15 DISEMBER — Sedar tak sedar, sudah hampir genap empat tahun sejak isu mengenai novel Interlok: Edisi Murid (2010) menimbulkan tsunami besar di Malaysia.

Pada kesempatan ini, saya mahu mengimbas mengenai dua individu yang berhenti bercakap dengan saya dalam tempoh beberapa bulan sahaja selepas kontroversi teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) itu timbul.

Apa yang menarik, sebelum memutuskan silaturahim, mereka berdua mencuba sedaya-upaya menghasut saya dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) supaya membenci novel berkenaan dan penulisnya, Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain.

Pada 15 Disember 2010, Datuk T. Murugiah selaku Pengerusi Biro Pengaduan Am waktu itu mengumumkan bahawa novel Interlok ditarik balik daripada dijadikan teks Komsas bagi pelajar Tingkatan 5 di sekolah-sekolah seluruh Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Advertisement

Katanya, keputusan itu dibuat kerana novel edisi murid itu “didakwa mengandungi unsur negatif serta boleh menyinggung perasaan kaum Melayu dan India” (Sinar Harian, 21 Disember 2010).

Individu yang mula-mula sekali menghubungi saya untuk mengadu dan menghasut supaya Kavyan mengeluarkan kenyataan rasmi menolak novel Interlok ialah Raja Rajeswari Seetha Raman.

Dia merupakan penulis yang saya bimbing secara peribadi pada akhir tahun 1990-an sehingga akhirnya berjaya menjadi penulis sajak Islamik yang agak dikenali sekelompok khalayak pembaca arus perdana.

Advertisement

Pada 20 Disember 2010, pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur itu menelefon saya dan menceritakan bahawa dia baru selesai membelek-belek novel berkenaan milik anaknya yang bakal ke Tingkatan Lima pada tahun seterusnya.

Saya pada waktu itu belum sempat membaca novel tersebut tetapi Rajeswari mengesahkan bahawa kandungan Interlok memang “menghina kaum India dan agama Hindu” serta “tidak sesuai dijadikan teks Komsas”.

Sebelum dan selepas topeng dibuka

Keesokan hari, bekas guru itu menelefon saya semula dan bercerita hampir sejam memandangkan dia sudah habis membaca novel tersebut sepenuhnya. Katanya, Interlok memang tidak patut dijadikan teks untuk bacaan pelajar sekolah.

Bermula dari situlah saya yang tidak pernah membaca Interlok akhirnya mengkaji edisi 1996, 2003, 2005 dan 2010 secara mendalam supaya boleh menulis makalah berhubung isu dan kontroversi novel berkenaan.

Pada masa sama, Rajeswari bukanlah seorang individu yang boleh dipercayai. Pada tahun 2003, semasa Kavyan menganjurkan acara Baca Cerpen Kavyan, wanita itu bersekongkol dengan kumpulan tertentu untuk menggagalkan usaha mencatat nama dalam The Malaysia Book of Records; sekali gus cuba merosakkan imej Kavyan.

Dorongan hati supaya berwaspada dengan sikapnya yang tiba-tiba menjadi begitu mesra dan peramah ternyata tepat sekali. Bermula 14 Januari 2011, Rajeswari bertukar menjadi penyokong tegar yang berjuang mahu mengekalkan Interlok sebagai teks Komsas!

Tiba-tiba dia mendapat hidayah dan menegaskan bahawa satu istilah sensitif bagi kaum India dalam novel itu “not meant to humiliate or degrade anyone” dan “you have to look at the period in which the story takes place; you cannot analyse it according to the present situation” (New Sunday Times, 23 Januari 2011).

“Pengarang tidak menghina kaum India kerana watak Maniam dijulang beberapa kali dengan menyebutnya sebagai baik. Interlok juga menampilkan keindahan budi dan keikhlasan watak berkenaan,” kata Rajeswari (Harian Metro, 15 Januari 2011).

Mujurlah Kavyan tidak termakan hasutannya dalam isu novel Interlok kerana ternyata dia menjadi talam dua muka dan ular lidah bercabang. Mujurlah pengalaman mengajar kami supaya berwaspada dan tidak masuk ke dalam jerat yang dipasang penuh licik.

