3 NOVEMBER ― Semasa forum bertajuk “Perlukah Ada Lagi Konsep Penulis Melayu dan Bukan Melayu dalam Kesusasteraan Kebangsaan Masa Kini?” anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 29 September 2014, isu berkaitan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) turut ditimbulkan Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan.

“Oleh kerana kita mengadakan sistem pendidikan vernakular, seperti SJKC dan SJKT, ini melambatkan proses kita untuk menghapuskan dalam minda kita bahawa kita adalah satu bangsa yang menggunakan bahasa yang satu dan sistem pendidikan yang sama,” katanya pada forum yang turut saya hadiri.

Akhbar Mingguan Malaysia (5 Oktober 2014) pula melaporkan cadangan Timbalan Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Utara, Mohamad Azli Mohemed Saad supaya Perhimpunan Agung Umno pada November 2014 “membincangkan dengan teliti sama ada SJKC perlu diterus atau dimansuhkan.”

Seperti bulan jatuh ke riba, akhbar Utusan Malaysia (25 Oktober 2014) memetik “pendedahan” pensyarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Teo Kok Seong, kononnya berdasarkan hasil kajian dalam kalangan 14,000 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di 79 kem seluruh negara pada 2010, sejumlah 604 pelatih kaum Cina dan India langsung tidak boleh bercakap Bahasa Malaysia.

Advertisement

“Nampaknya puak 604 orang ini jauh lebih buruk daripada orang Bangladesh yang baru tiga bulan sudah boleh berbahasa Melayu,” sindir Ku Seman Ku Hussian di Mingguan Malaysia (26 Oktober 2014).

Tanpa berniat menafikan atau mempersoalkan kesahihan “fakta” yang dikemukakan Kok Seong, suka saya menegaskan bahawa pasti ada beberapa perkara yang tidak dilaporkan media arus perdana.

Perkara paling utama adalah bahawa pelatih kaum Cina yang dinyatakan itu tidak pernah mendengar nama, tidak pernah berpeluang membaca karya, serta tidak pernah berpeluang bertemu Dr Lim Swee Tin dan isterinya, Selina SF Lee.

Advertisement

Sekadar contoh, semasa suatu acara khas bagi khalayak SJKC di Kulai Jaya, Johor pada 12 Mac 2011, hadirin begitu kagum, bangga dan bersemangat mendengar ceramah mereka berdua yang fasih serta menguasai Bahasa Malaysia; lebih baik daripada kebanyakan “penutur asli bahasa Melayu”.

Kalaulah kelompok pelatih kaum Cina itu yang kononnya langsung tidak tahu bercakap Bahasa Malaysia telah berpeluang membaca karya-karya Swee Tin dan Chai Loon Guan (atau berpeluang bertemu mereka), pasti perkara yang sebaliknya berlaku pada hasil kajian PLKN.

Pengalaman Kavyan di sekolah vernakular

Mungkin juga kelompok pelatih PLKN terbabit hanya berpeluang membaca (atau dipaksa membaca) segala “sampah-sarap” yang ditulis oleh Ridhuan Tee Abdullah di Utusan Malaysia dan Sinar Harian.

Lelaki “Melayu celup” itu seolah-olah memang mempunyai agenda jahat serta “dibela” puak etnosentrik tertentu, khusus untuk melaga-lagakan orang Melayu dan Cina, serta membuatkan orang Cina membenci Bahasa Malaysia.

Dalam isu pelatih PLKN, satu lagi perkara yang saya yakini adalah bahawa kelompok tersebut tidak membabitkan walau seorang pun bekas pelajar Sekolah Menengah Tsun Jin, Kuala Lumpur.

Anugerah Kesusasteraan Tsun Jin sudah masuk tahun ketujuh dan kejayaan ini sendiri menjadi bukti nyata bahawa rata-rata pelajar dan bekas pelajar SM Tsun Jin tidak menghadapi masalah menguasai Bahasa Malaysia; secara lisan mahupun bertulis.

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang diasaskan pada 1999 ada pengalaman berterusan mengendalikan aktiviti bahasa dan sastera di sekolah kebangsaan (SK), SJKT, SJKC dan sekolah menengah aliran Cina selama lebih sepuluh tahun.

