MAY 5 — Orang yang gemar mengambil “selfie” mungkin ada masalah psikologi serta memiliki keyakinan diri yang rendah. Mereka juga ketara sanggup melakukan apa sahaja untuk diterima oleh rakan-rakan di laman rangkaian sosial.

Demikianlah antara maklumat yang saya pelajari hasil membaca pelbagai jurnal, makalah dan laporan berkaitan amalan merakamkan foto sendiri menggunakan telefon pintar atau kamera digital yang dipegang dengan tangan.

Salah seorang yang turut dijangkiti demam selfie (atau sering ditulis sebagai #selfie) ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Mungkin kerana tidak ada sesiapa yang sudi merakamkan foto beliau bersama Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, maka Najib terpaksa merakam sendiri foto yang kemudian disebarkan menerusi Facebook dengan catatan “My selfie with President Obama!”

Bagi orang ramai yang turut merakamkan foto seperti ini, harap maklum bahawa istilah sebenar adalah “usie” (sering ditulis #usie). Orang ramai yang suka merakam selfie dan usie juga boleh memanfaatkan beberapa petua dan panduan yang dikongsikan di sini berdasarkan pengalaman dan pembacaan saya.

Malah, beberapa petua sempat saya kongsikan bersama-sama Arlene Tan, Gouri Krishnan dan Tan Kim menerusi slot “Asean Breakfast Call”  di Durian Asean pada 14 April 2014.

Usie bersama Arlene semasa membincangkan topik selfie di radio Durian Asean. – Foto oleh Uthaya Sankar
Usie bersama Arlene semasa membincangkan topik selfie di radio Durian Asean. – Foto oleh Uthaya Sankar

Pertama sekali, selfie dan usie hanya sah apabila anda (atau salah seorang dalam usie) memegang kamera atau telefon bimbit dengan tangan. Kini sudah ada gaya menggunakan kayu khas untuk membolehkan foto dirakam dari jarak lebih jauh.

Untuk mendapatkan hasil selfie lebih baik, rakam foto yang lebih banyak menunjukkan sebelah kiri wajah anda. Hal ini kerana sudah terbukti secara saintifik bahawa wajah manusia lebih kacak (lelaki) dan jelita (wanita) jika dipandang dari sebelah kiri.

Panduan yang diberikan ini mungkin membawa kepada persoalan, “Bukankah wajah kita sama antara kiri dan kanan? Bukankah itu yang kita belajar di sekolah?” Jawapannya adalah “Tidak”.

Tubuh manusia tidak simetrikal (sama antara kiri dan kanan). Saya turut menggunakan foto sendiri (bukan selfie) untuk menjelaskan perkara ini menerusi Facebook pada 29 April 2014.

Foto A adalah wajah sebenar saya yang dirakam pada Ogos 1994 manakala Foto B dan Foto C jika saya sebenarnya simetrikal. Perhatikan mata, telinga, hidung, bibir, dagu, bentuk muka dan sebagainya pada Foto B dan Foto C.

Wajah kita lebih kacak (lelaki) atau jelita (wanita) di sebelah kiri. Maka, semasa merakamkan foto atau selfie, ambillah dari sebelah kiri. Ketahuilah bahawa manusia yang simetrikal pasti kurang kacak/jelita.

Jangan lupa membalikkan imej cermin

Ramai juga yang gemar (malah ketagih!) merakam foto semasa berada di bilik air atau tandas awam. Jika foto dirakam pada imej cermin (bilik mandi atau tandas awam), maka jangan lupa membalikkan (flip) foto itu supaya wajah yang dipaparkan adalah wajah sebenar anda.

Foto-foto ini membuktikan wajah manusia tidak simetrikal. – Foto oleh Uthaya Sankar
Foto-foto ini membuktikan wajah manusia tidak simetrikal. – Foto oleh Uthaya Sankar

Lihat contoh Foto D yang saya paparkan. Begitulah rupa saya sekiranya dilihat pada cermin. Nampak seperti ada sesuatu yang tidak kena pada wajah saya. Apabila dibalikkan (flip) maka akan menjadi Foto A iaitu wajah dan rupa sebenar saya.

Suka saya menasihatkan “selfie-grafer” (termasuk Najib, tentunya) supaya membalikkan imej rakaman pada cermin sebelum disebarkan menerusi Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya.

Kita ambil satu contoh mudah untuk menjelaskan mengapa penting untuk membalikkan selfie yang menunjukkan imej pada cermin. Bayangkan bahawa Najib adalah peminat tegar kelab bola sepak Manchester United (MU).

Bayangkan dia sedang memakai jersi bertulis “MU” semasa merakamkan selfie di hadapan cermin bilik air atau tandas. Imej itu akan menunjukkan Najib memakai jersi bertulis “UM”.

Orang mungkin menyangka Najib mahasiswa atau graduan Universiti Malaya (UM)! Jika dia membalikkan foto berkenaan sebelum disebarkan menerusi laman rangkaian sosial, barulah nampak bahawa Najib memakai jersi MU.