Apabila konspirasi jahatnya didedahkan menerusi sebuah makalah di blog saya, Rajeswari segera mengirimkan mesej ringkas (SMS) pada 23 Februari 2011. Berikut saya paparkan petikan komunikasi kami selepas membetulkan kesalahan bahasa dalam SMS daripadanya.

“Saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap awak jika awak terus menabur fitnah atau menjejaskan imej saya dan AJK Pena (Persatuan Penulis Nasional Malaysia). Kenyataan saya yang rasmi sudah tersiar dalam Berita Harian dan New Sunday Times. Itu yang betul dan rasmi. Jangan menabur fitnah,” katanya.

Usah cemarkan nama Cikgu Saleeh dan Pena

SMS berbentuk hasutan diterima daripada dua penulis Bukan Melayu.
SMS berbentuk hasutan diterima daripada dua penulis Bukan Melayu.

Saya membalas dengan tenang: “Jangan risau. Semua SMS dan rakaman perbualan telefon ada dalam simpanan. Orang tak boleh fitnah anda atau putar-belit kata-kata anda.”

Pada waktu itulah Rajeswari membuat pengakuan mengenai tujuan sebenar dia menghubungi saya setiap hari sejak 20 Disember 2010. Katanya: “SMS awak pun saya telah panjangkan kepada semua AJK Pena dari awal. Ada bukti.”

“Ya, terima kasih. Memang sejak awal saya tahu SMS saya sedang dikumpul untuk diedarkan. Sebab itulah saya sengaja letak nama saya di hujung SMS sejak 20 Disember 2010,” saya memaklumkan.

Rajeswari ternyata terkejut kerana konspirasi jahatnya terbongkar dan dibongkarkan pula olehnya sendiri. Langkah terakhirnya adalah “Kita akan jumpa di mahkamah” tetapi sehingga kini, belum ada sebarang berita mengenainya.

“Dari awal saya menyokong Presiden Pena (Saleeh Rahamad) dan bukannya awak dan Kavyan,” dia menegaskan.

Rajeswari pernah berkomplot dengan satu kumpulan tertentu bagi menggagalkan Baca Cerpen Kavyan pada 2003. Kini dia memberikan gambaran seolah-olah Pena memintanya menjadi boneka dalam konspirasi membinasakan Kavyan.

Anehnya, Presiden Pena yang saya panggil sebagai “Cikgu Saleeh” ternyata tidak tahu apa-apa mengenai konspirasi itu. Saya amat yakin dan pasti bahawa semua itu sekadar khalayan dan imaginasi Rajeswari; kecuali dapat dibuktikan sebaliknya.

Di sisi yang lain pula, saya turut menerima sejumlah SMS daripada seorang lagi penulis Bukan Melayu yang disegani dan dikenali ramai. Dia pula melakukan hasutan mengenai Rajeswari dan Saleeh!

“Berhati-hatilah Uthaya lepas ni dengan Rajeswari. Sebelah (dengan Uthaya) lain, sebelah lagi (dengan Saleeh) lain,” katanya dalam SMS yang turut melabel Saleeh sebagai “cetek ilmu”.

“Kata-katanya seperti anjing yang menyalak!”

Menerusi SMS bertarikh 19 Januari 2011, pensyarah universiti itu mengaku “sangat geram dengan orang-orang bodoh ini” yang disifatkannya “tak habis-habis otak sempit, fikiran dangkal dan perangai pelik mereka.”

Dia menceritakan bahawa “berkali-kali kumpulan Saleeh datang pada saya memberitahu saya, ‘ni semua kerja Uthaya.’ … Inilah cara mereka berhujah, apabila ada kebenaran, mereka alih pula ke lain.”

Kemudian, penulis berdarah Siam itu mengirimkan satu SMS panjang pada 24 Januari 2011. Tentu sahaja kiriman itu bukan secara spontan tetapi telah difikirkan, dirancang dan dikarang secara teliti dan berhati-hati.

“Uthaya, Interlok punyai hikmah yang besar rupa-rupanya. Ia mendedahkan banyak tembelang yang terselindung selama ini. (1) Royalti besar. Patutlah semua melobi karya/buku jadi teks Komsas.