Seperti yang saya nyatakan dalam sebuah makalah bertajuk “Ultrakiasu bahasa Melayu” (The Malaysian Insider, 21 Oktober 2014), hasil pengalaman dan penelitian Kavyan, ramai murid dan guru di sekolah vernakular mempunyai minat serta penguasaan Bahasa Malaysia yang sangat menakjubkan.

Saya menjadi penilai Anugerah Kesusasteraan Tsun Jin sejak beberapa tahun lalu dan melihat sendiri karya kreatif (cerpen) Bahasa Malaysia yang dihasilkan pelajar sekolah Cina.

Dalam makalah bertajuk “Alahai, penulis bukan Melayu!” (Malay Mail Online, 7 Oktober 2014), saya menjelaskan bahawa ramai murid SJKC dan SJKT memiliki penguasaan Bahasa Malaysia lebih baik berbanding “penutur asli bahasa Melayu” di SK.

Nampaknya seperti ada agenda terancang untuk melakukan serangan bertubi-tubi serta mencari kelemahan SJKC menjelang Perhimpunan Agung Umno. Kita hanya perlu meneliti laporan media mengenai isu SJKC sejak belakangan ini untuk memahami perancangan licik yang sedang dilakukan.

SJKC pemangkin jurang antara kaum?

Agak menarik pula untuk diperhatikan bahawa hanya SJKC (rendah dan menengah) yang menjadi sasaran politikus, juak-juak Umno serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berciri etnosentrik dan rasis.

“Berbanding SJKC, semua sedar SJKT tidak dicemari politik kebencian dan perkauman, maka sudah tentu ia bukan isu. Setakat ini, masyarakat dan parti politik India tidak membenarkan SJKT diperalatkan,” kata Awang Selamat dalam ruangan “Bisik-bisik” (Mingguan Malaysia, 12 Oktober 2014).

Kenyataan ini menerusi akhbar arus perdana yang menjadi lidah rasmi Umno membuktikan dua perkara yang disampaikan secara amat tersirat.

Pertama, SJKC dituduh mengamalkan politik kebencian dan perkauman, serta lembaga pengelola dan pihak pentadbiran SJKC membenarkan sekolah berkenaan diperalatkan pembangkang.

Kedua, sebagaimana G. Palanivel adalah presiden MIC yang lembik dan tidak berani bersuara, begitulah juga pengurusan SJKT tidak ada tulang belakang dan hanya berperanan melahirkan generasi muda “pak turut” yang akur kepada ketuanan Umno.

“Selama ini pun banyak pihak sedar bahawa SJKC menjadi pemangkin melebarkan jurang kaum khususnya antara Cina dan kaum teras iaitu Melayu,” selar Ku Seman pula (Mingguan Malaysia, 26 Oktober 2014) sambil meniup api perkauman.

Pendedahan “maha besar” dan “maha penting” yang dilakukan Kok Seong ternyata membuka peluang kepada Awang untuk masuk campur bagi meneruskan agenda perkauman terancang mengikut percaturan politik yang disusun kemas oleh dalang di balik tabir.

Awang menyifatkan Kok Seong sebagai seorang tokoh akademik yang “komited mahu melihat pembaharuan dalam sistem pendidikan negara dengan berasaskan sekolah satu aliran.”

Motif utama segala percaturan politik ini adalah menghapuskan sekolah vernakular. Tanyalah Ridhuan Tee, Ibrahim Ali, Zulkifli Noordin, Perkasa dan ISMA. Mereka akan mengakuinya.

Permainan politik kotor, licik dan terancang

Motif lain adalah meneruskan agenda kotor menjadikan bahasa Melayu milik mutlak orang Melayu, manakala orang Bukan Melayu (khususnya Cina dan India) perlu terus dilayan selaku pendatang yang tidak tahu bercakap “bahasa milik kaum teras”.

Selepas isu SJKC dan penguasaan Bahasa Malaysia ditimbulkan secara penuh licik dan terancang, Bernama (27 Oktober 2014) melaporkan Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh menyifatkan pendedahan Kok Seong sebagai “perkara yang serius” kerana terdapat 604 pelajar Bukan Melayu yang tidak boleh bercakap Bahasa Malaysia walaupun lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Maka, kata Idris, Kementerian Pendidikan bakal “mengkaji semula” peranan SJKC. Maknanya, akan dicarilah segala alasan untuk mewajarkan cadangan Mohamad Azli (Mingguan Malaysia, 5 Oktober 2014) supaya Perhimpunan Agung Umno “membincangkan dengan teliti sama ada SJKC perlu diterus atau dimansuhkan”.

Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said menyertai program Memartabatkan Bahasa Malaysia di SJKT Taman Melawati baru-baru ini. ― Picture by Uthaya Sankar
Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said menyertai program Memartabatkan Bahasa Malaysia di SJKT Taman Melawati baru-baru ini. ― Picture by Uthaya Sankar

Permainan politik licik dan manipulatif ini mengingatkan saya kepada drama bersiri House of Cards yang sudah saya tonton musim pertama dan kedua (sementara musim ketiga pula hanya bermula Februari 2015).

Dalam drama politik itu, watak Francis Underwood (lakonan Kevin Spacey) bijak mengatur permainan politik secara licik sehingga “tangan ghaib”nya dalam melakukan manipulasi tidak diketahui atau disedari orang.

Berbalik pada isu SJKC di Malaysia, semasa berucap dalam Perhimpunan Agung Tahunan MCA pada 12 Oktober 2014, pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak ada menyentuh mengenainya.

Najib dilaporkan berkata: “Tolong jangan bimbang tentang sekolah Cina kerana ia sudah dilindungi bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara. Malah ia termaktub dalam Dasar Pendidikan Negara.”

Sambil merujuk “janji ditepati/dicapati” itu, sebuah rencana di Mingguan Malaysia (19 Oktober 2014) pula menyebut tentang “hakikatnya pada hari ini hampir semua murid SJKC didapati kurang fasih berbahasa Melayu.”

Menurut penulis rencana itu lagi: “Hakikatnya yang tidak boleh disembunyikan lagi ialah murid SJKC (mahupun SJKT) masih ramai ketinggalan dalam menguasai mata pelajaran Bahasa Malaysia.”

Campur tangan puak rasis dan etnosentrik

Agenda sebenar yang disusun dan dilaksanakan secara licik semakin jelas apabila dinyatakan lagi dalam rencana berkenaan: “Ada baiknya jika SJKC menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utamanya.”

Untuk rekod, Kavyan dan saya secara peribadi menyokong penuh sebarang usaha meningkatkan penguasaan Bahasa Malaysia dalam kalangan murid SK, SJKT dan SJKC.

Ketika berucap dalam majlis penutupan Festival Bahasa dan Sastera pada 27 September 2012, Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan cadangan kerajaan melaksanakan kurikulum Bahasa Malaysia yang sama dengan SK untuk murid di SJKC dan SJKT, bermula dengan murid kohort Tahun Empat pada 2014.

Kavyan menerusi kenyataan media bertarikh 28 September 2012 (disiarkan di beberapa portal berita dalam talian) menyokong penuh langkah berkenaan kerana jurang antara ketiga-tiga aliran itu perlu dikurangkan dan cara paling mudah adalah dengan menyamakan standard mata pelajaran Bahasa Malaysia.

Sayangnya, cadangan itu tidak berjaya dilaksanakan kerana khabarnya mendapat tentangan SJKC. Manakala SJKT pula (seperti biasa) tidak berani bersuara dan hanya menjadi pak turut yang setia dan akur pada segala keputusan kerajaan pusat.

Dalam soal kepentingan Bahasa Malaysia, saya bersetuju dengan pandangan Awang (Utusan Malaysia, 14 Oktober 2014) bahawa “keupayaan menguasai dan menggunakan secara tertib bahasa kebangsaan sama sekali tidak akan melunturkan kecintaan seseorang kepada bahasa ibundanya.”

Malangnya, apabila kaum Bukan Melayu turut mencintai bahasa ibunda, pasti ada politikus, NGO, puak ultrakiasu, fanatik, rasis dan etnosentrik “bawah tempurung” yang membuat kenyataan melampau kononnya mereka (Bukan Melayu) tidak mencintai, kurang menggunakan dan belum menguasai bahasa kebangsaan.

Mujurlah semangat, perpaduan, kecintaan, maruah dan jati diri pihak yang mempertahankan SJKC masih kental. Mereka tetap tidak tunduk pada tekanan, hasutan dan ugutan pihak tertentu.

Kalau tidak, apabila sekolah aliran vernakular dihapuskan secara penuh licik dan terancang, para “pejuang dan pencinta” SJKT pula akan hanya terlopong seketika; sebelum kembali menjadi pak turut yang akur dan setia kepada pihak tertentu yang menzalimi mereka secara berterusan.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.