29 DIS — Sekiranya anda ada rakan-rakan daripada kalangan kaum Chetti, anda mungkin sudah biasa dengan nama-nama berunsur Hindu seperti Krishna, Moorthy, Subramaniam, Letchumy dan Abhirami iaitu nama-nama dewa-dewi yang masih menjadi pilihan.

Pemilihan nama-nama seperti ini juga membuktikan bahawa walaupun masyarakat Chetti berasimilasi dengan masyarakat Melayu sejak zaman dahulu, mereka tetap mengekalkan beberapa unsur yang menjadi pegangan sejak turun-temurun.

Selain daripada mengekalkan nama-nama berunsur Hindu, masyarakat Chetti juga masih menggunakan nama keluarga (sir name) pada hujung nama. Antara nama keluarga yang terdapat di Kampung Chetti adalah Pillay, Naiker, Padayachi, Mudaliar, Konar dan Kullen.

Saya berpeluang mengenali komuniti unik ini yang tinggal di Kampung Chetti, Gajah Berang, Melaka sejak pertama kali berkunjung ke sana pada tahun 2006. Terkini, Kunjungan Perpaduan Kavyan berlangsung pada 15 Disember 2013, diikuti Solidariti Kampung Chetti pada 29 Disember 2013.

Advertisement

Sekiranya diperhatikan, masyarakat Chetti banyak menerima pengaruh orang Melayu dan Baba Nyonya dari aspek pakaian, makanan dan barang perhiasan. Hal ini menunjukkan bahawa dalam pada mengekalkan budaya yang diwarisi turun-temurun, masyarakat Chetti juga berasimilasi dan menerima banyak pengaruh daripada masyarakat sekeliling sejak dahulu.

Masakan dan juadah masyarakat Chetti ternyata mempunyai kombinasi masakan India, Melayu dan Cina. Namun, terdapat beberapa juadah yang istimewa dan merupakan milik asli serta kebanggaan masyarakat Chetti.

Contohnya adalah nasi kembuli, kuih kayam dan ikan pindang. Air panakan pula sejenis minuman yang diperbuat menggunakan limau, gula melaka dan rempah-ratus. Sekiranya anda berkunjung ke Kampung Chetti, anda mungkin berpeluang menikmati juadah khas ini.

Advertisement

Apa yang menarik dan saya perhatikan sendiri sejak 2006, masyarakat Chetti tidak lokek ilmu. Mereka sentiasa bersedia untuk berkongsi menu serta menunjuk-ajar sesiapa yang berminat mempelajari cara-cara memasak makanan istimewa masyarakat tersebut. Lazimnya, semasa perayaan seperti Ponggal (pesta menuai), demonstrasi memasak diadakan bagi tujuan itu.

Chetti tidak menguasai Bahasa Tamil

Hasil pergaulan saya bersama-sama penduduk Chetti, saya mendapati bahawa sebahagian besar masyarakat ini menggunakan istilah “kami” apabila merujuk kepada kaum Chetti dan kata ganti “mereka” apabila merujuk kepada kaum India/Tamil.

Penggunaan yang spontan ini membuktikan bahawa masyarakat Chetti pada masa kini beranggapan dan berpegang teguh kepada pendirian bahawa masyarakat Chetti bukan sebahagian daripada kaum India.

Sekiranya dirujuk pada catatan sejarah, semasa zaman penjajahan Jepun (1942-45), masyarakat Chetti yang sebahagian daripadanya mempunyai rupa fizikal seperti orang Cina berjaya menyelamatkan diri dengan mengatakan bahawa mereka adalah orang India. Mereka juga menghafaz ayat “Watakushi wa Indo-jin des” yang bermakna “Saya orang India” dalam Bahasa Jepun.

Di Malaysia, kaum India terdiri daripada keturunan Tamil, Malayali, Telugu, Punjabi dan beberapa etnik lain. Bagi masyarakat Chetti — sebagaimana orang Punjabi — mereka tidak menganggap komuniti mereka sebahagian daripada “kaum India”.

