21 JULAI — Metallica adalah antara kumpulan muzik berkonsepkan trash metal yang paling berpengaruh di dunia. Mereka juga adalah antara kumpulan muzik terawal yang mempopularkan muzik trash selain Slayer, Megadeth, Antrax dan Sepultura.

Saya terpanggil untuk menulis tentang mereka kerana akhirnya mereka akan datang juga membuat persembahan konsert pada 21 Ogos ini bertempat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Hetfield pun tahun ni usianya dah menjangkau 50 tahun, pun masih metal lagi mamat tu.

Seperti anak-anak muda yang garang-garang belaka waktu itu (penghujung 80an) dengan imej mereka macam nak makan orang, saya juga tidak terkecuali dan turut menjadi sebahagian dari mereka walau tidaklah segarang mana. Walaupun berimej garang kebanyakan mereka yang saya kenal adalah orang yang baik dan baik hati belaka.

Metallica ditubuhkan pada tahun 1981 oleh dua orang anak muda Lars Ulrich (dram) dan James Hetfield (gitar dan vokal). Kemudian masuk Dave Mustaine (gitar) dan Cliff Burton (bass). Mereka menyingkirkan Mustaine pada tahun 1983 dan digantikan dengan bekas pemain gitar kumpulan Exodus, Kirk Hammet. Mustaine yang dibuang kerana masalah attitude kemudian menubuhkan Megadeth, yang juga meletup dan popular sebagai pesaing terdekat kepada Metallica.

Advertisement

Antara yang menarik dalam kumpulan Metallica sewaktu awal penubuhan mereka adalah kemasukan Cliff Burton pada 1983. Cliff masuk menggantikan pemain bass asal Ron McGovney yang juga turut ditendang dari kumpulan muzik tersebut. Saya melihat Cliff seperti saya melihat Jaco Pastorius, pemain bass legenda kumpulan Weather Report yang tahap ‘legend’nya bagi saya sama seperti Jimi Hendrix dari segi aura dan karismatiknya.

Pun tidaklah adil untuk kita membandingkan antara mereka berdua siapa yang lebih hebat kerana genre muzik yang berbeza, namun imej dan attitude Cliff yang ‘cool’ dengan solo bass berserta bunyi wah-wah, memang menyentap. Tidak hairanlah Metallica sanggup berpindah dari tempat mereka, Los Angeles ke tempat Cliff, El Cerrito, California atas kehendak Cliff. Juga gaya Cliff yang maintain dengan seluar jeans bell bottom gaya tahun 70an itu nampak unik, lain dari mat metal yang lain dan mantap.

Metallica muncul dengan tiga album mereka yang penting dan menjadi masterpice sewaktu era underground iaitu Kill Em All (1983), Ride the Lightning (1984) dan Master of Puppets (1986).

Advertisement

Saya percaya kebanyakan anak-anak muda waktu itu yang gila muzik trash dan metal pasti khatam dengan ke tiga-tiga album Metallica ini. Kalau tak dengar, maknanya ada yang tidak kena lah...

Malang menimpa, Cliff meninggal dunia dalam satu kemalangan bas pada tahun 1986 dan tempatnya digantikan oleh Jason Newsteed, bekas pemain bass kumpulan Flotsam and Jetsam.

Apa pun album yang terbaik bagi saya adalah ... And Justice for All yang diterbitkan pada tahun 1988. Album itu terbaik dari segi konsep, susunan lagu dan kualiti bunyi dan rakaman berbanding tiga album Metallica sebelumnya. Pun album itu berjaya dijual sebanyak lapan juta unit hanya di Amerika Syarikat sahaja.

Selepas Bob Rock masuk selaku penerbit album baru selepas ...And Justice for All yang berjudul Metallica (1991), Metallica berjaya menembusi pasaran komersial di seluruh dunia sehingga album itu berjaya dijual sebanyak 30 juta unit, yang merupakan album Metallica yang paling laris dari segi jualannya.

Banyak lagu-lagu hit yang terdapat dalam album itu umpamanya “Enter Sandman,” “Nothing Else Matters” dan “Unforgiven.”