“(2) Kaedah pemilihan yang haprak. (3) Berkemungkinan wujudnya amalan rasuah sebab karya yang tak penuhi kriteria terpilih. (4) Idealisme dan kemurnian pendidikan anak bangsa diperlekeh,” kata sebahagian SMS itu.

Pengirim turut menyambung begini mengenai Rajeswari: “(5) Tiba-tiba sahaja sahabat awak tu mengakui dia pengkaji kesusasteraan Melayu. Apa yang telah dikaji? (6) Banyaknya rakyat Malaysia yang suka bercakap, tapi tak tau apa yang dia cakapkan.”

Penulis novel Interlok, Abdullah Hussain, juga tidak terlepas daripada kutukan: “(7) Apalah bongok sasterawan tanah airku. Rupa-rupanya cakap tak serupa bikin.”

Entah mengapa dia begitu membenci Saleeh dan Pena yang mahu Interlok dikekalkan sebagai teks Komsas. Bagi saya, tidak salah jika Pena, Gapena, Kalam dan pelbagai NGO Melayu mahu Interlok dikekalkan sebagai teks Komsas.

Itu hak mereka dan biarlah mereka berhujah dengan fakta. Sebagaimana Kavyan berhujah dengan fakta menerusi makalah dan kenyataan media.

Akan tetapi, penulis yang berasal dari Kelantan ini ternyata membenci Saleeh. Katanya, “Dia tak ubah macam orang gila. Anggaplah kata-katanya seperti anjing yang menyalak! Si Saleeh amat pembenci. Sekarang saya semakin kenal dia, nampak dewasa tapi tak matang, tunjuk bijak tapi haprak.”

Cubaan menghasut editor majalah

Kontroversi novel Interlok pada 2011 mendedahkan wajah sebenar beberapa penulis.
Kontroversi novel Interlok pada 2011 mendedahkan wajah sebenar beberapa penulis.

Tentu sahaja segala kata-katanya agak memeranjatkan kerana dia bukan calang-calang penulis. Malah, dia dicalonkan oleh saya sendiri bagi Anugerah Sastera Negara yang membawakan gelaran Sasterawan Negara.

Pada Februari 2011, kami berdua sama-sama dilantik oleh Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin menganggotai panel khas yang ditugaskan membuat pindaan kepada novel Interlok yang mahu dikekalkannya sebagai teks Komsas.

Si penulis tersohor yang sedang saya ceritakan ini mengemukakan cadangan bertulis supaya 20 halaman dalam novel edisi murid itu dibuang begitu sahaja atas alasan “novel ini terlalu panjang”.

Dia juga menyifatkan Abdullah Hussain sebagai “pengarang tak pandai” berikutan pelbagai kesalahan fakta dalam novel tersebut.

Kemudian, apabila Kementerian Pendidikan membuat keputusan menarik balik penggunaan novel Interlok sebagai teks Komsas, penulis Bukan Melayu itu menjaja salinan “106 saranan pemurnian Interlok” yang disediakan oleh Kavyan khusus bagi novel edisi murid.

Dia menunjukkannya kepada editor beberapa majalah sebagai “bahan bukti” bahawa Kavyan ada “agenda tertentu”. Dia menyebarkan fitnah dan pembohongan mengenai saya dan Kavyan dengan harapan, karya-karya kami akan diboikot oleh semua majalah terbabit.

Agak menarik kerana dia tidak pula menunjukkan kertas cadangannya supaya 20 halaman dalam novel Interlok dibuang atas alasan “novel ini terlalu panjang”. Dia juga tidak menceritakan kandungan pelbagai SMS yang dikirimnya kepada saya.

Pada masa sama, seorang lagi penulis yang pernah menang anugerah sastera peringkat Asia Tenggara menghubungi editor beberapa majalah dan meminta karya ahli Kavyan diboikot kerana kononnya “ada unsur penyebaran agama Hindu” – tetapi itu cerita untuk makalah lain.

Buat sementara waktu, jika ada peminat, pembaca, pelajar dan pengkaji sastera yang tertanya-tanya mengapa Rajeswari dan Dr Lim Swee Tin tidak lagi mesra dengan saya selepas kontroversi novel Interlok, ketahuilah bahawa inilah yang sebenarnya berlaku.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online