5 FEBRUARI — Masih ingatkah kita dengan pepatah Melayu berikut "Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya? Pastinya, pepatah berkenaan cukup sinonim dalam kehidupan kita seharian.

Pepatah ini mengajak seseorang untuk sentiasa berhati-hati dalam tutur kata, tingkah laku mahupun niatnya terhadap orang lain. Sebaik-baiknya apabila ingin memberikan pendapat, pandangan ataupun kritikan, ia harus dilakukan secara berpada-pada dan kena pada masa serta tempatnya.

Namun apabila seseorang individu itu terlepas pandang atau cakap, tindakan mereka itu bukan sahaja memberi kesan yang cukup negatif kepada pihak satu lagi bahkan juga menimbulkan perasaan kurang senang, marah dan syak-wasangka yang menebal.

Bagi pihak atau individu yang terkesan dengan kata-kata atau tingkah-laku individu tadi, mereka mungkin boleh melupakan kesalahan yang dilakukan oleh individu yang dimaksudkan tetapi agak sukar untuk melupakan apa-apa yang telah diperkatakan sebelum ini.

Pepatah tersebut cukup relevan dalam pergaulan kita seharian baik di rumah, tempat kerja, hubungan kita dengan majikan dan juga dengan orang yang kita tidak kenali sekalipun.

Gambaran tadi juga membawa kita kepada tindakan kurang bijak oleh seorang menteri Kabinet yang baru-baru ini bersikap emosional dan terlepas cakap sehingga beliau lupa bahawa segala kata-katanya sedang diperhalusi oleh jutaan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Kita faham akan kekecewaan yang dihadapi oleh Pak Menteri berkenaan mengenai tindakan tidak bertanggungjawab segelintir peniaga yang enggan menurunkan harga barangan biarpun harga minyak sudah menurun sejak akhir-akhir ini.

Kita juga cukup memahami perasaan Pak Menteri yang dilihat ‘prihatin’ kerana kenaikan harga barangan yang berterusan di pasaran di sebalik saranan kerajaan untuk menurunkannya, amat membebankan para pengguna.

Akan tetapi, tindakan gelojoh Pak Menteri untuk terus menyalahkan kenaikan harga barangan kepada satu pihak semata-mata nampaknya kurang bijak dan bersifat oportunis.

Tidak bijak kerana bukan satu pihak tertentu yang mengakibatkan kenaikan harga barangan di pasaran. Lebih-lebih lagi, ada faktor-faktor lain seperti cuaca, kos air dan elektrik juga memainkan peranan dalam kenaikan harga barangan.

Penulis tidak berminat untuk menuding jari terhadap Pak Menteri dalam isu ini tetapi sebagai seorang menteri Kabinet yakni juga seorang figura awam, beliau sepatutnya lebih peka dengan keadaan semasa selain memberikan teladan yang baik kepada rakyat.

Jangan disebabkan anda terikut-ikut dengan suhu politik semasa yang nampaknya lebih terjurus kepada isu berbaur perkauman, beliau terikut-ikut sama. Pada hemat penulis, ini tidak perlu kerana sebagai seorang Menteri Kabinet, andalah "role-model" kepada orang lain.

Apa tidaknya, segala tingkah-laku dan percakapan di khalayak diperhatikan. Sebagai seorang menteri dalam Kabinet, pemimpin yang dimaksudkan itu sepatutnya berjuang untuk semua pihak, bukannya sesuatu pihak sahaja. Ke manakah perginya semangat 1Malaysia yang dilaung-laungkan selama ini?

Apakah Pak Menteri itu sudah lupa bahawa kerana kekuatan dan semangat perpaduan ketiga-tiga kaum terbesar inilah yang menjadi tembok utama kepada keharmonian negara selama ini?

Barangkali apa yang diperkatakan oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai komen Pak Menteri ada asasnya. Menurut Tun M, kenaikan harga barangan tidak ada kena-mengena dengan mana-mana kaum dan Pak Menteri itu seharusnya mencari punca sebenar kenaikan harga barangan.

Hujah Tun M memang ada logiknya. Namun apa yang cukup membingungkan penulis malah juga majoriti rakyat di negara ini ialah mengapakah masih wujud lagi budaya suka menuding jari terhadap orang lain? Seharusnya dalam hal ini, pihak berkuasa berusaha mencari jalan penyelesaian konkrit untuk mengatasi kenaikan harga barangan yang dimaksudkan secara tuntas dan bukannya membiarkan masalah itu berlarutan.

Umum mengetahui, usaha mencari jalan penyelesaian untuk isu ini bukannya mudah kerana ia membabitkan pelbagai pihak. Ini bermakna selagi tidak ada kemahuan dan kesungguhan daripada pihak berwajib, kerjasama daripada rakyat dan komitmen dari pihak peniaga, maka usaha itu akan tinggal usaha semata-mata.

Perbuatan menuding jari hanya menyerlahkan kelemahan sesuatu pihak yang dilihat tidak mampu menyelesaikan masalah yang dimaksudkan. Sampai bila kita mahu menuding jari terhadap pihak lain atas kelemahan yang berlaku? Apakah dengan menuding jari, masalah kenaikan harga barangan akan hilang sekelip mata?

Para pengguna seharusnya memulaukan semua peniaga yang menaikkan harga barangan tanpa mengira siapa mereka. Biarlah pengguna yang memutuskannya dan biarlah mereka menggunakan kuasa mereka sebagai pengguna untuk menghukum para peniaga yang menaikkan barangan secara sewenang-wenangnya.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada PDRM khususnya Ketua Polis Negara yang bertindak pantas untuk menjernihkan situasi berkenaan rentetan daripada komen yang kurang sesuai oleh Pak Menteri itu.

Apapun, episod ini mengajar kita semua tanpa mengira individu mahupun latar belakang agar lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kata-kata di khalayak. Ada baiknya pepatah "Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya" dihayati kembali.

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan Malay Mail Online.