24 OGOS — Santai bro. Lepak dulu bro. Dua kata ini anda pasti sering mendengarnya, satunya di Indonesia dan satunya lagi di Malaysia. Menurut Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI), santai bermaksud bebas dari rasa ketegangan. Maksud yang sama juga terdapat dalam Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, "dalam keadaan rehat dan bebas, bebas daripada tekanan (desakan, ketegangan).

Jika santai bermaksud positif, perkataan lepak tidak demikian. Menurut Kamus Dewan; (lépak); budaya (tabiat) — amalan negatif di kalangan masyarakat, seperti di kalangan remaja yang menghabiskan masa dengan duduk-duduk tanpa melakukan kegiatan yang berfaedah: budaya — yang pada peringkat awalnya dilakukan oleh kutu-kutu jalan telah diikuti oleh remaja.

Di Indonesia perkataan lepak tidak digunakan dalam erti yang sama, biasanya perkataan "nongkrong" yang tidak terdaftar di dalam KBBI digunakan. Menurut blogger bernama Fadhila Asmoro, nongkrong bermaksud, "kegiatan yang dilakukan oleh sekelompok orang untuk membicarakan suatu hal dan tidak ada ikatan formalitas, dan dapat dilakukan dimana saja dan tanpa batasan usia".

Pada penulis, maksud lepak yang digunakan Kamus Dewan tidak mengikuti perkembangan zaman. Maksud nongkrong yang berbunyi positif lebih tepat menerangkan apa itu lepak. Cuma harus ditambah, "dapat dilakukan 24 jam di kedai makan" kecuali anda percaya kepada laporan Majlis Sosial Negara yang menyatakan kedai makan 24 jam menjadi punca peningkatan gejala sosial. Kini, budaya lepak bukan milik kutu jalan dan remaja semata-mata. Budaya ini telah merakyat dan menjadi hal positif bagi yang bijak menggunakannya seperti mana media sosial.

Santai di zaman ini tidak akan sama seperti zaman dahulu yang sepenuhnya masih berbudaya tani dan kelautan.
Santai di zaman ini tidak akan sama seperti zaman dahulu yang sepenuhnya masih berbudaya tani dan kelautan.

Baik santai, lepak dan nongkrong, ketiga-tiganya mempunyai semangat yang sama iaitu membebaskan diri dari tekanan. Jika dulu tekanan dari alam, kini tekanan dari majikan. Budaya ini adalah ciri khas Asia Tenggara atau Nusantara. Kunjungilah Filipina, Laos, Vietnam, Myanmar, Kemboja dan Thailand untuk melihat persamaan ini.

Advertisement

Meski demikian perlahan-lahan kita berubah. Atas nama produktiviti yang sebenarnya "penjajahan" bentuk baru dengan segala kezaliman mereka; jam kerja panjang, gaji rendah, persekitaran yang tidak sihat dan seumpamanya. Kita anak rantau ini menjadi kalut, terburu-buru, resah dengan segala macam keluh kesah mengejar sesuatu yang tidak akan dapat dikejar. Doktrin memaksimumkan keuntungan dan memberi dividen besar kepada pemegang saham atas kudrat para pekerja lebih mengerikan dari politik perkauman.

Generasi Tun Mahathir termasuk penulis membesar dengan kepercayaan tunggal untuk berjaya harus menjadi seorang yang produktif.. Produktiviti akan meningkatkan penghasilan syarikat seterusnya gaji dan insentif lain. Atas kertas terlihat indah, tetapi realitinya tidak. Mereka yang di atas semakin kaya, mereka yang di tengah begitu saja tidak naik-naik dan mereka yang di bawah apatah lagi. Produktiviti melahirkan pekerja berjiwa hamba yang menganggap bos mereka sebagai tuan. Produktiviti hanya helah golongan pemodal yang tidak berpaksikan pengembangan sosial dan masyarakat untuk melabel pekerja yang tidak produktif sebagai malas dan demanding seterusnya mengambil pekerja asing untuk meneruskan kitaran jahat mereka.

Barangkali Majlis Sosial Negara harus membuat kajian tentang hubungan antara doktrin produktiviti dan peningkatan gejala sosial. Di Jepun dan Singapura yang menganut fahaman ekstrem produktiviti, isu ketidakseimbangan antara masa bekerja dan bersosial telah menjadi topik perbincangan hangat. Jelas produktiviti gagal mensejahterakan rakyatnya secara berkualiti. Timpang.

Advertisement

Meski demikian santai atau lepak yang berlebihan juga membawa mudarat. Santai di zaman ini tidak akan sama seperti zaman dahulu yang sepenuhnya masih berbudaya tani dan kelautan. Pemaknaan semula budaya santai mahu tidak mahu harus dilakukan mengikut arus zaman. Bekerjalah untuk bersantai, bukan bersantai dalam bekerja. Tetapi jika diperah tenaga seperti lembu, eloklah bersantai dalam bekerja. Majikan jahat harus dihajar.

Andai berterusan keliru mahu santai atau produktif, kawan kepada penulis yang menetap di Yogyakarta membawa pesanan ini, "Kelambatan adalah kecepatan yang asyik". Salam kelambatan.

 * Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.