OKTOBER 13 — Benarkah Malaysian Airlines (MAS) bakal mendapat seorang Ketua Pegawai Eksekutif baharu dari negara asing seperti yang dilaporkan dalam sebuah portal internet minggu lalu?

Biarpun berita berkenaan telah dinafikan oleh Khanazah Nasional yang menyifatkan khabar angin itu sebagai sesuatu yang spekulatif, harapannya adalah ianya adalah tidak benar.

Ini kerana, banyak ketikanya spekulasi yang pada awalnya dikatakan tidak berasas akhirnya menjadi kenyataan. Dalam konteks ini, bukanlah niat atau tujuannya penulis untuk mempertikaikan pelan pemulihan MAS khasnya dalam soal pemilihan Ketua Pegawai Eksekutifnya yang baharu.

Apabila berita mengenai calon asing dikhabarkan akan menerajui MAS tersebar di Internet, penulis seperti juga Rakyat Malaysia yang lain merasakan langkah tersebut adalah satu jalan keterbelakang dan tidak mencerminkan semangat Malaysia Boleh yang kita laung-laungkan selama ini. Pendek kata, khabar angin itu merimaskan.

Kita sering mendengar daripada pemimpin Negara semua syarikat tempatan perlulah memberi peluang kepada calon-calon tempatan menerajui organisasi mereka. Justeru inilah masa terbaik membuktikan kepada semua bahawa bakat-bakat tempatan juga setanding bahkan lebih berupaya daripada calon-calon asing.Benarkah MAS bakal mendapat seorang Ketua Pegawai Eksekutif baharu dari negara asing? — Reuters pic
Benarkah MAS bakal mendapat seorang Ketua Pegawai Eksekutif baharu dari negara asing? — Reuters pic

Jika benarlah calon asing yang dipilih untuk menerajui MAS Airlines bagi suatu tempoh tertentu, maka langkah tersebut dikhuatiri akan menghantar isyarat salah kepada pemain-pemain industri dan Rakyat.

Apakah Malaysia tidak mempunyai calon-calon tempatan yang berkaliber untuk mengisi kekosongan dalam syarikat penerbangan Negara? Adakah kaliber serta kemampuan rakyat tempatan begitu goyah hingga calon asing yang perlu ditagihkan?

Sejauhmanakah kita percaya dan yakin kepada kemampuan calon-calon tempatan? Ataupun kepercayaan yang diberikan hanya pada permukaan sahaja? Sejarah bakal tercipta jika seorang calon asing dilantik sebagai CEO baharu MAS. Malah, ia adalah sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah syarikat penerbangan Negara seandainya itu yang diputuskan.

Tidak dinafikan calon-calon asing mempunyai kekuatan dan rekod pencapaiannya yang tersendiri. Pastinya, jika mereka dipilih kerana pihak berwajib merasakan mereka adalah yang terbaik dan berupaya menggalas misi memacu kembali MAS Airlines ke zaman kegemilangan semula.

Akan tetapi, pencarian untuk mengisi jawatan CEO MAS bukanlah calang-calang jawatan sebaliknya ia membabitkan soal maruah dan imej Negara. Cuba bayangkan apa yang terlintas dalam fikiran pelancong-pelancong yang menaiki pesawat kita apabila orang asing yang menerajui syarikat terbabit.

Soal kemampuan calon-calon tempatan sebenarnya tidak berbangkit. Lihat sahaja anak-anak tempatan yang menerajui syarikat penerbangan Negara lain seperti Tan Sri Tony Fernandes (AirAsia) dan Ignatius Ong Ming Choy (Firefly). Masing-masing telah mengemudi syarikat penerbangan mereka dengan baik walaupun dipenuhi dengan onak dan duri pada awalnya.

Ada ketikanya, calon-calon tempatan yang berkaliber sebenarnya sudah ada di hadapan mata kita. Cumanya, mereka yang berwajib itu nampaknya terlepas pandang dalam mengenalpasti calon-calon yang dimaksudkan dengan lebih teliti.

Sebagai seorang penumpang yang menggunakan perkhidmatan MAS, penulis sependapat bahawa pemilihan calon yang sesuai adalah amat kritikal kepada kelangsungan MAS untuk tahun-tahun mendatang.

Bagaimanapun, pemilihan seorang calon sesuai tidak akan membawa sebarang makna jika ia tidak disertai dengan pendekatan serta sikap yang betul dalam menangani permasalahan yang melanda MAS selama ini.

Semua sedia maklum tahun 2014 adalah tahun yang cukup buruk buat MAS apabila dua pesawat miliknya terhempas dan ditembak jatuh. Di sebalik berita malang itu, seluruh Rakyat Malaysia mengharapkan satu keputusan yang tepat akan dibuat dalam tempoh terdekat berhubung calon CEO MAS yang baharu.

Bayangkan jika syarikat-syarikat konglomerat Negara dikuasai oleh orang asing selepas ini, bukankah itu sesuatu yang pelik dan janggal? Keadaan ini boleh disamakan dengan sesebuah kelab bola sepak diambil alih oleh pemilik-pemilik asing yang berlaku di England beberapa tahun kebelakangan ini yang telah mengundang kemarahan penyokong.

Natijahnya, sandarkan keyakinan akan kemampuan calon-calon tempatan kita kerana mereka juga memiliki kelebihan mereka yang tersendiri. Hakikatnya, tidak ada jaminan dengan kehadiran calon asing, segala permasalahan MAS akan berakhir.

* Pandangan di atas hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat The Malay Mail Online