MAC 17 — Dalam artikel Transformasi ‘Caca-marba’ Pendidikan Malaysia di The Malaysian Insider pada 22 November 2014, saya pernah menulis tentang ‘Rakyat Malaysia terkujat, sekali lagi.’ Nampaknya setelah berbulan-bulan, pada 13 Mac 2015 barulah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pendidikan merangkap Timbalan Perdana Menteri berasakan kejutan yang sama walaupun masyarakat umum terutamanya para guru sudah merasakannya sejak bertahun-tahun yang lalu.

Nak ditambahkan lagi kejutan, walaupun setelah Menteri Pendidikan ‘terkejut,’ para guru turut “dikejut-kejutkan” dengan beban kerja pengkeranian yang berada di tahap paling optimum sepanjang sejarah pendidikan negara. Kali ini, beban secara online!

Terkejut atau buat-buat terkejut?

Saya fikir, sikap buat-buat terkejut seperti ini hanyalah sia-sia jika tidak diusulkan dengan penambahbaikan secara praktikal. Walaupun sejak tahun 1980an, ramai pakar analisa pendidikan termasuk pejuang pendidik kesatuan guru bercakap tentang “pengurusan yang lembab” dan “pengurusan yang tidak dengar keluhan para guru,” malangnya sehingga kini ia masih berlaku.

Ditambahkan lagi kecelakaan apabila setiap masalah, beban dan kekurangan pendidikan dihenyak-henyakkan ke bahu para guru. Pada 14 Mac yang lepas, Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa Untuk Pendidikan (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, “Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah membawa balik kualiti profesion perguruan.”

Beliau seterusnya menekankan tentang kualiti para guru apabila menuding kepada “guru yang teruk,” “guru yang tidak hadir sekolah” dan “guru yang mengajar sekadar membaca buku teks.” Secara peribadi, saya berpendapat halatuju “tembakan” Datin Noor Azimah sebenarnya tersasar daripada sasaran sebenar.

Tidak saya nafikan memang terdapat ramai para “guru yang teruk” di sekolah. Dalam masa yang sama juga adalah adil untuk saya katakan tentang adanya pentadbir sekolah seperti pengetua dan penolong kanan yang sudah banyak kali dilaporkan sebagai “teruk” namun masih tetap dibenarkan bekerja. Juga tidak boleh kita nafikan adanya pegawai-pegawai di peringkat PPD, JPN dan KPM yang turut tergolong dalam kategori “teruk” seperti yang dinyatakan oleh Datin.

Bezanya cuma mereka ini ditukarkan ke sekolah atau pejabat lain apabila mendapat aduan di sekolah atau pejabat lama. Justeru, sekiranya kita lantang bercakap tentang “guru yang teruk” maka adalah adil untuk kita turut menyebut perihal pegawai, pentadbir dan kakitangan lain yang juga “teruk” kerana mereka turut menyebabkan kelompongan dalam sistem pendidikan yang sedia ada.

Disini, ingin saya menekankan bahawa, sebab-sebab wujudnya golongan-golongan “teruk” seperti di atas tanpa mengira kaum guru, pentadbir mahupun pekerja am dan kerani-kerani (Iya, kerani! Para guru pastinya amat memahami kerenah golongan ini!) adalah kerana, sekali lagi saya tegaskan, sistem pengurusan peringkat atasan yang “lembab” dan “tidak mendengar keluhan para guru.”

Mereka ini kekal didalam sistem, bekerja untuk kementerian walaupun setelah diadukan, walaupun setelah terbukti “keburukan” pengaruh mereka di sekolah-sekolah. Mengapa? Kerana pengurusan peringkat atasan tidak mampu bertindak dengan efisien untuk menyingkirkan mereka daripada terus bekerja. Malah, ada diantara mereka yang disebabkan memiliki kenalan yang berpengaruh, terus-terusan naik pangkat dan memegang jawatan yang lebih tinggi!

Hakikatnya, Tan Sri Muhyiddin, Datin Noor Azimah dan masyarakat umum di luar sana, sebab utama kebobrokan pendidikan kita tidak wajar semata-mata diletakkan di bahu para guru kerana kami tidak memiliki kuasa untuk menggubal dasar dan tiada kuasa untuk memastikan kelancaran pengurusan, apa yang kami mampu hanyalah membuat laporan dan lantang bersuara sama ada atas kapasiti peribadi ataupun secara berkumpulan. Dan semua itu kami buat hanyalah kerana memikirkan anak-anak didik di dalam kelas yang pasti terkesan oleh carakerja pengurusan.

Namun, telah menjadi satu budaya yang melekat kuat bahawa para guru yang “lantang bersuara” akan dilihat sebagai pengkritik dan seterusnya akan ditukarkan dengan sewenang-sewenangnya. Mereka boleh ditukarkan antara negeri jika yang dikritik adalah pemimpin peringkat tertinggi ataupun diantara daerah jika ada pegawai-pegawai dalam PPD dan JPN masing-masing yang tidak menyukai mereka.

Bagaimana hal ini berlaku? Kerana para pegawai ini memiliki rangkaian pengaruh antara mereka sementara para guru yang tidak disukai akan dengan mudah dipijak, diludah dan dibuang ke tempat jin bertendang.