Hal ini amat menarik untuk didalami kerana dalam pada berpegang teguh kepada amalan, budaya, kepercayaan dan adat India-Hindu, masyarakat Chetti mahu serta mampu berdiri secara berasingan tanpa disatukan dalam kelompok besar kaum India.

Mungkin ada pihak yang beranggapan tindakan itu sebagai keterlaluan dan tidak wajar. Namun, sekiranya segala keunikan dan kelainan dalam budaya Chetti diteliti dan dihayati, maka akan fahamlah kita mengapa mereka mahu dikategorikan sebagai kelompok minoriti yang berasingan dan tersendiri.

Rata-rata kaum India di Malaysia mampu bertutur Bahasa Tamil walaupun terdiri daripada pelbagai keturunan yang mempunyai bahasa ibunda masing-masing. Misalnya keturunan Malayali dengan Bahasa Malayalam dan keturunan Telugu dengan Bahasa Telugu.

Nama orang Chetti selalu berdasarkan dewa-dewi.
Nama orang Chetti selalu berdasarkan dewa-dewi.

Sembahyang, doa guna Bahasa Malaysia

Hal ini berbeza pula dengan masyarakat Chetti. Walaupun mereka mungkin mempunyai rupa fizikal seperti orang India, mereka tidak tahu bercakap Bahasa Tamil.

Keadaan ini berlaku sejak zaman dahulu apabila pedagang dari Kanchipuram, India berkahwin dengan wanita Melayu tempatan yang beragama Hindu tetapi tidak tahu Bahasa Tamil. Maka, anak-anak dibesarkan dengan Bahasa Melayu — Bahasa Malaysia — sebagai bahasa ibunda.

Lama-kelamaan, seluruh komuniti Chetti tidak fasih Bahasa Tamil. Sebaliknya, mereka cukup fasih berkomunikasi menggunakan Bahasa Malaysia. Hakikat ini pasti akan diakui oleh sesiapa sahaja yang berpeluang untuk berbual dengan mana-mana individu di Kampung Chetti; tua atau pun muda.

Saya percaya Shahrul Nizam Abd Hamid, Rayner Yeo dan Nor Arlene Tan yang menyertai Kunjungan Perpaduan Kavyan, serta Kughan Nadarajah dan Perzeus James yang menyertai Solidariti Kampung Chetti menyedari perkara ini.

Penguasaan Bahasa Malaysia oleh kaum Chetti bukan hanya dalam perbualan seharian. Lebih daripada itu, mereka menjadikan pantun, peribahasa dan gurindam sebagai sebahagian daripada amalan seharian. Bukan setakat itu, upacara sembahyang dan doa juga menggunakan Bahasa Malaysia!

Pengkaji dan penulis dari Singapura, Samuel S Dhoraisingam yang menulis buku “Peranakan Indians of Singapore and Melaka” (2006) merakamkan contoh doa berikut semasa sembahyang khas bagi kaum-keluarga yang sudah meninggal dunia:

“Thatha, pathi, bapa, emak. Saya ini hari ada parchu. Mari datang makan. Apa ada salah minta maaf.”

Sesiapa yang sempat bergaul dengan masyarakat Chetti akan mengetahui bahawa Bahasa Malaysia merupakan bahasa yang digunakan dalam amalan seharian; selain Bahasa Inggeris. Penguasaan Bahasa Tamil pula hampir tiada; kecuali beberapa patah perkataan yang sudah sebati dan digunakan sejak zaman nenek-moyang.

Kosa kata yang unik dan tersendiri

Perkataan-perkataan Bahasa Tamil yang masih digunakan oleh masyarakat Chetti sudah mengalami perubahan sehingga tidak lagi kedengaran seperti istilah asal Bahasa Tamil.

Antaranya adalah “thombolam” daripada istilah “thambolam” yang bermakna “dulang”, “parisom” (parusam; pertunangan), “prasadom” (prasadam), “kaboleh” (kovalei;  mangkuk), “telpah” (talapa; kopiah) dan “aning” (annen; abang). Terdapat juga istilah Bahasa Cina yang diserap masuk, misalnya “bimpo” bagi sapu tangan.

