28 JULAI — Dalam sekelip mata Ramy Essam, penyanyi dan singer-songwriter Mesir yang sebelumnya biasa dan bercita-cita menyanyikan lagu-lagu cinta sesuai dengan usia mudanya waktu itu (24 tahun) yang juga seorang pelajar jurusan kejuruteraan yang berbakat dalam muzik dan nyanyi, menjadi popular dan perhatian dunia kerana berperanan penting dalam proses kejatuhan rejim Hosni Mubarak pada tahun 2011 di Dataran Tahrir yang juga dikenali sebagai ‘revolusi Mesir 2011’.

Beliau adalah sebahagian dari rakyat Mesir yang turun melancarkan protes besar-besaran terhadap kerajaan mereka dan yang menjadikannya popular kerana turut menyanyikan lagu protes yang diciptanya dalam waktu yang singkat berjudul “Irhal” (yang membawa maksud, ‘Pergi!’) itu dengan mesej jelas supaya presiden Mesir waktu itu Hosni Mubarak meletak jawatan.

Ramy (gambar) yang pada mulanya risau dengan sambutan dan reaksi para pendemo yang seramai dua ratus ribu orang lebih itu mula bersemangat apabila mereka sama-sama menyanyikan lagu ciptaannya itu.

Dan harga yang perlu dibayar pula tentulah kesengsaraan. Selepas kejadian itu beliau ditangkap, dipukul oleh pihak polis dan tentera. Kejayaan datang apabila Hosni meletak jawatan dan Ramy dijulang sebagai hero di negaranya juga dikenali di serata dunia.

Apabila segala-galanya selesai dan bermula pula yang baru, Ramy lebih selesa menjadi pejuang dari dijulang sebagai idola walau beliau mendapat tawaran merakamkan album dari ramai penerbit di seluruh dunia seperti Kanada, Amerika dan Australia.

Saya membaca perkembangan karier nya melalui artikel yang ditulis tentang perjuangan seni nya yang banyak tersiar di internet. Yang terbaru Ramy juga tidak berpuas hati dengan Morsi, juga tentera. Dia dan rakyat Mesir tentulah lebih faham apa yang dimahu mereka berbanding kita, orang luar. Jadi bagi saya itu masalah dalaman mereka.

Apapun saya tabik dengan prinsip dan nilai idealis yang ada dalam diri beliau.

Apabila saya mengambil sedikit masa dan ruang untuk mendengar dan mengikuti perkembangan lagu-lagu Ramy Essam ini di Youtube terutamanya, saya dapat melihat nilai kejujuran itu ada dalam karya beliau melalui lagu dan senikatanya yang bersemangat. Dan yang paling penting ciri-ciri seorang ikon itu juga ada dalam diri beliau. Kharisma, macho, keras dan ego. Itu juga ciri yang dimiliki oleh ikon-ikon rebel dunia yang terkenal seperti John Lennon, Hendrix, Bob Marley dan Jim Morrison contohnya.

Dari segi penciptaan lagu dan lirik, bagi saya tidak ada keistimewaan sangat dengan lagu-lagu ciptaan Ramy, tapi lagu Irhal itu memang catchy dan kena dengan mood dan suasana waktu itu. Suaranya jelas dan bassy. Suara nya bukanlah seperti luahan suara yang lepas seperti Iwan Fals sewaktu mendendangkan lagu “Air Mata Api” di dalam album Mata Dewa atau suara Lennon mahu pun Bob Marley, pun masih ada sesuatu yang istimewa juga saya kira, terutama dari segi karismatiknya.

Apa pun bila bercerita tentang muzik Arab, saya suka muzik klasikal lama Mesir waktu kurun ke-19, tika di era Halim Hafez (lahir 21 Jun 1929 dan meninggal pada 30 Mac 1977) dan Umm Kulthum lahir 30 Disember 1898 dan meninggal pada 3 Februari 1975) terutamanya. Dan saya kagum dengan bakat yang dimiliki oleh komposer dan penyanyi hebat Muhamed Abdel Wahab (lahir 13 Mac 1902 dan meninggal pada 4 Mei 1991).

