JANUARI 27 — Menerima maklumat berkenaan program Parlimen Mahasiswa yang diadakan di Dewan Rakyat baru-baru ini. Bengkel tersebut yang diadakan mulai 23 Januari Hingga 28 Januari ini hanya dihadiri oleh 10 orang pemimpin Pelajar yang terdiri daripada persatuan persatuan Dan kolej kediaman, Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) dengan ini menyatakan kekesalan terhadap penganjur kerana tidak melibatkan ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) setiap kampus sebagai peserta Parlimen Mahasiswa.
Difahamkan bahawa Parlimen Mahasiswa yang turut dihadiri oleh Dato Seri Idris Jusoh itu merupakan salah satu ruang untuk pemimpin mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) berbincang dan berbahas secara rasional, intelektual dan ilmiah dalam merealisasi agenda negara pada masa akan datang. PMUM melihat bahawa usaha murni ini adalah satu inisiatif yang baik dalam membentuk pelapis kepimpinan negara. Namun, apa yang mengecewakan adalah pimpinan mahasiswa daripada Majlis Perwakilan Pelajar sendiri tidak dijemput sebagai peserta bahkan tidak dimaklumkan langsung mengenai Parlimen Mahasiswa ini di peringkat universiti masing-masing, sedangkan Majlis Perwakilan Mahasiswa merupakan badan pelajar terutama di universiti.
Umum mengetahui bahawa Majlis Perwakilan Mahasiswa setiap kampus dipilih oleh para mahasiswa secara demokratik melalui pilihanraya kampus. Persoalannya, jika Parlimen Mahasiswa benar-benar bertujuan membawa suara mahasiswa, mengapa tidak penyertaan dibuka kepada mereka-mereka yang telah diberi kepercayaan oleh mahasiswa sendiri? Adalah memalukan sekiranya pihak universiti memilih sendiri peserta Parlimen Mahasiswa ini dari kelompok tertentu untuk mengawal dan mengongkong perbahasan serta idea pandang mahasiswa kerana tidak terbuka terhadap idea kritikal mahasiswa yang bersifat vokal.
Oleh itu, PMUM menuntut agar :
1) Penganjur tidak bersikap ‘double standard’ jika benar-benar ingin merealisasi fungsi Parlimen Mahasiswa, iaitu membawa idea pandang berkualiti dan suara asli mahasiswa.
2) Melibatkan wakil daripada pimpinan mahasiswa Majlis Perwakilan Pelajar dalam persidangan. 3) Bersikap telus dalam pemilihan peserta serta tidak membabitkan kepentingan politik semata-mata.
Di samping mengharapkan keterbukaan pihak kerajaan dan universiti dalam memahami prinsip kebebasan berakademik dan kebebasan bersuara, PMUM juga yakin bahawa mahasiswa tidak semestinya perlu bergantung harap dan menunggu pihak kerajaan menyediakan ruang untuk mahasiswa bersuara. Walaubagaimanapun, ruang dan peluang yang ada haruslah dimanfaatkan seoptimum mungkin supaya usaha yang dilakukan tidak hanya menguntungkan pihak tertentu sahaja, tanpa membuahkan hasil pada negara.
* Mohd Ammar bin Atan adalah presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM).
** Ini adalah pendapat peribadi penulis atau persatuan dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.