MAC 2 ― Saya kenal seorang otai peminat “hardcore” lagu dan fesyen 60an. Walau sekarang kita sudah berada  di zaman yang serba moden dengan muzik yang entah apa-apa bunyi dan maksudnya, otai ini masih “maintain” dengan imej 60annya.

Kalau kita mengikuti lagak dan watak A.Mahmud dalam kartun lakaran si pelukis/kartunis legenda negara kita, Fatah dalam dalam majalah kartun Gila-Gila di hujung tahun 70an dan awal 80an dulu, otai yang saya kenal ni persis dan karakternya memang sama seperti watak itu.

Masih maintain dengan motor vespa lama, rambut ada jambul di depan, baju, kasut dan seluar kekal dengan imej 60an. Namakan semua artis dan penyanyi 60an, semuanya dalam kepala. Jefrydin, A.Halim, A.Ramlie dan banyak lagi, semuanya dia kenal dan hafal kesemua lagu mereka ini.

70an? Katanya tak minat! 80an? Lagilah...90an? Katanya meleweh sangat!

A.Ramlie ― Artis yang sangat popular dari tahun 60an sampailah ke tahun 80an.
A.Ramlie ― Artis yang sangat popular dari tahun 60an sampailah ke tahun 80an.

Masuk tahun 2000, otai ini tak hairan langsung mendengar muzik hari ini. Semuanya tak sedap pada dia. kalau berjumpa saya di KL Sentral, biasanya saya akan layan permintaan lagu-lagu 60annya seperti Seruling Anak Gembala (Jefrydin), Sengsara, Menanti Dewi atau Pelita (A.Romzie and The Hooks) dan beberapa lagu 60an lagi yang saya masih ingat irama dan senikatanya.

Betapa bahagianya dia mendengar lagu-lagu kegemarannya saya nyanyikan tidaklah dapat digambarkan dengan kata-kata. Seperti katanya, “Tuhan gerakkan saya ke sini untuk merasai nikmat dan rezeki lagu-lagu yang tuan nyanyikan, terima kasih”

Saya mainkan dan nyanyi lagu 60an bukanlah sempurna sangat, tapi disebabkan otai ni memang “die hard fan”, jadi apa saja lagu asal 60an, semuanya indah belaka pada dia.

Saya melihat “otai” ini umurnya sudah menjangkau usia 50an. Nyata dia tidak mampu keluar dari zaman lalunya. Saya hormat dengan prinsipnya dan saya rasa saya dapat memahaminya sebab saya pun lebih kurang itu juga.

Cuma atas prinsip kerjaya sebagai seorang pemuzik, kita perlu professional jadi saya cuba memahami apa saja genre muzik yang menjadi pilihan masyarakat tidak kira apa zaman pun.

Saya pula masih tersangkut di zaman muzik zaman 50an hingga 80an, Inggeris atau Melayu. Sehingga apa saja jenis suara yang keluar dari mulut sang penyanyi hari ini kebanyakannya tidak sedap belaka pada saya. Ditambah dengan kualiti muzik dan rakaman di zaman digital hari ini, memang saya tidak minat.

Kalau muzik Inggeris pula, tidak ada penyanyi folk singer-songwriter yang bijak dan “cool” melainkan Nick Drake dan Dylan. Walau yang lain-lain itu pun hebat belaka, suara Dylan dan Nick Drake memang melekat di jiwa saya walau dari sudut realitinya, suara mereka ni bukannya merdu sangat pun.

Untuk genre muzik-muzik baru yang “rugged” dan ada “attitude”, saya banyak bertanya kepada beberapa orang kawan saya yang “up to date” ilmu dan pengetahuan muzik mereka terutamanya untuk muzik-muzik hari ini.

Muzik 60an punya pengaruhnya yang tersendiri sehingga di zaman itu, P. Ramlee yang sudahpun terkenal dengan siri lagu-lagu ciptaannya yang klasik seperti Getaran Jiwa, Ibu, Merak Kayangan, Tunggu Sekejap antaranya terpaksa mengikut rentak melodi 60an dalam penciptaan lagu.

Sewaktu zaman Pop Yeh Yeh atau A Go Go, sebuah kumpulan muzik itu biasanya akan dianggotai oleh lima orang pemuzik. Pemain dram, gitar irama atau rhytm dan gitar utama atau lead gitar selain bass.

Kalau kita guna gitar irama, alat muzik itu memang khusus untuk “irama” saja. Begitu juga dengan gitar utama, memang sepanjang lagu berlangsung akan disertai dengan solo memanjang yang menyelit-nyelit antara patah lagu dan perkataan.

Kebanyakan mereka akan berkiblatkan Beatles, Hank Marvin dan The Shadows sebagai ikon mereka. Dari segi imej, budaya dan pemikiran, budaya 60an berjaya menarik ramai muda-mudi untuk sama masuk ke dalam musim itu.

Saya lahir di tahun 60an, mula mendengar muzik di awal tahun 70an. Artis 60an yang saya minat seperti A.Ramlie dan Ahmad Jais. Era 70an saya mula mengikuti perkembangan seni dan suara A.Ramlie yang sangat popular dari tahun 60an sampailah ke tahun 80an.

Tidak hairanlah anak-anak dara akan menjerit histeria kerana A. Ramlie, Jefrydin juga bintang-bintang 60an di zaman mereka.

Cuma untuk kesesuaian dengan jiwa, saya lebih ke arah band-band atau kugiran yang tampil dengan ‘attitude’ dan ‘rugged’ seperti A.Romzi and The Hooks, Mike Ibrahim dan The Swallows yang mana Kassim Selamat merupakan penyanyi utamanya waktu itu.

Saya sukakan sound atau bunyi yang “raw” keluar dari “effect” pedal wah Cry Baby atau bunyi “distortion” seperti Fuzz box yang digunakan gitaris Jimi Hendrix di zaman kegemilangannya di tahun 60an dulu.

Hari ini terutamanya jika di bandar-bandar, kalau artis terkenal lalu depan mata pun apa kita nak hairankan? Mereka juga hanyalah manusia biasa, sama seperti kita yang perlu meneruskan kehidupan selagi hidup.

Saya melihat tahun 60an sebagai tahun paling gemerlap mereka yang hidup di zamannya. Segala yang tiba, semuanya cepat masuk dan melekat di jiwa masyarakat kita waktu itu.

Kesannya dari segi industri muzik dan hiburan itu baguslah. Cuma yang sedihnya industri muzik di tahun 50an, 60an dan 70an hanya menguntungkan para towkay yang menjadikan bidang tersebut sebagai satu cabang perniagaan.

Akta hak cipta belum ada lagi waktu itu, para penyanyi dan pelakon dibayar “lump sum”, masa depan memang susah nak cakaplah. Itu sebab “ending” penyanyi-penyanyi 60an yang bertaraf “legenda” kurang menarik dan sangat menyedihkan, terutamanya jika kita melihat perjalanan hidup insan seni sehebat A. Ramlie.

Artis pula dijaga seperti barangan berharga, tak boleh tayang muka di tempat terbuka, walau hakikatnya mereka hidup pun mungkin “kais pagi makan pagi”. Jadi artis dan penyanyi waktu itu tak lebih seperti lilin yang menerangi kehidupan masyarakat. Menyedihkan, namun itulah kenyataannya.

Hidup jangan kuat berangan, sebab kita bukannya hidup di kayangan. Berdirilah di atas lantasan yang lebih realistik sifatnya.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.