1 DIS — Baru-baru ini Bumblefoot atau Ron Bumblefoot Tal, gitaris baru kumpulan rock popular dunia, Guns N Roses telah datang ke negara in untuk program dan bengkel muzik. Kedatangannya ke sini atas undangan dari Kedutaan Amerika.

Saya pun tak kenal siapa Bumblefoot sebelum ini, yang saya kenal Buckethead sebab saya mengikuti perkembangan muzik beliau sejak pertengahan tahun 90an dulu. Buckethead bagi saya antara ‘guitar hero’ dan multi instrumentalis yang paling menonjol di abad ini dengan imej dan permainannya yang menarik dan hebat.

Ceritanya tentang Buckethead ni pada tahun 1996 dulu sewaktu saya mula bekerja di Yamaha Music, seorang customer sering datang ke showroom tempat kerja saya di Jalan Imbi waktu itu,  jadi lama-kelamaan kami pun menjadi kawan. Beliau telah membeli sejumlah barangan dan peralatan muzik dan studio di tempat saya.

Namanya Sham, seorang pemain bass juga sound engineer yang baru pulang dari Amerika, belajar dan bekerja di sana. Beliau banyak bercerita pada saya tentang Buckethead dan Bill Laswell, seorang producer dan pemain bass. Waktu itu Laswell baru saja menerbitkan album kedua Buckethead The Day of the Robot (1996).

Kita lihat seperti Buckethead, walau beliau keluar dengan imej pelik iaitu menjadikan bucket atau baldi KFC yang menutup keseluruhan wajahnya, pun tetap diterima peminat di seluruh dunia. Maknanya kalau kita nak buat benda pelik pun perlulah setanding dengan kehebatan kita sebagai pemain gitar. Kalau tak cukup terer buat orang kutuk dan ketawakan saja.

Sewaktu beliau (Bumblefoot) membuat pertunjukan bersama kumpulan muzik tradisional/folk Dewangga Sakti yang juga kebanyakan ahlinya merupakan kawan saya pada 6 November yang lalu bertempat di Balai Seni Visual (BVSN), saya tidak dapat hadir. Program tersebut mereka namakan “Appetite For Durian”.

Saya sempat menghubungi Zulkifli Ramli, pemain gambus kumpulan Dewangga Sakti yang juga merupakan kawan baik saya bertanyakan tentang kumpulannya juga tentang program tersebut.

Dewangga adalah kumpulan muzik yang dianggotai anak-anak muda yang punya inisiatif untuk meneruskan legasi muzik tradisional Melayu lama 50an dan 60an dengan muzik langgam, joget, inang dan zapin diketengahkan agar muzik lama kita kekal di ingatan seperti lagu-lagu yang tersiar di siaran radio Klasik Nasional.

Terbaru Dewangga sedang dalam proses menerbitkan album baru. Ditanya tidak ada perancangan ke untuk menerbitkan lagu-lagu cover tradisional lama kita, Zul katanya perancangan itu ada tapi buat masa ini mereka mahu menyiapkan dulu album baru mereka.

Dari cerita kawan-kawan yang hadir, program tersebut meriah dan Bumblefoot walaupun namanya dikenali dunia sebagai seorang ‘guitar hero’, nyata sifat rendah diri nya sangat menyenangkan berbanding Amy yang masih merasakan dirinya ‘rockstar’? Rock kena tunjuk macho dan star ke?

Yang kebetulan Amy Search pun turut dijemput sama menyanyikan sebuah lagu lamanya, Pawana dengan iringan gitar Bumblefoot.

Saya pun tak faham sangat tentang istilah rock dan attitude di Malaysia ni, apa yang nak di rockkan saya pun keliru sebenarnya ?

Sebab lagu rock dari band rock kita bukannya rock sangat dari segi melodinya. Lirik pula penuh dengan cintan-cintun, muzik pula iramanya lebih kepada pop dan ballad, cuma bila dimasukkan elemen elektrik gitar yang dirockkan, itu kita kata rock lah, tapi...tak kot?