Satu lagi nasihat, panduan dan peringatan penting jika anda ketagih merakam imej diri (selfie) pada cermin. Janganlah terlalu asyik dengan kekacakan atau kejelitaan anda sehingga anda memandang wajah sendiri pada cermin semasa mengambil selfie.

Selfie boleh dirakam di mana-mana. – Foto oleh William Iam
Selfie boleh dirakam di mana-mana. – Foto oleh William Iam

Jangan juga memandang skrin telefon pintar untuk melihat imej yang sedang dirakam. Sebaliknya, tolonglah pandang lubang kamera (telefon pintar) yang kelihatan pada imej di dalam cermin. Dengan cara ini, anda akan mendapat hasil selfie yang lebih semula jadi.

Hakikat yang perlu diakui adalah bahawa selfie bersifat peribadi: andalah model, andalah jurukamera dan anda jugalah koreografer. Ada sesuatu “mesej” yang disampaikan oleh anda secara tidak sedar menerusi setiap selfie yang dirakam.

Hasil pembacaan jurnal dan makalah sains dan psikologi, saya mendapat tahu – serta mengakui – bahawa golongan wanita lebih gemar merakamkan selfie dari sudut tinggi; iaitu dengan memegang telefon pintar agak tinggi melepasi paras kepala.

Khabarnya, hal ini dilakukan secara sedar atau mungkin juga secara tidak sedar untuk menunjukkan serta menonjolkan bahagian dada. Demikian menurut pakar psikologi dalam beberapa jurnal dan makalah yang saya baca.

Beza selfie wanita dan lelaki

Mungkin kita boleh meneliti foto-foto orang di Facebook untuk mengkaji sama ada benar atau tidak pandangan di atas. Khabarnya golongan wanita yang kurang keyakinan diri (maknanya, bukan semua wanita) cuba menarik perhatian orang (khasnya lelaki) dengan cara menonjolkan aset fizikal (buah dada) yang dimilikinya.

Tentulah si wanita tadi masih berpakaian dan bukannya “topless”. Untuk makluman juga, “topless” khusus bagi wanita manakala lelaki yang tidak memakai baju dirujuk sebagai “barechested”.

Golongan lelaki pula khabarnya lebih suka merakam selfie dari sudut bawah; sekitar paras pinggang. Hal ini dilakukan sama ada secara sedar atau tidak sedar untuk menonjolkan bahagian dada, khususnya jika tidak memakai baju serta memiliki fizikal yang mantap.

Selfie memang bersifat peribadi. Tambahan pula ia biasanya dirakam dalam situasi bersendirian. Kalau berdua, bertiga atau berkumpulan, biasanya berakhir dengan usie.

Bagi selfie, memandangkan kita bersendirian (di bilik tidur, bilik mandi atau tandas awam) maka kita ketara – secara psikologi – menjadi lebih berani untuk menunjukkan sisi kita (fizikal dan peribadi) yang kurang diketahui umum.

Sebab itulah juga apabila melihat selfie yang dipaparkan rakan-rakan, ada kalanya kita tertanya-tanya dan hairan kerana tidak menyangka rakan kita ada “sisi lain” yang tidak kita ketahui selama ini.

Memandangkan selfie turut dirakam secara sendiri di ruang peribadi dan tertutup, ada juga orang – khususnya remaja – yang memberanikan diri meminimumkan pakaian pada tubuh.

Mungkin sahaja foto-foto (selfie) itu untuk koleksi peribadi. Mungkin kerana mahu melihat foto diri bagi menambah keyakinan diri dan menghargai tubuh sendiri. Akan tetapi, bayangkan jika telefon itu jatuh ke tangan orang lain!

Selfie dan usie sering menampilkan sisi lain yang kurang diketahui orang. – Foto oleh Uthaya Sankar
Selfie dan usie sering menampilkan sisi lain yang kurang diketahui orang. – Foto oleh Uthaya Sankar

Nasihat yang selalu saya berikan kepada anak-anak buah (remaja) adalah supaya sentiasa berhati-hati jika teringin merakamkan selfie dengan pakaian yang minimum. Tentulah kita tidak boleh mengawasi atau mengawal apa yang dilakukan dalam ruang peribadi (bilik) tetapi mungkin nasihat itu akan membuatkan mereka lebih berhati-hati dan berwaspada.

Dari sudut psikologi, remaja dikatakan sentiasa mengharapkan pujian, perhatian dan “pengesahan” (penerimaan) oleh rakan-rakan sebaya. Maka, tanpa disedari – apatah lagi tanpa pengawasan orang dewasa – mereka mungkin terbabas merakam serta menyiarkan selfie yang kurang sesuai.

Akhir kata, selain daripada berkongsi pelbagai panduan menghasilkan selfie yang menarik, saya turut menggunakan ruang ini untuk menasihatkan orang ramai – kanak-kanak, remaja dan dewasa – supaya tetap berhati-hati dan berwaspada agar tidak menyesali selfie yang dirakam sendiri dan disebarkan sendiri menerusi laman rangkaian sosial.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.