Ada juga istilah-istilah yang mungkin merupakan terjemahan langsung daripada Bahasa Tamil kepada Bahasa Malaysia; atau gabungan kedua-dua bahasa. 

Contohnya adalah “thiam panthal” yang merujuk pada tiang khemah, “anak-anak gilin” (batu giling), “pusing-pusing” (merestu dengan talam), “kepala kuil” (ketua kampung) dan “pelita duduk” (lampu minyak dengan lima penjuru).

Beberapa perkataan Bahasa Tamil juga terus digunakan dalam bentuk asal. Namun, apabila saya bertanya kepada generasi muda mengenai makna asal perkataan-perkataan itu, mereka mengaku tidak tahu bahawa ia merupakan perkataan Bahasa Tamil. Mereka sudah biasa menggunakan perkataan-perkataan itu tanpa mengetahui asal-usulnya.

Antara perkataan yang dimaksudkan adalah “obayam”, “ponggal”, “thevaram”, “pallangoli”, “padayal”, “kutuvilaku”, “sambrani”, “manavarei”, “mangalyum”, “pandaram” dan “pooja”. Perkataan-perkataan ini digunakan sebagai sebahagian daripada kosa kata dalam kalangan masyarakat Chetti tanpa mereka menyedari bahawa ia adalah istilah Bahasa Tamil.

Contoh-contoh ini turut saya nyatakan dalam makalah khas mengenai kaum Chetti bagi majalah Dewan Budaya (Mac 2007). Dhoraisingam juga menyenaraikan beberapa contoh dalam bukunya.

Walaupun masyarakat Chetti menerima Bahasa Malaysia sebagai bahasa ibunda sejak zaman dahulu, sekitar sepuluh tahun lalu, terdapat usaha menggalakkan pembelajaran dan penggunaan Bahasa Tamil.

Zaman tidak mengubah identiti mereka.
Zaman tidak mengubah identiti mereka.

Perjuangan mereka belum selesai

Saya dimaklumkan semasa kunjungan pada Januari 2007 bahawa kelas Bahasa Tamil diadakan pada skala kecil berikutan kesedaran bahawa Bahasa Tamil juga penting untuk membantu masyarakat Chetti mengekalkan serta lebih mendalami budaya sendiri yang berakar umbikan budaya India-Hindu.

Malangnya, kelas Bahasa Tamil itu khabarnya kurang mendapat sambutan daripada kebanyakan penduduk. Golongan tua dan dewasa menghadapi kesukaran mempelajari Bahasa Tamil kerana bahasa itu amat asing bagi mereka. Mereka sudah terbiasa dan selesa menggunakan Bahasa Malaysia dan Inggeris sejak lahir.

Bagi golongan remaja, mereka memberikan alasan bahawa lidah mereka sukar untuk menyebut perkataan Bahasa Tamil. Mereka juga lebih selesa dengan Bahasa Malaysia dan Inggeris.

Apabila saya bertanya, alasan lain yang diberikan adalah bahawa mereka perlu memberikan tumpuan yang lebih terhadap pelajaran sekolah; di mana Bahasa Tamil bukan salah satu daripadanya.

Saya bertanya kepada Sumitra Devi Pillay (24 tahun) baru-baru ini dan beliau mengesahkan bahawa kelas Bahasa Tamil sudah dihentikan beberapa tahun lalu.

Semasa Kunjungan Perpaduan Kavyan, saya bertemu beberapa wanita India/Tamil yang berkahwin dengan lelaki Chetti. Mereka menguasai Bahasa Tamil dan menjadi semacam “jambatan penghubung” antara kaum Chetti dan kaum India di Malaysia.

Apa-apa pun, masyarakat Chetti di Melaka amat unik dan keunikan itu harus terus dipelihara. Untuk itu, Kampung Chetti yang diwartakan sebagai perkampungan warisan perlu terus dilindungi daripada menjadi mangsa kerakusan kuasawan bertopengkan pembangunan.

Orang ramai boleh melayari www.kavyan.blogspot.com untuk mendapatkan maklumat acara Solidariti Kampung Chetti yang bertujuan memelihara warisan kebudayaan negara.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.