Nov 21 — Saya berpeluang menyertai Konvoi Rumah Ibadat anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) ke beberapa rumah ibadat pelbagai agama di sekitar Sentul, Kuala Lumpur pada 12 Oktober 2013.

Penyertaan itu memberikan saya peluang untuk melihat sendiri, memahami dan menghormati amalan serta kepercayaan masyarakat pelbagai kaum, etnik, agama dan kepercayaan di Malaysia.

Pada pandangan dan pemerhatian saya, keadaan semasa di negara ini dipenuhi suasana tidak tenang dan kurang interaksi sebenar antara kaum dan agama.

Kita hidup dalam masyarakat majmuk tetapi masih lagi dibelenggu sentimen perkauman dan agama yang sekali gus merenggangkan hubungan sesama penduduk.

Menerusi Konvoi Rumah Ibadat, saya berpeluang bertemu,  meluangkan masa dan bertukar-tukar pandangan dengan kelompok yang sama-sama menginginkan perpaduan dan persefahaman.

Ruang dan peluang seperti ini amat perlu memandangkan negara sudah lama merdeka. Tambahan pula, realiti kemajmukan kaum, etnik, adat, kepercayaan dan agama tidak boleh dinafikan.

Malangnya ruang lingkup pemahaman masyarakat terhadap rakan-rakan dan jiran terhad semata-mata kepada perayaan besar-besaran seperti Aidil Fitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas.

Hubungan antara kaum dan agama adalah pada luaran sahaja, secara superficial. Sebaliknya kita tidak berpeluang mengenali rakan-rakan dan jiran-tetangga kita secara lebih dekat dan mendalam.

Saya menyarankan anggota masyarakat yang ada rasa tanggungjawab, prihatin dan ingin tahu tentang keunikan rumah-rumah ibadat di Malaysia supaya menyertai siri konvoi ini.

Konvoi seterusnya dijadualkan ke sebuah kuil di Seksyen 23, Shah Alam pada November 24, 2013. Maklumat lanjut boleh dirujuk di www.kavyan.blogspot.com dan saya berharap dapat bertemu lebih ramai warga yang prihatin.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis atau bukunya dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.