Pun dari segi kelajuan dan temponya, memang agak perlahan berbanding album-album Metallica yang terdahulu dan lebih komersial dari segi melodi namun kenyataannya bila ada inisiatif dari pihak rakaman dan mereka sendiri untuk pergi lebih jauh dari hanya sekadar melayan peminat setia mereka, itu jugalah sebabnya mereka memilih penerbit yang hebat dan punya track record yang cemerlang seperti Bob Rock yang pernah menerbitkan album kumpulan rock glamour, Motley Crue dan Off Spring antaranya.

Saya hanya mengikuti perkembangan album mereka selepas album ...And Justice for All di radio sahaja kerana selepas album ...And Justice for All, Metallica bagi saya sama saja seperti Motley Crue dan band-band glamour lain, jadi dari segi nikmatnya, tidaklah sama seperti sebelumnya.

Apapun itu hanya pendapat saya saja, kenyataannya mereka berjaya dan meletup juga dengan album-album yang berjaya seperti Load (1996), Reload (1997), St. Anger (2003) dan Death Magnetic (2008).

Muzik trash adalah cabang dari muzik hardcore dan heavy metal. Sewaktu negara kita digegarkan dengan demam muzik trash pada hujung 80an dulu, banyaklah band-band underground tempatan yang tumbuh di merata pelusuk negeri.

Antara pusat pertemuan mat-mat trash paling popular dan bersejarah adalah di restoran Yusoff yang terletak di dalam bangunan Pasar Seni. Waktu itu adalah musim paling menarik bagi saya ketika saban hari melepak di restoran mamak di Pasar Seni itu kerana salah satu sebabnya kita boleh bersidai di situ dari pagi sampailah Pasar Seni ditutup pada pukul 10 malam setiap hari kecuali hari raya.

Waktu itu juga ada tiga kelompok yang berpengaruh dan popular, mat rock, mat trash dan mat punk. Kita boleh kenal melalui gaya dan imej mereka melalui cara pemakaian. Kalau mat rock mereka lebih nampak glamour dengan imej rambut panjang seperti band-band pujaan mereka, SYJ, Search atau Lefthanded.

Kalau mat trash pula cara mereka agak kontra dari arus glamour, nampak lebih evil dan garang, tapi glamour juga sebenarnya. Kalau band-band tempatan yang popular waktu itu seperti Punisher, Nemesis, Silent Death dan banyak lagilah. Yang menarik perhatian saya adalah band underground Black Metal yang bertaraf legenda Black Fire yang berasal dari Perlis. Biasanya band-band underground akan membawakan lagu cover tapi Black Fire kekal dengan konsep mereka yang lebih selesa mempersembahkan lagu-lagu ciptaan mereka sendiri. Itulah kelainannya.

Saya pernah menyaksikan aksi penyanyinya, Mi Rambut bersama kumpulannya (yang waktu itu perform bukan dengan line up original) membuat persembahan di kompleks Kotaraya awal tahun 90an dulu. Suaranya ada style Ronnie James Dio tapi lebih dark dan gaya muzik mereka punya pengaruh dari band metal Venom, Celtic Frost dan Black Sabbath. Budak-budak metal sangat menyanjung mereka.

Tidak hairanlah mengapa Black Fire (ditubuh pada tahun 1984) dianggap ‘godfather’ untuk genre metal kerana mereka antara kumpulan yang paling awal memperkenalkan konsep black metal pada tahun 1982 lagi yang waktu itu menggunakan nama Metal Ghost. Banyak band-band underground metal tempatan yang menjadikan mereka sebagai hero antaranya kumpulan Sil-Khannaz yang diketuai oleh penyanyinya, Jaie.

Pun malang menimpa apabila isu Black Metal dimainkan secara serius dan diberi liputan negatif yang meluas di dada akhbar-akhbar dan majala utama pada tahun 2005 dulu, kesannya sedikit demi sedikit pengaruh muzik metal dan punk semakin menguncup dan tidak semeriah sebelumnya. Yang agak menyedihkan kedai kaset kawan saya yang terletak di kompleks Campbell yang menjual muzik dan barangan metal waktu itu habis digeledah pihak penguasa sehingga mengakibatkan kerugian. Bayangkan dari menyewa sebuah kedai kini kedai itu hanya tinggal separuh saja.

* This is the personal opinion of the columnist.