Sudahlah kebanyakan lagu rock kita tak punya daya kreativiti sangat, sampaikan lagu dan lirik pun terpaksa bergantung kepada khidmat komposer dan penulis lirik ?

Saya bukan peminat Gun N Roses sebenarnya. Masalahnya waktu mereka hit dengan lagu “Sweet Child O’ Mine” (Appetite for Destruction) pada tahun 1987, musim itu demam muzik trash dan pun baru bermula di Kuala Lumpur.

Kita pula lebih ‘cool’ dengan band-band trash dan punk yang kononnya anti-star, apatah lagi jika selalu melepak di Pasar Seni waktu itu yang kebanyakan anak-anak muda semuanya garang-garang belaka dengan baju dan seluar hitam bangga dengan logo band-band trash, metal, punk kesukaan mereka, takkan nak pakai T-shirt Gun N Roses ?

Saya akui album berikut mereka selepas Appetite for Destruction (1987), menyusul pula Lies (1988) dan kemudian Use Your Illusion 1 dan 2 (1991) yang dijual pakej memang menarik dan saya juga memilikinya. Semua kawan-kawan pun mungkin meminati Gun N Roses tapi disebabkan demam trash dan punk masih menggila, jadi bila sebut Gun N Roses, terasa sangat poyo nya band ini. Padahal kebanyakan kita pun layan juga lagu mereka sebenarnya.

Selepas era Slash, antara gitaris hebat yang mengambil tempatnya itulah Buckethead dan terbaru Bumblefoot. Buckethead memang hebat selaku guitar hero yang punya trademark dari segi imej dan permainannya. Begitu juga Bumblefoot. Dulu saya cukup menyampah dengan Slash, tak tau kenapa tapi itu lah..kita waktu itu suka dilihat ‘cool’ dan rebel sebenarnya.

Hari ini saya kembali menilai mereka bertiga (Slash, Buckethead dan Bumblefoot). Secara jujur Slash lah gandingan Axl Rose yang paling menjadi sebenarnya. Chemistry antara mereka berdua memang terbaik, sama seperti Lennon dan McCartney.

Apabila Buckethead dan Bumblefoot menyertai Gun N Roses, ini mengingatkan saya kepada Steve Morse yang menyertai Deep Purple untuk menggantikan Blackmore. Pertamanya kebanyakan lagu dicipta Blackmore, riff dan tone beliau memang secukup rasa untuk Deep Purple.

Steve Morse memang hebat sebagai guitar hero juga terutama bila bersama band beliau Dixie Dregs dan Steve Morse Band, gandingan trio band antara beliau, Jerry Peek (bass) dan Doug Morgan (dram). Kebanyakan gitaris di seluruh dunia kenal Steve Morse, antara gitaris terbaik dunia. Masalahnya tone dan caranya bagi saya tak sesuai untuk muzik Purple.

Kesimpulannya imej, gaya permainan dan tone gitar Slash lebih sesuai untuk muzik Gun N Roses berbanding Bumblefoot atau Buckethead. Cuma masalahnya adalah segi segi attitude, biasalah yang paling menjadi tarikan dalam sebuah band itulah gitaris dan penyanyi. Jadi hari ini yang tinggal hanyalah Axl saja dengan muka-muka baru belaka.

Khabarnya album baru Gun N Roses yang diterbitkan pada tahun 2008, Chinese Democracy yang kos pembikinan dan produksinya menelan belanja sehingga US$13 juta itu menarik. Saya belum ada kesempatan untuk mendengar album tersebut, Axl pula semakin berumur dan sudah tidak seaktif zaman mudanya dulu sewaktu di pentas. Jadi Gun N Roses dulu dan sekarang tidaklah sama. Yang dulu itu history, yang hari ini hanya sekadar melengkapkan musim mereka saja.

* This is the personal opinion of the columnist.