JANUARI 18 — Zaman sekarang zaman K­-pop. Industri muzik dan fesyen yang datang dari Korea Selatan ini bukan sahaja menenggelamkan kehebatan artis-artis kita, malah mampu bersaing dengan industri muzik dan fesyen dari Hollywood.

Apabila kecoh isu para gadis Melayu Islam yang bertudung dicium dan dipeluk oleh kumpulan muzik B1A4 baru baru ini, sehingga jabatan agama turut menjalankan kerja mereka dengan mengambil tindakan sehinggalah ke saat ini, isunya semakin meleret leret tidak ada kesudahannya, nyatalah memang kesan K­pop tiada siapa boleh menafikan kehadiran mereka di persada seni tanahair kita.

Saya bukan peminat K-­pop, malah saya geli melihat para artis lelaki mereka yang jambu jambu belaka dan para artis perempuan mereka yang seperti anak patung. Pun anak anak saya adalah peminat K­-pop. Ini zaman mereka, jadi saya biarkanlah mereka minat apa yang mereka suka.

“Running Man” antara program dari Korea yang mereka suka, bukan sahaja di negara kita, bahkan di seluruh dunia juga. Nyatalah industri hiburan, fesyen dan muzik berjaya memberikan keuntungan kepada negara mereka.

Advertisement

Saya mula perasan muzik K­-pop bila lagu “Nobody” nyanyian kumpulan Wonder Girls meletup di persada muzik dunia hatta di negara kita ini. Itu pada awal tahun 2010 dulu.

Saya bukan peminat kebanyakan produk atau genre muzik yang datang dari Korea. Saya lebih suka muzik J­pop. Saya rasa muzik mereka lebih menarik dari K­pop. K­pop bagi saya terlalu plastik dan tidak berjiwa langsung. Budak-budak yang baru nak belajar hidup sukalah sebab otak mereka ini baru nak berkembang.

Budak-budak yang otak mereka baru nak berkembang ini bukannya faham apapun tentang muzik dan genrenya, yang mereka suka tatap adalah wajah yang kacak dan lawa, fesyen yang mencengkam dan menarik jiwa dan gossip artis pujaan mereka. Mereka ini naif dalam serba serbi.

Advertisement

Kalau seperti Kim Kwang­seok, folk rock singer songwriter yang mati bunuh diri pada tahun 1996 itu saya sukalah. Atau band rock trio lagenda mereka, Sanulrim yang ditubuhkan pada tahun 1977 yang berkonsepkan progresif rock dan psychedelic.

Atau juga Han Dae­soo, penyanyi folk lagenda mereka yang popular pada tahun 70an dengan lagu Give me Some Water. Lagu lagu penyanyi folk ini penuh dengan elemen punk dalam lirik lagu, mesej mahupun muziknya.

Kalau boleh saya nak anak saya dengar dan membesar dengan lagu dan muzik Pink Floyd, King Crimson, Led Zeppelin, Nick Drake, Bob Dylan, Cat Steven dan muzik-muzik yang saya sukalah.

Sebab bagi saya, apa yang saya dengar adalah yang terbaik. Mereka punya faham pula lain dari kita. Kita ini dikatanya ketinggalan zaman, jadi saya tak boleh nak kata apalah.

Apapun, walau dalam apa situasipun, bagi saya memahami adalah lebih baik dari kita cepat menghukum. Ini dunia dan faham mereka.

Saya pernah membaca tentang kisah Brian May, gitaris kumpulan muzik Queen di majalah VOX pada awal tahun 90an dulu. Beliau pun tidak faham akan minat anaknya yang berumur lima tahun akan muzik rap dan hip­hop dan M.C Hammer atau Vanilla Ice. Yang pasti anaknya bukan peminat Queen.

Biasanya negara kita mudah mengikut apa yang sudah popular dari barat dan timur, saya tunggu juga bila M­pop akan menjadi seperti K­pop. Lagu style Indon popular di sini, komposer kita pun kelam kabut bikin lagu macam lagu Indon, tapi tak berapa jadilah.

Bila K­pop meletup di sini, tak ada pula kita nak mengikut langkah mereka. Ya lah, mana tahu mungkin muzik dan industri hiburan kita berjaya memberi keuntungan kepada negara, seperti mana yang mereka lakukan.

Saya belek-belek juga, rupanya memang tak ada M­-pop, kalau adapun, level mungkin tak sampailah. Mereka kalau muka jambu, suara pun boleh tahan walau taklah sedap sangat. Kita, biasanya kalau yang jambu suara memang tak sedaplah. Dah lah suara tak sedap, lagu pun tak sedap. Komposer pula asyik muka dan nama yang itu sahaja, jadi pi mai tang tu sahajalah.

Penyanyi pula kita masih tidak punya penyanyi yang betul-betul bagus seperti penyanyi lama kita. Kebanyakan penyanyi baru kita tidak ada identiti, suara setakat boleh menyanyi sahaja. Industri hiburan kita juga seakan masih memuja yang lama seperti mana program Kilauan Emas dan Gegar Vaganza yang berjaya menarik minat masyarakat untuk mengikuti rancangan yang berlangsung tersebut.

Masyarakat suka sebab penyanyi lama nyanyi lagu-lagu lama. Lagu lama dari segi melodinya memang sedap berbanding lagu baru.

Saya tidak tahu sampai bila muzik K­pop ini dapat bertahan. Apabila isu gadis bertudung dicium dan dipeluk artis K-­pop, bertambah lagilah tahap populariti K­pop dan kumpulan yang terlibat, B1A4. Saya yang tak pernah tahu tentang band inipun dah mula kenal dan mula dengar lagu lagu mereka, hanya untuk ambil tahu tentang tahap bagusnya lagu mereka ini.

Siapa tahu mungkin tiba-tiba suatu hari, entah angin K-­pop mana yang masuk, saya sudah berubah dan mula mendengar lagu K-­pop. Bukan setakat lagu, malah dengan fesyennya sekali. Nasihat saya pada kawan-kawan yang dengar Pink Floyd dan yang sewaktu dengannya, “Lupakanlah muzik yang ketinggalan itu, kita sedang berada di abad ke 21!”

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.