Saya tidak nafikan bahawa masih ramai pegawai di PPD, JPN dan KPM yang bersikap prihatin terhadap isu pengurusan lembab yang ada. Namun begitu, rata-rata mereka hanya mampu menunjukkan keprihatinan mereka secara individu dan bukannya atas kapasiti sebagai sebuah organisasi kerana mereka sendiri tidak mampu berdepan dengan budaya yang sudah melekat lama ini.

Realiti yang mengejutkan

Sekarang sudah tahun 2015, dalam masa 5 tahun kita akan melangkah ke Wawasan 2020. Setiap tahun semenjak banyak tahun lepas, pendidikan telah menerima bajet terbesar dalam setiap kali pengumuman belanjawan tahunan.

Namun, apakah kesan daripada perkara ini?

Realitinya, masih ada banyak sekolah yang menggunakan papan hitam. Masih ada sekolah dimana pelajar asrama mereka perlu berkongsi bilik mandi antara lelaki dan perempuan. Masih ada banyak sekolah yang perlu berkira dengan guru dalam memberi pinjam projektor kerana satu sekolah hanya ada satu atau dua sahaja!

Masih ada banyak sekolah dimana para guru dan ibu bapa bekerjasama memungut derma dan bergotong-royong untuk membuat surau atau bangunan tambahan. Dan masih ada banyak sekolah dimana para guru perlu mengeluarkan duit poket sendiri untuk menghias kelas kerana ‘sekolah tiada peruntukan’ dan tidak dibenarkan membebankan ibu bapa melalui PIBG. Apatah lagi jika ibu bapa hanya bekerja kampung, tidak akan sampai hati para guru untuk meminta wang daripada mereka.

Mengapa perkara ini berlaku? Dimana perginya mata-mata pegawai di PPD, di JPN dan di KPM yang sepatutnya menyelesaikan masalah-masalah ini? Jawapannya adalah kerana kerenah birokrasi yang begitu menebal sehingga melembabkan pengurusan disamping kepimpinan tertinggi yang lebih mementingkan ‘majlis perasmian’ dan ‘blueprint beratus-ratus muka surat’ daripada merajinkan diri menjejakkan kaki mencium realiti sebenar.

Oleh itu, saya tidak pelik apabila Menteri Pendidikan menyatakan yang beliau terkejut. Kekecohan isu SK Penimbawan, sekolah tanpa dinding baru-baru ini sahaja sudah jelas menunjukkan bahawa beliau tidak mendapat maklumat secara terus daripada sekolah, ibu bapa dan masyarakat. Apakah mungkin ada pegawai dikalangan beliau yang cuba menyembunyikan realiti sebenar yang sepatutnya diselesaikan oleh mereka?

Justeru, tiada guna kita bercakap tentang segala permasalahan yang ada sekiranya tidak sampai ke telinga individu yang berkuasa untuk mengubahnya iaitu tidak lain dan tidak bukan, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pendidikan kita sendiri yang kita sayangi dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Yang kita harap-harapkan untuk menjadi Superhero Pendidikan Malaysia disaat yang kritikal ini.

Portal anti-kejutan

Maka, saya dengan rendah diri ingin mencadangkan disini, jika sampai ke telinga YAB Tan Sri, agar diwujudkan sebuah portal aduan rasmi berkecuali khas untuk pendidikan Malaysia dimana pengadu-pengadu boleh mengadukan sebarang jenis aduan berkaitan dengan sekolah, beban kerja guru, pengurusan, tuntutan perjalanan yang masih berada dikadar lama walaupun minyak dah berkali-kali naik, kezaliman serta penindasan dikalangan pegawai dan pelbagai lagi isu lain yang berlingkaran disegenap pelusuk sistem pendidikan yang semakin membusuk ini.

Jika portal ini dapat direalisasikan melalui satu jawatankuasa khas, nescaya segala maklumat berkaitan realiti sebenar akan dapat disalurkan terus kepada YAB Tan Sri agar rancangan intervensi dapat dijalankan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Jika portal ini dapat diwujudkan maka ianya akan berfungsi sebagai portal anti-kejutan. Sudah pasti selepas ini Menteri Pendidikan, ibu bapa terutamanya para guru tidak akan bermain terkejut-terkejut lagi.

Tambah-tambah kejutan yang paling baru untuk tahun ini (untuk para guru) apabila seberapa banyak sistem memasukkan data mula dijalankan secara online walaupun pada hakikatnya sekolah saya sendiri tidak mempunyai rangkaian internet dan para guru perlu keluar sejauh 10 kilometer untuk mendapatkan internet sebelum pukul 10 pagi setiap hari semata-mata untuk memasukkan data yang akan digunakan dalam “Dialog Prestasi” orang-orang berkot, pegawai peringkat atasan.

Ini, belum lagi kita cerita tentang capaian internet di sekolah-sekolah lain. Semoga dengan wujudnya portal ini juga, Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan akan turut tersedar daripada lamunannya yang mengatakan pada tahun lepas bahawa setiap sekolah di dalam Malaysia akan dapat mencapai internet 4G menjelang tahun 2015. YB, jangankan 4G atau 3G, line telefon pun masih malu-malu kucing lagi!

* Ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.