Jika kita mendengar irama muzik dari Mesir atau Arab terutama bila kita mendengar gaya muzik mereka yang menggunakan sistem atau fomat Arabic Maqam (Maqamat) yang dicipta oleh Al Sheikh Al-Safadi dan Aldulqadir Al-Maraghi pada kurun ke-14 dulu, kita akan kagum dengan melodi unik yang mereka hasilkan.

Memang agak rumit jika kita mahu mendalami jenis muzik ini. Apa pun memang mereka patut berbangga kerana punya trademark yang unik, asli dan tersendiri dan yang lebih utama muzik mereka turut dikagumi pada pendengar danpengkaji muzik di seluruh dunia terutamanya sewaktu era Halim Hafez dan Umm Kulthum.

Jika di sini kita kata muzik Arab itu irama padang pasir yang asalnya dipelopori oleh penyanyi nasyid legenda 70an kita Ahmadi Hassan (arwah). Saya kagum dengan lagu-lagu nasyid beliau dengan iringan muzik orkestra klasikal yang dipengaruhi muzik Arab yang menarik walau pendengar dan pembelinya tidaklah ramai saya kira. Tapi jika kita ingin memperkatakan tentang kualiti lagu nasyid yang bermutu, itulah lagu-lagu Ahmadi Hassan.

Berbanding dengan lagu-lagu nasyid di era Raihan dan kumpulan nasyid yang bersepah selepas itu sehinggalah ke hari ini, bagi saya satu pun tidak ada yang menarik bagi saya.

Ada juga kumpulan nasyid yang bagus-bagus dengan konsep padang pasir seperti El Suraya Medan di tahun 70an dulu tapi mereka berasal dari Indonesia.

Tentang hal dan pergolakan yang sedang berlaku di Mesir, saya pada mulanya terkejut dengan krisis demi krisis yang melanda negara mereka. Bermula dengan penggulingan Hosni Mubarak yang menarik perhatian dunia pada Februari 2011, digantikan oleh penggantinya Muhammed Mursi, pun rakyat tidak suka juga, apabila tentera ambil alih melalui paksaan, dunia dapat melihat betapa kejamnya mereka sanggup membunuh rakyat hanya kerana berbeza ideologi.

Tempoh pemerintahan Morsi baru setahun (30 Jun 2012 — 3 Julai 2013), sudah timbul huru-hara dan pemberontakan. Dikatakan beliau pun dua kali lima dengan Mubarak juga, apabila tentera ambil alih pula lagilah teruk. Jadi apa yang rakyat Mesir mahu sebenarnya?

Ugama dijadikan untuk mendidik kita supaya menjadi umat yang baik. Ugama adalah satu keperluan untuk semua umat manusia belajar dari ajaran yang terkandung di dalam kitab ugama itu. Segala yang terkandung jika kita faham apa isi yang tersurat di dalamnya itu sudah mencukupi, cuma masalahnya manusia itu dikurnia pula nafsu serakah dan segala yang termaktub dalam hukum iblis yang tidak pernah bernoktah sehingga kiamat.

Maka itulah perlunya kita mentelaah dan belajar pula apa yang tersirat di dalamnya, untuk membentuk tahap faham kita dalam mempraktikkan makna hidup yang sebenarnya.

Jika kita menyusuri asal kita atau kita cuba kenal siapa kita dan apa sebenarnya hidup ini, kita tidak akan jadi seperti tentera Mesir yang menembak sesama bangsa dan se agama hatta tatkala mereka sedang bersolat pun habis dibunuh. Hanya kerana ideologi berbeza mengapa kita perlu membunuh?

Saya tidak akan bertanya kepada diri kerana bagi saya bangsa Arab memang begitu sejak zaman jahiliah lagi. Amerika tukang kipas dan tepuk tangan sama-sama. Negara Arab memang kaya dengan minyak. Itu sudah ditakdirkan, tapi mereka bodoh dan sombong dan itu juga tiada kesudahannya sampailah ke penghujung rancangan.

Mesir negara yang kaya dengan sejarah. Tapi itu hanyalah sejarah cuma. Hari ini Mesir tetap dan mungkin akan terus bergolak seolah sukar untuk mencari titik perdamaian. Sampai bila ? Hanya takdirlah yang menentukan.

* This is the personal opinion of the columnist.