22 SEPTEMBER ― Entah mengapa sejak dari kecil lagi, saya tidak begitu meminati demonstrasi sebagai salah satu platform untuk menyuarakan pandangan atau bantahan terhadap sesuatu perkara.

Malah, saya melihat tindakan berdemonstrasi di jalanan sebagai sesuatu yang “counter-productive” dan boleh mengundang kesan yang bertentangan jika tidak diurus dengan baik. Semuanya ini mungkin ada kaitan dengan sikap, perwatakan dan “up-bringing” oleh kedua ibu bapa saya.

Sewaktu di bangku sekolah dahulu, saya dianggap sebagai salah seorang pelajar yang pasif, tidak menonjol dan suka mengasingkan diri. Namun demikian, pendirian saya yang kurang positif terhadap demonstrasi tidak bermakna orang lain tidak boleh berbuat sedemikian.

Dalam sebuah negara demokrasi, tindakan untuk berhimpun atau berdemonstrasi adalah hak rakyat selagi acara-acara sedemikian dikendalikan dalam cara yang teratur dan tertib. Apa yang berlaku dalam tempoh dua bulan ini iaitu pada bulan Ogos dan September merupakan manifestasi kepada ketidakpuasan hati terhadap perkembangan semasa negara.

Masing-masing dizahirkan dalam dua bentuk demonstrasi yang berbeza tetapi mempunyai persamaan iaitu penggunaan warna sebagai elemen untuk menarik perhatian orang awam. Satu yang menggunakan baju kuning dan satu lagi, baju merah. Penggunaan kedua-dua warna yang tajam dan “garang” ini mempunyai maksud tersirat di sebaliknya.

Apa yang pasti, kehadiran kedua-dua kumpulan ini mempunyai agenda masing-masing. Bergantung kepada siapa anda lontarkan soalan ini, anda mungkin akan mendengar kepelbagaian reaksi dan maklum balas, masing-masing mempunyai perbezaan pendapat dan komen ― ada yang memuji, ada yang memaki dan tidak kurang juga yang mengambil pendirian berkecuali terhadap kedua-dua perhimpunan besar itu.

Semuanya ini merupakan sebahagian daripada reaksi balas yang sudah dijangka. Tidak mungkin semua orang yang akan bersetuju 100 peratus dengan apa yang dilakukan oleh kedua-dua pihak. Perbezaan dan kepelbagaian pendapat inilah yang harus dibenarkan dan menjadi sebahagian daripada amalan sihat dalam demokrasi negara.

Berbeza pendapat dan tindakan tidak bermakna seseorang itu tidak sayangkan negara dan pemimpin. Berbeza pendapat sebaliknya menunjukkan setiap rakyat mempunyai cara tersendiri untuk meluahkan pandangan mereka terhadap isu-isu berbangkit. Selagi ia adalah untuk kebaikan negara, apa salahnya.

Dalam konteks ini, pujian harus diberikan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana berjaya mengawal kedua-dua perhimpunan mega itu dengan baik sekali. Pihak PDRM dilihat telah mengambil iktibar perhimpunan-perhimpunan terdahulu yang berakhir dengan kekecohan yang jelas memberi kesan kepada ketenteraman awam.

Sama ada peserta dari kumpulan baju kuning atau merah, niat untuk berdemonstrasi adalah hak mereka. Selagi perhimpunan yang dianjurkan mematuhi peraturan dan berjalan secara aman, mereka berhak untuk berkumpul. Itu tidak menjadi masalah.

Akan tetapi, ia akan menjadi masalah apabila kedua-dua kumpulan masing-masing bertikam lidah dan cuba untuk meraih populariti daripada kalangan penyokong mereka dengan cara yang kurang sopan. Pada hemat saya, apabila wujudnya saingan atau 'contestation', secara tidak langsung akan wujud perasaan iri hati terhadap pihak lain. Masing-masing akan cuba menyaingi atau mengatasi pihak lain.

Semasa “contestation” ini, pastinya ada pihak yang berasa terkilan atau geram apabila suara mereka tidak didengar. Lama-kelamaan, akibat perasaan geram yang terpendam, ia akan membarah dan membuatkan kita ada kalanya hilang pertimbangan untuk membuat keputusan yang betul. Kata orang, “it only take a spark to get fire going.” Inilah yang harus dielakkan dalam apa cara sekalipun.

Apa yang berlaku dalam perhimpunan baju kuning yang menyaksikan para peserta memijak gambar PM dan perhimpunan baju merah yang menyaksikan kekecohan serta segelintir peserta menendang pintu kedai yang ditutup di Jalan Petaling, amatlah dikesali.

Sesungguhnya, perbuatan oleh peserta dari kedua-dua kumpulan itu adalah kurang sesuai dan tidak mencerminkan budaya ketimuran dan tatasusila masyarakat di negara ini. Tambah merimaskan, perbuatan melabel sesebuah kumpulan etnik dengan label yang kurang elok bukanlah penyelesaiannya.

Apa yang kita dapat menerusi perbuatan-perbuatan yang dinyatakan sebentar tadi? Adakah masalah pokok seperti yang diadu mereka telah diselesaikan? Ataupun ibarat melepaskan batuk di tangga? Jika ingin berjuang menyelesaikan sesuatu masalah, laksanakannya dengan penuh hemah.

Bukti-bukti yang ada di hadapan mata kita sudah cukup untuk mengingatkan kita semua bahawa sesuatu masalah tidak akan selesai jua malah akan meruncing jika  kita membiarkan emosi mengawal diri kita. Kesudahannya, hanya kemusnahan dan kesengsaraan yang akan mewarnai hidup nanti. Pada akhirnya, kita akan hidup dalam ketakutan dan syak-wasangka. Adakah ini yang kita mahu?

Malaysia cukup bertuah kerana ia merupakan satu-satunya negara di dunia yang mana masyarakat pelbagai kaum dapat hidup dengan aman dan damai. Malah, satu ketika dahulu, Malaysia diangkat sebagai negara contoh kepada kebanyakan negara Islam sebagai negara yang menguruskan hubungan antara kaum dengan baik.

Kesatuan dalam kepelbagaian menjadi benteng utama kepada kekuatan serta kemakmuran Malaysia selama ini. Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Perdana Mentri Malaysia yang pertama pernah berkata:-

“Kami semua adalah rakyat Malaysia. Inilah jalinan yang menyatukan kita semua. Marilah kita sentiasa ingat bahawasanya perpaduan merupakan kekuatan asas kita sebagai rakyat dan negara tercinta ini.”

Sesungguhnya, ingatlah sentiasa kepada kata-kata Almarhum Tunku itu dan nescaya negara kita tidak akan tergelincir daripada landasan sebenar. Lebih penting lagi, kita sebagai sebuah masyarakat yang hidup di bawah sebuah bumbung yang sama, tidak harus melihat perbezaan yang wujud sebagai satu halangan.

Mengapa harus cari perbezaan orang lain sedangkan perbezaan yang wujud itu sebenarnya merupakan satu kekuatan dalaman yang boleh dimanfaatkan? Bukankah itu pendekatan yang lebih baik?  Pilihan terletak di tangan anda.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.