat “diselamatkan” itu boleh difikirkan untuk dijadikan ruang legar atau public park untuk keperluan warga kota.

Pihak pemerintah sepatutnya lebih prihatin terhadap masalah harian yang dihadapi oleh warga kota yang menggunakan jalan bagi tujuan untuk pergi bekerja – dan bukan dengan sambil lewa menyarankan mereka bangun lebih awal lagi.

Ini tentunya satu cadangan yang tidak sensitif kepada masalah orang ramai. Lagipun, politikus yang dipilih oleh rakyat sepatutnya berkhidmat untuk kebajikan orang ramai, dan bukan bersikap angkuh. Cuba pandu kereta di jalan kota tanpa khidmat outriders untuk merasai keperitan kesesakan lalu lintas.

Ada dalam kalangan warga kota, misalnya, perlu menghantar anak mereka ke rumah pengasuh atau tadika sebelum pergi kerja. Sudah tentunya mereka tidak dapat meletakkan anak mereka ke tempat ini apabila ayam pun tidak sempat berkokok pada awal pagi. Ini kita belum lagi memikirkan apakah impak saranan Rahman ini terhadap mereka yang terpaksa hantar anak ke sekolah sebelum pergi ke tempat kerja.

Memandangkan masalah yang menonjol ini, sudah tiba masanya bagi warga kota untuk “bangunkan” politikus pemerintah seawal atau secepat mungkin tentang betapa penting dan perlunya bagi mereka menerima tindak balas dan pandangan orang ramai sebelum mencadangkan sesuatu yang kononnya boleh mengatasi masalah tertentu.

Dalam hal ini, pak menteri yang berkenaan sepatutnya berdialog dengan warga kota untuk sama-sama memikirkan kaedah memperbaiki sistem pengangkutan sekitar Kuala Lumpur. Ini kerana setiap politikus, lebih-lebih lagi menteri, akhirnya bertanggungjawab kepada rakyat.

Tanpa dialog dan perbincangan bersama orang ramai serta penelitian rapi, sesuatu cadangan yang disogokkan oleh pihak berkuasa boleh kelihatan pandir.

* Tulisan ini merupakan pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Malay Mail Online.